28 Sep 2010

Jenazah Allahyarham ADUN Galas Selamat Disemadikan

ADUN Galas Dikebumikan Awal Pagi Ini

Gambar: Ibu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Allahyarham Che Hashim Sulaima, Tuan Jah Tuan Mahmood, 65, (dua, kanan) menyiram air mawar di pusara anaknya selepas upacara pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kerinting di sini, awal pagi tadi.

GUA MUSANG: Jenazah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Allahyarham Che Hashim Sulaima, 46, selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Kerinting, di sini, awal pagi ini.

Che Hashim meninggal dunia di Hospital Al-Islam, Kampung Baru Kuala Lumpur pukul 4.30 petang semalam selepas dimasukkan ke hospital itu sejak tujuh hari lepas akibat barah usus yang dialaminya lebih setahun lalu.


Sebaik jenazah Allahyarham tiba dari Kuala Lumpur pukul 12 tengah malam tadi, ia terus dibawa ke Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra untuk disembahyangkan dengan diimamkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Jenazah itu kemudian dibawa ke rumah isteri pertama Allahyarham, Che Bongsu Yunus, 49, di Perumahan Jabatan Perumahan Negara (JPN) Kampung Kerinting sebelum dikebumikan pada pukul 1 pagi.

Seorang lagi isteri Allahyarham ialah Aida Zakaria.

Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim memenangi kerusi DUN Galas setelahmenewaskan calon Barisan Nasional Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi apabilabeliau memperoleh 4,399 undi manakala Mohamad Saufi mendapat 3,753 undi.

Galas merupakan DUN yang terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang selain DUN Nenggiri dan Paloh.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, semasa ditemui di masjid Tengku Muhammad Faiz Petra berkata, pihaknya akan mengemukakan dokumen berkaitan kematian Adun Galah itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secepat mungkin.

"Tengoklah kalau dapat sijil kematian Allahyarham esok (hari ini) kita segerakan berbuat demikian bagi mengistiharkan kekosongan kerusi DUN Galas," katanya. - BERNAMA


Kehilangan besar

KOTA BHARU – Ketua Pembangkang, Datuk Md Alwi Che Ahmad menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Allahyarham Che Hashim Sulaima sebagai seorang pemimpin rakyat yang baik dan tidak mempunyai kontroversi.

Md Alwi berkata, beliau sudah lama mengenali Che Hashim memandangkan isteri pertama Allahyarham juga berasal dari Kok Lanas.

“Saya mewakili ADUN Pembangkang yang lain ucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Beliau seorang yang baik dan isteri pertama beliau juga orang kampung saya. Isteri beliau pernah menjaga ibu saya sewaktu sakit ketika itu mereka masih beluam berkahwin.

“Allahyarham juga merupakan seorang ADUN yang tidak mempunyai kontroversi sebab mungkin dia sendiri tak sangka dia akan menang pada pilihan raya 2008 sebab dia bertanding di kubu kuat Barisan Nasional. Beliau juga merupakan seorang yang aktif di dalam dewan. Beliau selalu mencelah masa saya berucap. Sama-sama memberikan pendapat,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Allahyarham Che Hashim, 46, yang dimasukkan ke Pusat perubatan Kampung Baru di sini dua hari lalu dan disahkan meninggal dunia kira-kira 4.30 petang semalam.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Che Hashim yang mewakili Pas berjaya merampas DUN Galas daripada Barisan Nasional (BN) dengan undi yang diperolehi 4,399 manakala penyandang dari BN Saufi Deraman mendapat 3,753 undi.

Allahyarham Che Hashim yang dengan majoriti 646 undi.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamad mewakili BN turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. -SH


Tiada ulasan: