30 Sep 2010

Ku Li Pengarah Galas. Tak Sukar & Tak Gusar Untuk PAS Menang

Galas: PAS dakwa norma luar biasa Umno lantik Ku Li pengarah

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menyifatkan Umno keluar daripada norma biasa apabila melantik Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya kecil DUN Galas.

Katanya, sebelum ini jawatan itu dipegang oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi BN.

Salahuddin berkata persoalan sekarang mengapa Muhyiddin lari daripada tanggungjawab tersebut.

“Kenapa Umno lari daripada norma biasa di mana Tan Sri Muhyiddin Yassin yang setiap kali berlaku pilihan raya kecil mesti timbalan perdana menteri yang jadi pengarah pilihan raya.

“Kenapa kali ini beliau lari?” kata beliau di sini hari ini.

Beliau turut menimbulkan persoalan mengenai janji-janji pilihan raya kecil kerusi Manek Urai Julai 2009.

“Mana janji beliau satu jambatan di Manek Urai, mana janji untuk memberi sumbangan RM1,000 sebulan kepada warga tua, mana janji beliau di Manek Urai,” katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu bagaimanapun enggan menyentuh tentang pelantikan Tengku Razaleigh.

“Saya tidak mahu sentuh pasal Tengku Razaleigh tapi kenapa kali ini Timbalan Perdana Menteri lari daripada tangunggjawab.

“Itu persoalannya, lagi pun PAS tiada masalah dengan Ku Li, malah kita bersama dalam beberapa itu sebelum ini termasuk royalti minyak,” katanya.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan bahawa Tengku Razaleigh telah dilantik sebagai pengarah pilihan raya Umno-BN di Galas.

Ia salah satu kerusi DUN dalam bahagian Parlimen yang diterajui Tengku Razaleigh.

Muhyiddin berkata keputusan itu diambil dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Umno semalam. Pengerusi Perhubungan Umno negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed pula dilantik timbalan pengarah dengan dibantu jentera parti di peringkat negeri dan pusat.

Muhyiddin berkata, beliau yakin dengan kepimpinan Razaleigh yang amat berpengalaman, berpengaruh lagi amat dihormati pengundi di DUN Galas.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Che Hashim Sulaima dari PAS akibat barah usus, Isnin lalu. Kekosongan kerusi itu membuka laluan kepada pilihan raya kecil ke-12 sejak Mac 2008.

DUN Galas selama ini dikuasai Umno, namun dalam pilihan raya lalu Che Hashim berjaya menawan kerusi itu dengan menewaskan calon Umno, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Menurut Salahuddin, PAS memandang serius pilihan raya kecil DUN Galas dan menyifatkan cabaran yang bakal dihadapi nanti perlu ditangani dengan bijak.

“PAS anggap ini satu cabaran besar, jentera PAS perlu bersiap sedia jangan ‘terlalu over confident’, jangan rasa selesa yang penting PAS akan meningkatkan keupayaan dan komitmen.

“Cabaran PAS untuk menghadapi rintangan ini dengan bijak,” katanya.

Tambahnya satu mesyuarat khas pemimpin PAS akan diadakan pada 3 Oktober ini dan isu DUN Galas akan menjadi agenda utama.

“Mungkin pada hari itu Presiden PAS akan mengumumkan siapa yang akan menjadi pengarah pilihan raya bagi PAS,” katanya.-TMI


Aziz Bari: Pelantikan Cubaan Singkir Ku Li Dari Umno

SHAH ALAM 30 SEPT: Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) Profesor Dr Aziz Bari percaya pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, sebagai cubaan halus Umno untuk menyingkirkan Ahli Parlimen Gua Musang itu.

Beliau berkata Umno nekad dengan meletakkan tekanan kepada Teng Razaleigh atau Ku Li bagi menyulitkan kedudukan beliau yang sering berpihak kepada kerajaan Kelantan pimpinan Pas yang memperjuang royalti minyak.

