16 Jul 2010

Rolls Royce Guna Nama "Sultan Melaka" Dirampas

Polis merampas sebuah kereta mewah jenis Rolls Royce (RC) bernilai RM2.85 juta yang menggunakan lambang nama "Sultan Melaka" sewaktu majlis perasmian bangunan oleh sebuah syarikat pelaburan tempatan di Bandar Puteri, Puchong, di Serdang semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abd Razak Elias berkata hasil siasatan mendapati kenderaan mewah yang tertulis "DYMM Tuanku Raja Noor Jan Shah" itu disewa daripada sebuah kedai jual kereta terpakai dengan menggunakan nama Sultan Melaka supaya mampu menarik kepercayaan pelabur asing.

"Kami juga menahan tiga lelaki berusia 20 hingga 35 tahun yang mendakwa pemandu dan penganjur majlis itu untuk siasatan lanjut. Setelah diperiksa, seorang daripada mereka positif dadah jenis ketamin," katanya pada sidang media di Serdang.

Abd Razak berkata polis akan mendapatkan keterangan daripada Raja Noor Jan Shah, yang sebelum ini pernah mendakwa dirinya waris Kesultanan Melaka, sama ada beliau mengetahui namanya digunakan oleh syarikat pelaburan berkenaan.

"Kes ini juga akan dirujuk kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk siasatan lanjut dan lelaki yang ditahan itu disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya," katanya.

Majlis kira-kira pukul 1 petang itu disedari sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan di sekitar kawasan itu dan mendapati kenderaan mewah yang dipamerkan itu menjadi tumpuan ramai terutama kira-kira 150 pelabur asing dari Hong Kong, China dan Vietnam.

"Setakat ini, polis hanya menahan seorang individu atas kesalahan positif dadah dan dua lagi dibebaskan. Namun siasatan lanjut sedang dilakukan termasuk mendapatkan keterangan daripada wakil syarikat pelaburan berkenaan," katanya.-Bernama Gambar: Metro

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kapal selam nama siapa? kenapa tak rampas siasat kaitan dengan rasuah tak?