22 Sep 2010

Anggota Keluarga Jutawan India Akan Diminta Datang Untuk Ujian DNA

Anggota Keluarga Muthuraja Akan Diminta Datang Untuk Pengesahan DNA

Gambar: Isteri jutawan India, S. Usharani, 24, (kiri) bersama Anggota Parlimen Kapar, S. Manikavasagam (dua kiri) meninjau Sungai Panchau, tempat suspek utama kes pembunuhan kejam yang membabitkan jutawan kosmetik Allahyarhamah Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, membuang tulang dan abu mayat mangsa di Tanjung Sepat, dekat sini, hari ini. foto: BERNAMA

BANTING: S.Usharani, 24, isteri ahli perniagaan warga India A. Muthuraja yang dilaporkan hilang di Banting sejak awal tahun ini, melawat ladang ternakan milik suspek utama kes pembunuhan Datuk SosilawatiLawiya dan tiga lelaki lain di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini, Rabu.

Usharani, yang juga warganegara India, diiringi Anggota Parlimen Kapar S.Manikavasagam semasa lawatan itu.

Manikavasagam dan Usharani yang tiba di ladang itu pada pukul 11.35 pagi bagaimanapun tidak dibenarkan memasuki kawasan ladang itu oleh pihak polis yangmasih berkawal di pintu utama.

Ketika ditemui pemberita, Manikavasagam berharap anggota keluarga Muthuraja terutama bapa atau adik beradiknya dapat datang ke Malaysia pada minggu depan untuk membantu pihak polis dalam proses pengesahan DNA Muthuraja.

Manikavasagam berkata semasa beliau menemani Usharani bertemu dengan Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Supritendan Rizani Ismail, beliau dimaklumkan bahawa sebanyak 300 tulang-tulang kecil ditemui semasa siasatan yang melibatkan peguam yang merupakan supek utama kes pembunuhan Sosilawati. Laporan sebelum ini berkata tulang-tulang itu ditemui di Sungai Panchau oleh unit forensik polis semasa siasatan ke atas kes kematian Sosilawati dijalankan.

Manikavasagam turut membawa Usharani melawat Sungai Panchau dan Sungai Kanchong Laut yang masing-masing terletak satu dan dua kilometer dari Ladang Gadong, selepas melawat ladang milik peguam itu.

Beliau berkata tujuan beliau membawa Usharani ke ketiga-tiga tempat itu danmenemui polis ialah bagi mengetahui perkembangan siasatan kehilangan suaminyayang dilaporkan oleh Usharani kepada pihak polis dua minggu lepas.

Manikavasagam juga berkata beliau akan mengadakan sidang akhbar di pejabatnya di Kapar pukul 11 pagi esok untuk memberi beberapa maklumat atau bukti berkaitan dengan peguam itu.

Bila diminta memberi penjelasan lanjut, beliau berkata: "Keterangan yang ada padanya (Usharani) yang diperoleh semasa dihubungi peguam (suspek) semasa (suaminya) hilang, kami akan dedahkan dan berikan salinannya kepada polis."

Beliau berkata Usharani berhasrat untuk berada di sini selama seminggu tetapi tempat penginapan beliau dirahsiakan bagi tujuan keselamatan. - BERNAMA

Tiada ulasan: