1 Okt 2010

Politikus Murahan Dan Ingusan Penyebab Kegagalan Ke Putrajaya

Saingan ‘berpuak’ dalam PKR makin jelas, pro-Zaid bidas kumpulan Azmin

KUALA LUMPUR, 1 Okt — Persaingan berpuak dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mula memuncak dengan dua pemimpin pusat parti itu menggesa agar Datuk Zaid Ibrahim, yang menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden, tidak dipinggirkan menerusi serangan bertubi-tubi.

Naib Presiden Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) N. Gobalakrishnan yang mempertahankan Zaid daripada serangan kumpulan yang memihak Azmin Ali mempersoalkan kenyataan terbuka Naib Presiden Dr Lee Boon Chye.

Azmin yang mendahului senarai pencalonan juga merupakan naib presiden.

“Sungguh aneh pemimpin-pemimpin ini bercakap kepada media mengenai isu ini. Mengapa sekarang Lee mengkritik Zaid (hanya) kerana memberi temu bual kepada media?” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Ahli Parlimen Padang Serai ini mendakwa “adalah jelas Zaid secara terus-menerus dipinggirkan dalam parti.”

Cabang Padang Serai akan mengadakan mesyuarat agung tahunan dan pemilihan Ahad ini selepas ditangguhkan dua minggu lalu.

“Pelbagai insiden ketika pemilihan cabang PKR di seluruh negara sejak dua minggu lalu menunjukkan bahawa sentimen anti-Zaid sedang diatur sedemikian rupa dalam parti oleh mereka yang berjawatan tinggi dalam parti,” kata beliau lagi.

Gobalakrishnan berkata, persoalan sekarang ialah siapa yang bertanggungjawab terhadap perkembangan tersebut sekarang ketika PKR mengadakan pemilihan secara langsung.

“Menilai daripada kenyaatan-kenyataan yang datang daripada pemimpin kita sendiri termasuk Ketua Umum yang memberi amaran kewujudan kuda-kuda Trojan dalam parti, saya hanya boleh merumuskan bahawa orang-orang ini sememangnya dalam satu kumpulan — kumpulan yang mahukan Azmin menewaskan Zaid dalam saingan jawatan timbalan presiden,” katanya lagi.

Gobalakrishnan seterusnya berkata adalah “saya salah dalam membuat andaian ini?”

“Berdasarkan apa yang berlaku dalam parti, saya rasa tidak. Saya sudah mula mempercayai cerita-cerita mengenai Azmin adalah betul sekarang,” katanya yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib presiden.

Katanya, adalah sesuatu yang menyedihkan buat parti kerana terpaksa melupakan tujuan dan prinsip hanya kerana mahu memastikan Azmin menang mudah dalam pemilihan bagi jawatan tertinggi parti.

“Saya berharap ia tidak berlaku. Biarkan PKR kekal bebas dan terbuka menghadapi pemilihan,” katanya lagi.

Kata Gobalakrishnan, ini bukan kali pertama kenyataan-kenyataan sentimen anti-Zaid muncul di kalangan pemimpin parti.

“Malah pengarah komunikasi parti seperti Nik Nazmi Nik Ahmad memilih untuk menyertai serangan ke atas Zaid Ibrahim, yang memperlekehkan jawatannya yang sepatutnya kekal berkecuali.

“Dan, kita ada timbalan presiden Dr Syed Husin Ali yang menyertai senarai (yang mengecam Zaid). Kemudian Naib Presiden R. Sivarasa, Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategi Tian Chua yang meneruskan serangan,” katanya lagi.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan bertajuk “lebih banyak pemimpin pembaharuan diperlukan, Jeffrey menggesa kesemua pemimpin agar menghentikan serangan bertubi-tubi terhadap persaing jawatan timbalan presiden Zaid.

“Saya ada membaca kenyataan naib presiden Dr Lee Boon Chye semalam dan saya merasakan kesesuaian masa kenyataan itu sungguh malang sekali khususnya dengan mesyuarat cabang sedang berlangsung hujung minggu ini,” kata beliau.

“Saya juga ada membaca pelbagai wawancara yang diberikan oleh Zaid kepada media.

Saya merasakan ia membawa aspirasi beliau kepada parti. Beliau tidak mempersalahkan sesiapa (dalam menghadapi saingan) sebagaimana dikatakan oleh Lee,” kata pemimpin dari Sabah ini.

