8 Okt 2010

Kes Sosilawati: Jesyntha, Isteri Kedua Suspek Ditahan

Selepas bersembunyi dan menjadi buruan polis sejak identitinya didedahkan Isnin lalu, wanita paling dikehendaki, Jesyntha Clarene Isreal yang dipercayai mampu menyelesaikan kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, ditahan polis sebaik menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, petang semalam.

Jesyntha, 27, yang alamat terakhirnya di Lot 55, Batu 1/2 Jalan Jugra, Banting, Selangor, sebelum ini gagal dikesan dan bersembunyi selepas menjadi buruan polis.

Difahamkan, dia yang juga isteri kedua kepada seorang daripada suspek kes pembunuhan kejam itu dikehendaki kerana dipercayai mempunyai maklumat mengenai perancangan dan kejadian pembunuhan berkenaan.

Jesyntha hadir menyerah diri bersama peguamnya kira-kira jam 5 petang dan polis menahannya bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik terbabit.

Pusat Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, semalam, melalui laman web facebook rasmi PDRM memaparkan maklumat terkini mengenai penahanan terbabit, namun beberapa pegawai PDRM yang dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya enggan memberi ulasan.

Difahamkan, polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap wanita terbabit hari ini.

Selasa lalu, wajah dan maklumat wanita itu tersebar kepada umum melalui media dan orang ramai diminta membantu polis untuk mengesannya.

Sementara itu, tiga suspek utama kes pembunuhan Sosilawati dan tiga rakannya ditahan semula semalam bagi membantu siasatan kes kehilangan dua ahli perniagaan yang dilaporkan hilang awal tahun ini. -hmetro

Tiada ulasan: