22 Sep 2010

Memang Patut Dihukum Mati

Pemandu teksi terima hukuman mati

SHAH ALAM: Seorang pemandu teksi Mohd Fazli Azri Jamil dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun, Syafiah Humaira Sahari, Februari lalu.

Hakim Datuk Mohtarudin Baki membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mohd Fazli Azri, 28, didakwa membunuh Syafiah Humaira yang merupakan anak teman wanitanya di padang bola sepak, Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah, Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang kali pada 6.30 petang 25 Feb lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mohd Fazli Azri, teman lelaki kepada ibu Syafiah Humaira, Siti Nurhanim Aziz, didakwa membunuh kanak-kanak itu dengan cara menendang dan memijak perut mangsa.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Idham Abdul Ghani, Hanim Mohd Rashid dan Zureen Elina Mohd Dom manakala Mohd Fazli Azri diwakili peguam Gurbachan Singh.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 7 Jun lalu, mahkamah sudah mendengar keterangan daripada 33 orang saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan. - Bernama


Syafiah Humaira Disepak, Pijak Guna Kasut Bola

SHAH ALAM: Seorang pelajar tingkatan enam yang baru pulang dari menghiasi khemah rumah sukan di sekolah menyaksikan kejadian seorang kanak-kanak berusia tiga tahun empat bulan, Syafiah Humaira Sahari ditendang dan dipijak pada bahagian perut kerana dikatakan enggan memakai selipar.

Ahmad Fikrihalis Zakaria, 19, saksi pendakwaan ke-enam berkata, kejadian itu berlaku di padang bola dan dia melihat pemandu teksi, Mohd Fazli Azri Jamil yang dituduh membunuh Syafiah Humaira memakai kasut bola jenama Puma semasa melakukan perbuatan itu.

Ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Ahmad Fikrihalis menambah, dia yang menunggang motosikal menghampiri tertuduh kerana melihat Syafiah Humaira dipijak semasa sedang baring.

“Semasa saya berhenti, Abang Mat (nama panggilan tertuduh) bertanya pada saya jika saya pernah melihat budak kena terajang. Saya tanya kenapa buat begitu kerana dia (Syafiah Humaira) seorang budak.

“Selepas itu, Abang Mat sepak bahu kiri Syafiah Humaira yang duduk melunjur dengan kaki lurus ke depan...tendangan dari arah depan. Tendangan Abang Mat kuat kerana Syafiah Humaira terpelanting ke belakang,” kata saksi semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani.

Pelajar tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Mashor, Batang Kali, dekat sini menambah, Syafiah Humaira tidak menangis tetapi hanya terbaring selepas diperlakukan sedemikian.

Syafiah Humaira yang manja dipanggil ‘Pia’ juga tidak bermaya untuk bangun walaupun diminta berbuat demikian oleh tertuduh.

“Saya lihat Abang Mat menjinjing tangan Syafiah Humaira dan kemudian lepaskan tangan menyebabkan dia jatuh. Saya tanya apa yang berlaku dan Abang Mat cakap budak kecil itu enggan pakai selipar,” katanya.

Ahmad Fikrihalis juga memberitahu, dia menawarkan diri bagi mendukung Syafiah Humaira untuk dibawa masuk ke teksi tertuduh yang berada di tepi padang bola.

“Masa saya angkat, saya dengar Syafiah Humaira mengadu sakit. Saya bawa dia ke kereta dan sandarkan pada kerusi penumpang bahagian hadapan.

“Saya lihat Syafiah Humaira lebam di pipi kanan dan ada kesan tapak kasut bola di perut. Saya nampak kerana baju dia terselak,” katanya.

Saksi itu juga menambah, seorang budak kampung berkenaan, Muhammad Nur Afiq Othman turut membantu dia membuka pintu teksi dan beberapa kanak-kanak lain turut menghampiri teksi tertuduh.

Ini telah menyebabkan tertuduh marah lalu meninggalkan padang. Pada ketika itu, waktu sudah pukul 7 malam dan hampir masuk Maghrib.

Turut berada di dalam kereta ialah anak tertuduh, Syakimie Iqbal, dua tahun, yang dilahirkan hasil hubungan tertuduh dengan emak Syafiah Humaira, Siti Nurhanim Aziz, 25 tahun.

Mohd Fazli Azri didakwa membunuh Syafiah Humaira pada pukul 6.30 petang, 25 Februari lalu di padang bola sepak, Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam Gurbachan Singh. -mstar


3 ulasan:

bapa x tunggal berkata...

SETUJU DGN TAJUK ARTIKEL NI..menurut sipembunuh ini, dia mabuk dan khayal ganja semasa kejadian..sememangnya arak adalah kepala kpd segala keburukan..maka MEMANG PATUT DIHUKUM BUNUH MUSLIM YG MENEGUK KENCING SYAITAN KEMUDIAN MEMBUNUH SEORANG KANAK2 YG BELUM KENAL ERTI HIDUP..jika ada pilihan cara utk mnjlnkn hukuman,pasti ramai yg setuju klu pembunuh ini diperlakukan sama seperti cara dia mmbunuh adik humaira..kan?

Tanpa Nama berkata...

ya betul pijak je setan ni sampai mampos. siap la ko dlm penjara kompom ko kena balun dgn senior..

Alam Kekal berkata...

setuju.. kalau jel hanya merugikan wang pembayar cukai.. ini baru azab dunia, azab alam barzakh sedia menanti insyaAllah..