1 Nov 2010

[Bergambar] Pengundian Pos Untuk PRK Galas Selesai Hari Ini

Pengundian Pos di Galas selesai hari ini

GUA MUSANG: Proses pengundian pos bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas selesai hari ini dengan sebahagian besar daripada 177 pengundi pos telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Pengundi pos yang terdiri daripada anggota polis menunaikan tanggungjawab mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang manakala 50 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengundi di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang. Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, hanya sebilangan kecil yang tidak mengundi termasuk yang sedang menunaikan fardhu haji.

Daripada jumlah anggota polis terbabit, 22 orang bertugas di luar daerah, katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di pusat mengundi di Dewan Latihan Ibupejabat Polis Daerah Gua Musang di sini, hari ini. Beliau berkata, undi anggota terbabit akan diperoleh selewat-lewatnya esok sebelum disimpan di IPD berkenaan sehingga pengiraan undi pada Khamis ini, iaitu hari mengundi.

Sementara itu, proses pengundian pos bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi di Sandakan, Sabah akan berlangsung esok dan Rabu, membabitkan seramai 1,615 pengundi pos, kata Pengurus Pilihan raya Batu Sapi, Mohd Hamsan Awang Supaan. Beliau berkata, pengundi pos itu membabitkan anggota Polis DiRaja Malaysia, (PDRM) Pasukan Gerakan Am (PGA), Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, anggota polis akan mengundi di Ibu Pejabat Polis Sandakan, anggota PGA di ibu pejabat PGA di Karamunting Selasa ini dan TLDM di Taman Samudera Jalan Labuk pada Rabu ini.-Bernama








1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kenapa agaknya BN tak mahu hapus undi?