19 Okt 2010

20 Kedai Pasar Chow Kit Terbakar

Kuala Lumpur: Kira-kira 20 deretan kedai yang menjual pelbagai barangan musnah dalam kebakaran di Pasar Chow Kit di sini, malam tadi.

Kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas di kedai yang menjual barangan runcit, pakaian dan buah-buahan itu disedari seorang pemilik restoran sebelum menghubungi pihak bomba dan penyelamat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9 malam sebelum menghantar 50 anggota dan enam jentera dari empat Balai Bomba dan Penyelamat berdekatan untuk memadam kebakaran itu.

“Bomba mengambil masa selama 30 minit untuk memadamkan kebakaran kerana laluan sempit. Usaha memadamkan kebakaran juga mengambil masa kerana keadaan gelap.

“Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

“Pemeriksaan mendapati, kebakaran yang berlaku itu dipercayai berpunca daripada litar pintas,” katanya di sini, malam tadi.

Azizan berkata, jumlah kerugian membabitkan 20 peniaga itu masih dalam siasatan dan operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya kira-kira jam 11.30 malam. -BH

Tiada ulasan: