23 Sep 2010

"Nyanyu" Bukan "Nyanyuk"

Penyelaras Pakatan Rakyat hari ini menafikan menggelar timbalan presiden PKR Syed Husin Ali sebagai nyanyuk, seperti dilaporkan portal berita Free Malaysia Today semalam.

Sebaliknya, menurut Zaid, perkataan yang digunakannya adalah "nyanyu", lapor portal itu dalam penjelasannya hari ini.

"Saya bercakap dengan wartawan berkenaan ketika dalam perjalanan dengan kereta.

"Mungkin wartawan itu salah dengar; tetapi apa yang saya kata, beliau (Syed Husin) mungkin sudah 'nyanyu' dan mungkin lupa beberapa perkara sehingga mengeluarkan kenyataan dalam wawancara dengan Merdeka Review," beliau dipetik sebagai berkata.

"Saya tidak gelar beliau nyayuk."

Zaid, yang bertanding jawatan nombor dua dalam PKR diselar pelbagai pihak, termasuk pesaingnya Naib Presiden Azmin Ali ekoran kenyataan kontroversi tentang Syed Husin itu.


Syed Husin nyanyuk: Zaid diingat tak sombong

Naib Presiden PKR Azmin Ali mengesa Datuk Zaid Ibrahim menarik balik kenyataannya yang menyifatkan Timbalan Presiden PKR Syed Husin Ali sebagai "nyanyuk" dan "lupa" berhubung kedudukannya sebagai penyelaras Pakatan Rakyat.

Katanya, beliau sedih dengan kenyataan terbaru Zaid itu kerana sebagai orang lama, Syed Husin telah berdepan dengan pelbagai cabaran yang ujian yang jauh lebih getir berbanding generasi baru dalam PKR hari ini.

"Saya sedih kalau Datuk Zaid Ibrahim meneruskan serangan-serangan peribadi seperti ini," katanya yang juga ahli parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa.

Portal berita Free Malaysia Today versi bahasa Malaysia hari ini melaporkan Zaid berkata, Syed Husin, yang tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti itu bulan depan, sudah lupa beberapa perkara sehingga mengeluarkan kenyataan yang tidak betul.

Syed Husin sebelum ini dilaporkan mempertikaikan peranan Zaid sebagai penyelaras Pakatan kerana bekas menteri itu didakwa tidak terlibat secara menyeluruh dalam persiapan draf dasar Pakatan.

Zaid dilaporkan berkata, selepas ditugaskan memberi idea dan kertas kerja untuk menyatukan PKR, PAS, dan DAP untuk didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), beliau tidak faham kenapa kenapa Syed Husin mempertikaikan kerjanya.

"Saya rasa beliau sudah nyanyuk dan lupa mengenai hal itu," beliau dipetik sebagai berkata kepada akhbar itu.

Dalam laporan itu, Zaid juga berkata, oleh kerana permohonan itu belum disahkan lagi oleh ROS, bermakna peranannya belum menjadi jawatan rasmi dan mungkin selepas diluluskan, "mungkin ia akan diberikan kepada orang lain".

Syed Husin: Dia macam cili, dia rasa pedas

Dalam wawancara dengan Malaysiakini awal petang ini hari ini, Azmin juga berkata, Syed Husin telah terlibat dan istiqamah dalam perjuangan menuntut keadilan lebih sedekad lalu, termasuk merengkok dalam penjara lebih lapan tahun.

"Janganlah orang baru seperti Zaid ini menyinggung perasaan seorang pemimpin lama yang telah diuji dalam perjuangan ini," kata Azmin yang juga bekas setiausaha sulit kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Menurut Azmin lagi, berbeza dengan Syed Husin, "dia (Zaid) tak faham apa makna perjuangan".

"Sebab itu saya nasihatkan supaya beliau melihat kembali kepada Pengisytiharan Permatan Pauh. Baca, hayati, jangan sombong dan angkuh. Jangan ingat kita tahu semua. Hentikan sikap ego," katanya.

Pengisytiharan Permatang Pauh pada 12 September 1998, sebelum Anwar ditahan kali pertama, dianggap sebagai asas kepada ideologi dan dasar-dasar penting bagi pembentukan PKR.

Dengan nada tenang, Azmin bagaimanapun mengajak semua pihak supaya bermuafakat dan berbincang penuh semangat kekeluargaan berhubung perkara itu.

"Kalau benar beliau mengeluarkan kenyataan itu, saya minta supaya beliau tarik balik dan tidak meneruskan tindakan seperti ini yang amat memalukan anggota dan pemimpin dalam PKR yang telah lama bersama Syed Husin Ali," katanya.


Sementara itu, mengulas wawancaranya yang mengundang pelbagai reaksi itu, Syed Husin hanya mengucapkan terima kasih atas pujian dan kejian terhadapnya.

"Terima kasih banyak. Untuk yang istimewa: Dia makan cili, dia rasalah pedasnya!" katanya tidak menyebut secara langsung individu itu. -mk


Ulasan GB

Definisi 'nyanyu':
selalu berkata yg bukan-bukan; merepek; menyanyah

Semalam sewaktu artikel pertama itu keluar di FMT, saya sudah dapat mengagak isu ini akan ditimbulkan oleh pihak Azmin dan akan menjadi modal politik bagi menyerang Zaid.

Saya tidak percaya seorang yang seperti Zaid akan mengeluarkan perkataan seperti itu terhadap Timbalan Presiden PKR. Sebelum menyiarkankannya, saya berusaha mencari jalan untuk menghubunginya untuk mempastikan kebenaran rencana itu. Tetapi tidak berjayal. Oleh itu saya ambil keputusan untuk batalkan menyalintampal artikel itu ke blog ini.

Akhirnya barulah hari ini Zaid memberitahu apa perkataan yang disebutkan yang sudah tersilap lapor oleh wartawan berkenaan iaitu nyanyu bukan nyanyuk.

Ini mengingatkan saya kisah Tun Dr Mahathir dahulu yang menyebut "shoo" tetapi dilaporkan oleh wartawan sebagai "shoot" ketika ditanya apakah yang Malaysia akan lelakukan terhadap pendatang haram.

"Shoo" bererti menghalau manakala "shoot" menembak.

Justeru itu, saya rasa tidaklah wajar mengukur seseorang calon daripada laporan-laporan yang diberikan oleh wartawan semata-mata.

3 ulasan:

zack berkata...

rasanya azmin pun ada berkata "Kalau benar beliau mengeluarkan kenyataan itu, saya minta supaya beliau tarik balik dan tidak meneruskan tindakan seperti ini yang amat memalukan anggota dan pemimpin dalam PKR yang telah lama bersama Syed Husin Ali,"

antiasobiyyah berkata...

saya rasa tak patut Azmin mengeluarkan komen dalam isu seperti ini kerana beliau adalah org yg berkepentingan dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden. Adalah lebih baik komen ini dikeluarkan oleh orang lain yang tidak bertanding. Takut dilihat nampak sangat nak mencari salah kawan2 yg sama2 berjuang! Oleh kerana artikel itu tidak benar, maka sewajarnya Azmin bertindak profesional utk mengeluarkan komen positif terhadap Zaid. Kalau Azmin boleh keluarkan komen negatif, rasanya tak susah utk mengeluarkan komen positif juga. Apapun bertandinglah secara baik dan harmoni, bukan membawa puak itu atau puak ini atau melebel orang aku atau orang kau...

Tanpa Nama berkata...

Saudara GB,

Tidak perlulah kita menyebelahi mana-mana pihak dalam isu zaid vs azmin ini. Siapa pun yang menang, kita akan berpecah lagi. Ini akan mengakibatkan PR menjadi tidak kuat. Adakah ini halatuju perjuangan kita?

Pada pandangan peribadi saya, adalah tidak wajar untuk Zaid Ibrahim sebagai individu yang baru menyertai PKR untuk terus naik ke posisi no. 2. Tidak adakah orang lain yang lebih senior dan lebih layak berbanding beliau? PKR tidak boleh terus-menerus memberi kedudukan tinggi kepada orang popular semata-mata untuk meluaskan pengaruh. Bagaimana pula dengan orang yang telah lama berjuang dalam parti? Kes Dr Chandra sepatutnya telah menjadi pengajaran kepada PKR.

Pada pandangan peribadi saya lagi, Azmin juga perlu membersihkan diri beliau daripada politik ala UMNO. Adalah tidak berguna menubuhkan PKR sekiranya ahli-ahlinya masih lagi mengamalkan budaya ala UMNO, serang-menyerang sewaktu hampir dengan pemilihan. Jika Azmin sudah tersesat dalam perjuangan ini, baliklah semula ke pangkal jalan. Ingatlah bahawa bukan ini tujuan kita bereformasi 11 tahun yang lalu.

Saya menghormati Dr. Syed Husin Ali sebagai individu yang sangat berpengalaman dalam politik. Saya fikir, tidak wajar bagi Zaid Ibrahim untuk memanggil beliau walaupun dengan panggilan "nyanyu" (yang sangat jarang digunakan dalam percakapan harian). Ingatlah, masyarakat memantau perkembangan ini. Sebarang perkara bodoh yang berlaku akan menyebabkan pengaruh PR bertambah lenyap.