"Saya menganggap ini amaran kepada Ku Li sama ada terus kekal atau keluar Umno. Walaupun kita melihat beliau konsisten tidak senada dengan Umno tetapi dia masih belum keluar," katanya kepada TV Selangor, hari ini.

Ku Li selama ini didesak pelbagai pihak supaya keluar Umno dan menyertai Pakatan Rakyat berikutan kecenderungannya memihak kepada kerajaan Kelantan dalam isu royalti minyak dan beberapa perkara lain.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian wakil rakyat Pas, Che Hashim Sulaima akibat barah usus, mendorong laluan kepada pilihan raya kecil ke-12 sejak Mac 2008.

Mengulas mengenai peluang Pas memenangi pilihan raya kecil itu, Aziz percaya keputusan pilihan raya kecil itu secara matematiknya berpihak kepada Pas walaupun Ku Li memimpin kempen Umno Barisan Nasional.

Beliau berkata, Umno BN tampak tidak bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil mengejut walaupun mahu menunjukkan kemampuan mereka merampas semula kerusi DUN yang terlepas ke tangan PAS pada 2008.

Katanya, kemerosotan pengundi Umno BN dijangka berlaku melibatkan undi pos berikutan masyarakat orang Asli di Kelantan khususnya DUN Galas semakin selesa dengan kepimpinan Pas. -tvs


Ulasan GB

Tak sukar dan tak gusar bagi PAS sekalipun Ku Li menjadi Pengarah PRK Galas.

Perlantikan Ku Li jelas menunjukkan UMNO sendiri sudah hilang pemimpin berwibawa untuk mengetuai PRK kerana TPM, Muhyiddin sebelum ini telah dimalukan dengan beberapa kekalahan apabila mengetuai PRK.

Siapa lagi yang mampu mengetuai UMNO untuk PRK? Najib? Oh lagi banyak majoriti yang Pakatan Rakyat akan perolehi.

p/s Seperti kempen-kempen pilihanraya terdahulu Radio gb.fm akan cuba dikeudarakan di sepanjang tempoh kempen pilihanraya Galas ini. Doakan kesihatan GB dan hulurkan sedikit sumbangan jika ada simpati di hati. Kerja ini kerja sukarela saja tanpa apa-apa support dari parti walaupun GB dah berulangkali berperit tekak meminta parti mengerti. Meminta mereka "mengerti" bukan bermaksud meminta sedekah dari YB-YB atau parti, tapi parti dan YB mestilah tahu tunaikan kewajipan terhadap ahli-ahli parti supaya bukan saja radio GB, tetapi supaya lebih ramai ahli-ahli dapat menyumbang bakti dengan bakat dan kebolehan masing-masing apabila suda ada faktor motivasi. Selama ini, sekalipun parti melupai GB, tetapi GB tetap disini dipayungi Ilahi.

3 ulasan:

Idham berkata...

Kewibawaan dan pengaruh Ku Li sedikit sebanyak akan membawa satu cabaran yg besar kepada BN sendiri berikutan tuntutan royalti minyak yg tak kesampaian... takut keadaan makin parah maka dengan perlantikan Ku Li sekurang-kurangnya akan 'tutup mulut' Ku Li menkritik sepanjang kempen. Dia diberi kuasa utk jadi 'kepala keretapi'. Maka kepala mestilah sibuk memandu dihadapan. Mungkin itu yg mereka harapkan, isu royalti minyak adalah perkara pokok dlm kempen berbanding isu perkauman. Ku Li adalah duri dlm daging yg sgt digerunan oleh rejim Najib, khususnya Umno Upco.

Tanpa Nama berkata...

bawa saman ekor dan insuran mahal ke Galas

Tanpa Nama berkata...

Depa dah tau akan kalah sebab itu Muhyiddin Yassin tak minat nak jadi Pengarah Pilihanraya diGalas.Andainya UMNO kalah teruk diGalas,senanglah UMNO memburukkan Ku Li dan boleh cap Ku Li bersimpati kepada PAS.Busuk perut UMNO ni,semua orang dah tau.