Justeru tegas Jeffrey, kesemua pemimpin parti perlu mengalu-alukan saranan-saranan konkrit oleh mana-mana pihak untuk memperbaiki perjuangan parti.

“Sesetengah saranan Zaid boleh membantu kita untuk mencapai matlamat buat rakyat.

“Parti memerlukan lebih banyak pemimpin yang mahu membawa pembaharuan. Ia juga memerlukan pemimpin berfikiran terbuka, yang boleh bergerak ke depan,” katanya lagi.

Semalam, Zaid menjadi tumpuan kenyataan dua pemimpin kanannya ekoran beberapa tulisan dan pandangan terbuka beliau yang dilihat sebagai menjejaskan imej parti itu termasuk pemilihan secara langsung “bersejarah” yang sedang berlangsung.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata parti itu yang mengadakan mesyuarat Biro Politik malam tadi tidak memutuskan sebarang tindakan disiplin ke atas Zaid berhubung kenyataan beliau baru-baru ini mengenai pemilihan yang sedang berlangsung.

“Biro Politik menegaskan juga bahawa tiada arahan, aduan mahupun apa–apa keputusan yang telah diambil untuk apa–apa tindakan displin terhadap Zaid Ibrahim dan menyangkal fitnah dan maklumat palsu berkenaan perkara ini,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini.

Dalam kenyataannya bertajuk “Membalas kritikan terbaru Zaid Ibrahim terhadap PKR dan pemilihan parti” berkata, parti itu kebingungan dengan keluhan anggota Majlis Pimpinan Pusat itu yang tidak habis-habis kepada pihak akhbar tentang parti dan pemilihan parti yang sedang berlangsung, termasuklah wawancara eksklusif dengan Mingguan Malaysia yang pernah disebut beliau sebagai akhbar “Gestapo”.

“Apakah beliau lupa bahawa dirinya merupakan subjek kempen kotor Utusan, selama pilihan raya kecil Hulu Selangor dulu?

“Apakah beliau lupa serangan bertubi–tubi Utusan terhadap Pakatan Rakyat yang menyebabkan Pakatan tidak mengendahkan akhbar tersebut?” kata beliau yang dicalonkan untuk mempertahan kerusinya.

Lee menambah, Zaid turut membuat sindiran kasar bahawa sesetengah pemimpin termasuk Tian Chua dan Gobalakrishnan telah dihalang daripada bertanding jawatan cabang PKR sedangkan mereka mereka bebas bertanding dan berkempen sesuka mereka.

Sementara 34 cabang akan mengadakan mesyuarat esok dan lusa dalam pusingan terakhir manakala pusat pula mulai hujung bulan ini. -TMI


Azmin yakin kelebihan rebut kerusi nombor 2

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali, yakin mempunyai kelebihan berbanding pencabarnya dalam saingan merebut kerusi nombor dua parti itu.

Sebagai orang lama dalam parti yang memegang jawatan naib presiden selama 10 tahun, Mohamed Azmin menyifatkan beliau antara barisan pemimpin muda yang bukan saja setia pada parti, sebaliknya sudah diuji dan teruji dengan pelbagai cabaran yang menggugat kekuatan parti itu.

Malah, katanya, kesediaan Timbalan Presiden, Dr Syed Husin Ali untuk tidak mempertahankan jawatan pada pemilihan bulan depan juga antara faktor utama beliau menawarkan diri bertanding jawatan itu.

Bagi jawatan timbalan presiden, beberapa pemimpin termasuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Datuk Zaid Ibrahim; dan Pengerusi PKR Perak, Mustaffa Kamil Ayub antara yang layak bertanding selepas menerima pencalonan pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) yang berlangsung sejak 17 September lalu.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, tidak timbul sama ada beliau layak atau tidak menduduki kerusi panas itu kerana sejarah perjuangan beliau dalam gerakan reformasi 1998 dilihat dan disaksikan oleh rakyat Malaysia, sekali gus menjadi kriteria penting bagi meneruskan kepemimpinan dalam PKR.

Saya tidak perlu melafazkan taat setia saya kepada presiden secara tergesa-gesa kerana kesetiaan saya kepada presiden, (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan perjuangan adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana individu yang bersikap rasional.

Saya berkhidmat dengan Anwar selama lebih 26 tahun termasuk 13 tahun dalam kerajaan dan saya adalah pegawai yang paling lama memberikan khidmat kepada beliau, tujuh tahun ketika beliau berada dalam penjara saya terus setia pada perjuangan dan menjaga kebajikan keluarganya.

Saya tidak pernah berganjak daripada prinsip perjuangan ketika PKR berada pada tahap paling lemah terutama ketika pasca 2004 walaupun pemimpin lain bertindak keluar parti. Ini adalah sejarah yang tidak boleh dipadamkan, saya diuji, teruji tetapi tetap istiqamah dalam perjuangan, katanya kepada Berita Harian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu berkata, walaupun yakin dengan `kad laporan gerak kerjanya selama 12 tahun memberi kelebihan dalam perebutan jawatan timbalan presiden, pencalonan yang diterima ketika ini tidak meletakkan beliau dalam zon selesa. -Berita Harian



Khalid Tak Percaya Azmin Ingin Jatuhkannya

SHAH ALAM, 1 Okt (Bernama) -- Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau tidak percaya bahawa Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali mahu menjatuhkannya seperti yang didakwa oleh beberapa pihak.

Ketika diminta mengulas pendedahan seorang bekas pemimpin PKR semalam mengenai perkara itu, beliau berkata : "Kita tidak boleh terima berita itu terutama tentang kesahihannya. Saya tidak percaya yang Azmin lakukan perkara itu."

Abdul Khalid berkata walaupun wujud banyak perbezaan pendapat dalam PKR, parti itu mencari jalan penyelesaian terbaik dengan cara yang tertib dan teratur melalui perbincangan oleh Biro Politik PKR.

Ketika diminta mengulas mengenai persediaan bagi pemilihan PKR Cabang Kuala Selangor yang diketuainya pada Ahad ini selepas berlaku kekecohan pada pemilihan di beberapa cabang parti tersebut baru-baru ini, Abdul Khalid berkata beliau telah meminta pasukan sukarelawan dari cabang itu untuk membuat beberapa persediaan supaya tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.-- BERNAMA


Ulasan GB

Alahai Azmin, sampaikan hal "menjaga kebajikan keluarga Anwar sewaktu Anwar dipenjara pun mahu diungkitkan bagi meraih sekongan dan simpati.

Bukankah kerja-kerja kebajikan sedemikian sebaik-baiknya dirahsiakan supaya ianya menjadi pahala sedekah daripada anda menceritakan kepada satu dunia konon peranan anda di dalam reformasi tak boleh dinafikan?

Ia sepatutnya diserahkan kepada ahli untuk menilai bukan kepada anda untuk mendabik dada mengakui andalah hero yang belum menapak keluar daripada parti seperti Ezam. Itu gaya politikus murahan dan masih ingusan.

Dan kini anda bercakap menggunakan saluran apa? Orang sekeliling anda menghentam Zaid kerana kononnya dia berbicara dengan Utusan, kini anda pula gunakan Berita Harian. It's a pot calling the kettle black!

Sekarang terdedah petualang sebenar di dalm PKR. Petualang yang menyebabkan mengalahkan Zaid di dalam pilihanraya kecil Hulu Selangor - meminjam kata-kata Siddiq Ghouse - kumpulan “bebiri yang pekak dan bisu” yang sedang berkira-kira nak menjadi “ketua umum kepada Ketua JKKK” apabila serigala itu sudah memperoleh kuasa dalam PKR dan kerajaan Pakatan Rakyat tahun depan.

Jika GB Ketua PKR, GB dah tubuhkan Jawatankuasa Khas Siasatan Dakwaan Ng Lam Yong, salah seorang veteran parti terhadap konspirasi Azmin untuk menumbangkan MB Selangor.

Dan jika terbukti benar Azmin perlu dilucutkan pencalonannya sebagai Timbalan Presiden parti.

Sekalipun MB Selangor tidak percaya Azmin berhasrat untuk menumbangkan beliau sebab semua orang tahu sifat Tan Sri Khalid yang berprofail rendah terutama di dalam soal kepimpinan parti
. Malah beliau sendiri sanggup "berkorban" menyerahkan jawatan Ketua PKR Negeri kepada Azmin dan itupun sebenarnya sebagaian dari perencanaan Azmin sendiri sejak dari program retreat lagi yang menyerang MB Selangor secara terbuka.

Tapi nampaknya pimpinan tertinggi parti samada terlalu sayangkan Azmin atau takut dengan "ugutan"nya. No hal. Sebijik macam dalam PAS jugak dulu. Ditekannya Khalid Samad dibiarkannya Hassan Ali.

Itu sebab perjuangan kita nak bebaskan sistem kehakiman negara dari ketidak-adilan tidak berjaya lagi. Sebab di dalam parti-parti sendiri masih penuh kepalsuan dan ketidak-adilan. Dan dengan sebabnya juga Allah menangguhkan kemenangan kita untuk menawan Putrajaya. Menangis tak berlagu rakyat yang meletakkan harapan besar kepada PR selama ini.

Dengan izin Allah,beberapa blogger yang tegak berdiri dengan kebenaran dan keadilan, akan "pancung" mereka yang menyebabkan kegagalan PR selepas ini tak kira besar mana pun pangkat kamu di dunia ini.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

aku pun heran dengan Gobala ni..kalau kata nak sokong mana2 pihak kenapa nak tunding jari pada satu pihak lain..bertanding aje ler..ni buat kenyataan pada media..tak senonoh langsung

Tanpa Nama berkata...

Muak dan mual dengan kerenah pemilihan dalam PKR.

Perangai pemimpinnya tak ubah seperti perangai UMNO.
Tunggu masa akan dihanyutkan oleh rakyat jelata.

Tanpa Nama berkata...

Aku dah mula muak dan mual dengan azmin...masalah rakyat kawasan dia x peduli..dok sibuk ngan parti..takan kemana parti PKR tu...maaf laa yaa pada penyokong PKR..memang itu laa hakikatnya korang kena terima..sebab 90% pemimpin PKR berguru dengan UMNO sekian lama...PKR ini lebih kurang sama dengan parti S46 dulu..parti serpihan UMNO

Tanpa Nama berkata...

UMNO mendalangi kekecohan dalam pemilihan PKR, dah lama UMNO rancang strategi ni..

mz berkata...

aku rasa gobala, mani dgn jefrey sini silap dlm kes lee--
lee sekadar mempertahankan parti (bukan azmin) dgn menjawab serangan2 yg diberi oleh zaid dalam utusan dan media2 lain keatas Parti and Anwar.. itu saje.. sebagai seorg pemimpin atasan parti adalah wajib menjawab serangan yg ditujukan olrh parti--

dan sebaaliknya kita lihat ketiga2 makluk ni pula mempertahankan org yg serang parti-- itu yg aku ckp sikap double standard berlaku dan makluk2 ni igt org membaca blog ni tak boleh berfikir secara rasional...sebab itu aku cakap geng2 akan menyusahkan parti lebih byk dr kebaikan sebab sikap double standard yg diamalkan...

tgk mcm mus, walaupun dia bukan org pilihan anwar , ade dia kutuk anwar dan parti-malah cara beliau berkempen dan bgtau dia punya visi dan misi pon baik--takde langsung nak KUTUK parti-- cuba kita samaa renung antara kenyataan dua belah pihak ni : satu ZAID dan satu MUS,, berbeza yg amat sgt- dua mau mengetengahkan mission masing2 tp seorg tanpa merosakkan parti dan seorg lagi lebih kepada merosakkan parti--
atas sebab inilah aku tak boleh nak terima zaid utk jadi no2 , malahan no 1.... harap pembaca2 kat sini boleh menilai dgn waras-- dan sekali lagi aku nampak melawan zaid bukan kerana azmin tp kerana merasakankalau azid menang kerosakan kepada parti adalah lebih besar sebab perangai2 dia yg takmo dgr cakap org atasan dan tak mau berkompromi-kalau dia fikir ape yg dia buat tuh betul, dia terus hentam saje tanpa tgk keadaan alam sekitar....susah parti kalau org mcm ni jadapan top 2 ....kita sama2 tgk lah nanti----..


dan aku ingin membawa kepada scenario lain--- ade makluk2 yg hentam anwar kata kalau tak boleh nak kntrol parti mcm mane nak perintah malaysia---tp aku nak tanya kalau lah dpt pengikut2 yg tak dgr cakaap, tak mau terima suara majoriti dlm parti-mcm mane nak kontrol org mcm ni-- ini adalah masalah2 org yg keras kepala tersebut-bukan anwar.. dan yg paling teruk pula org yg question anwar tak boleh control parti adalah org yg nak menaikkan makluk2 yg keras kepala ni plak-- pening anwar- semua benda salah....