31 Okt 2010

Undi Pos Bagi PRK Galas Sudah Bermula Hari Ini

Galas: Pengundi Pos Mula Mengundi Ahad

Gambar: Pengawal Keselamatan, Noordin Mat,57, mebuang undinya di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini, hari ini.

GUA MUSANG - Seramai 127 pengundi pos membabitkan anggota polis dan 50 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang bertugas semasa pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, akan mengundi mulai Ahad.

Timbalan Setiausaha SPR Datuk Noordin Che Ngah berkata anggota polis akan mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang, Isnin ini manakala petugas SPR akan berbuat demikian hari ini, di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini.

Kedua-dua proses pengundian akan bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Bercakap kepada pemberita selepas mengeluarkan kertas undi pos kepada dua pihak terbabit di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang hari ini, Noordin berkata semua kertas undi itu akan dikira bersama-sama kertas undi lain selepas pukul 5 petang hari pengundian 4 Nov ini.

"Semua kertas undi (pos) akan ditempatkan di Bilik Kebal di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang dan dikawal polis," katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima daripada PAS, yang meninggal dunia pada 27 Sept lalu.

Calon BN, Abdul Aziz Yusoff, 49, akan berhadapan calon PAS Dr Zulkefli Mohamed, 44, pada pertandingan satu lawan satu 4 Nov ini.

Mengenai 50 pengundi pos kalangan petugas SPR yang mungkin menjadi persoalan, beliau berkata mereka adalah pengundi berdaftar di DUN Galas yang telah memohon untuk mengundi sebagai pengundi pos kerana bertugas pada hari mengundi Khamis depan.

Dalam perkembangan berkaitan, Noordin berkata proses berkempen yang memasuki hari kelima hari ini setakat ini berjalan lancar kecuali tindakan Parti Kedilan Rakyat (PKR) dan DAP yang menaikkan bendera masing-masing, dan telahpun diturunkan pasukan pemantau SPR.

Berhubung dakwaan PAS wujud pengundi hantu pada pilihan raya kecil ini, beliau berkata dakwaan itu tidak benar.

Noordin berkata SPR memerlukan masa antara tiga hingga lima bulan bagi mengesahkan status pengundi sesuatu kawasan dan setelah itu nama mereka akan dipamerkan untuk bantahan. -- BERNAMA

1 ulasan:

Farihah Ahmad berkata...

aku terasa nk jadi hantu undi. cane nk apply? syarat kena vote BN eh?