8 Okt 2010

Solat Istikharah TGNA Tentukan Siapa Calon Galas

Calon Galas: PAS akan solat istikharah

Solat istikharah mungkin menjadi pemutus dalam menentukan calon PAS pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, 4 Nov ini, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun.

Katanya, ini kerana terlalu ramai calon yang berkelayakan dan seimbang yang dicadangkan PAS di peringkat akar umbi sebelum diperhalusi oleh pimpinan tertinggi parti itu.

“Kita percaya solat istikharah yang akan dibuat oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, akan menjadi kata pemutus untuk menentukan calon PAS pada pilihan raya kecil itu,” katanya kepada Bernama ketika melawat kawasan pilihan raya itu di Gua Musang, hari ini.

Abdul Fatah yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Negeri berkata, mengikut amalan biasa yang dinyatakan oleh bekas ketua dewan ulama PAS negeri, Yahya Othman, parti itu menerima calon yang mempunyai kriteria tidak pernah melakukan dosa besar, seperti zina dan membunuh serta sanggup meninggalkan dosa-dosa kecil, termasuk merokok.

Beliau juga menyokong kenyataan anggota exco kerajaan negeri, bahawa PAS sedia menimbangkan untuk meletakkan Orang Asli sebagai calon pada pilihan raya akan datang termasuk pada pilihan raya kecil Galas.

“Ini semua tidak mustahil boleh terjadi, kerana masyarakat Orang Asli sekarang berbeza dengan sebelum ini kerana mereka kini berpelajaran tinggi dan tidak mudah menerima pandangan orang lain kerana boleh berfikir sendiri,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Bukit Tuku berkata, pemilihan calon sebenarnya bukan menjadi agenda penting PAS, tetapi lebih besar dari itu untuk menegakkan perjuangan berasaskan prinsip Islam.

“Justeri itu PAS tidak merasakan sesuatu yang sukar dan “pelik” dalam menentukan calon pada semua pilihan raya, termasuk pilihan raya kecil DUN Galas ini,” katanya sambil menyatakan keyakinan ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak akan menerima jika beliau dipilih sebagai calon BN pada pilihan raya itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ialah pada 26 Oktober ini dan jika ada pertandingan pengundian akan diadakan pada 4 November.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kekosongan DUN itu berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46 akibat barah usus pada 27 September lalu. - Bernama

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

inilah cara seorang pemimpin islam hendak menetapkan satu2 masaalah besar dengan cara solat istikharah.