10 Jul 2010

Rais, Hishamuddin dan Nazri Terima Nasib Serupa Dengan Syed Hamid Jika Terus Tekan Suara Rakyat

KDN Ikut Rentak Tari Umno-BN Oleh Mak Bonda

Kementerian Dalam Negeri serta Menterinya boleh memberi seribu satu alasan untuk menafikan hak media Pakatan Rakyat seperti Suara Keadilan dan Harakah.

Namun rakyat yang sudah celik minda dapat melihat dengan terang ibarat melihat badut diwaktu siang, disuluh pula dengan ‘spotlight’.

Sepertimana dilaporkan, pihak Suara Keadilan dan Harakah tidak pernah menerima sebarang surat tunjuk seperti yang didakwa KDN. Lawak betul!

Bila mana diminta salinan surat-surat berkenaan dan bukti terimanya pun, KDN membisu seribu bahasa!

Justeru jika kewujudan surat-surat itu dipertikaikan, siapa yang patut dipersalahkan?

Sudah tentu Najib dan sepupunya Hishammuddin.

Begitu juga bila mana KDN dilihat cuba bermain politik soal artikel "Felda Bankrap" yang sepatutnya KDN tidak ‘overacting’, tetapi sebaliknya perlu ‘tenang macam biasa’ ketika mana pemimpin Pakatan Rakyat difitnah dan diputarbelitkan kenyataannya oleh akhbar arus perdana khususnya Utusan Malaysia.

Ada pernah KDN keluarkan surat tunjuk sebab? Ada pernah digantung permitnya? Ada?

Begitu juga dalam kes terbaru melibatkan Suara Perkasa yang mendapat bantahan hangat oleh MCA, sekutu Barisan Nasional sendiri. Kita tidak melihat KDN menunjukkan taringnya kepada media pro Umno-BN! Rakyat yang cerdik tidak pelik melihat rentak tari Menteri KDN itu.

Justeru kita ingin mengingatkan PM 1Malaysia, supaya melihat balik slogan ‘rakyat didahulukan, prestasi diutamakan’ dalam kes KDN dan permit akhbar Suara Keadilan dan Harakah.

Jangan lupa, KEADILAN dan PAS adalah dua buah parti berdaftar yang halal dalam struktur demokrasi Malaysia.

Suara Keadilan dan Harakah pula adalah lidah rasmi, organ parti berkenaan.

Menafikan hak Suara Keadilan dan Harakah daripada mendampingi ahli dan penyokong KEADILAN, PAS dan Pakatan Rakyat menunjukkan pimpinan Najib tidak mengutamakan kehendak dan keperluan rakyat.

Sebaliknya, sekadar tindakan terdesak dan bacul demi survival Umno-BN.

Apalah kecoh sangat soal 8 naskah suratkhabar Suara Keadilan atau Harakah, jika tidak dihantar kepada KDN?

Buktikan KDN memang menghantar surat-surat berkenaan dan bukti penerimaannya.

Buktikan kepada siapa dan alamat mana ianya dihantar.

Buktikan juga jika benar ada surat-surat amaran, dan lain-lain yang dihantar berkait perkara berkenaan.

Jika KDN mesra rakyat atau tidak ‘memusuhi Pakatan Rakyat’, kenapa pihak KDN tidak berusaha menangani isu remeh ini dengan cara lebih mesra pelanggan, bermatlamatkan penyelesaian masalah?

Contohnya, susah sangatkah untuk seorang pegawai KDN membuat panggilan telefon, susulan mengenainya di peringkat awal lagi?

Mengenai artikel berkaitan Felda dan lain-lain yang mungkin tidak memenuhi selera KDN, jika benar ianya fitnah, biarkan saja Felda menyaman dan mengambil tindakan mahkamah terhadap Suara Keadilan.

Memang itu yang selama ini diamalkan dilakukan oleh Ketua Pembangkang dan lain-lain pimpinan Pakatan Rakyat yang menjadi mangsa media arus perdana.

Cukuplah Umno dan BN saja bermain politik. KDN tak perlu mengikut telunjuk dan rentak tari mereka. -SK


KDN tegur, ambil tindakan ke atas 10 akhbar

Sepuluh penerbitan telah diberi teguran dan diambil tindakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dari Januari hingga Jun tahun ini kerana melanggar syarat dan perutukan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Penerbitan berkenaan ialah Harian Metro, Metro Ahad, Kosmo, Oriental Daily, China Press, Nanyang Siang Pau, Harian Tamil Uthaya Surian, Suara Keadilan, Suara Perkasa dan Harakah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN Datuk Zaitun Ab Samad berkata KDN akan mengambil sikap tegas ke atas mana-mana pemilik permit penerbitan dan lesen mesin cetak yang didapati melakukan pelanggaran syarat dan tidak mematuhi peruntukan-peruntukan mengikut akta tersebut.

Beliau berkata KDN juga akan mengkaji dan meneliti prosedur dan garis panduan untuk memantapkan dan meningkatkan keberkesanan serta keseragaman pengurusan media melalui Jawatankuasa Pengukuhan Strategi Komunikasi Kerajaan yang ditubuhkan.

Jawatankuasa itu dianggotai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein. -mk


Ulasan GB

Jika sebelum ini Datuk Seri Syed Hamid Albar yang menjadi Menteri KDN galak sangat menzalimi rakyat melalui ugutan dan ancamannya untuk menggunakan ISA yang akhirnya dengan doa rakyat beliau tertonggeng dari kerusi kabinet, maka kali ini pastikan Hishamuddin, Nazri dan Rais akan mendapat nasib yang serupa.


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

mudahan2 BN akan tertewas d msa hadapan dgn sehina2nye..pemimpin2nye hendaklah d hadapkan d muka pngadilan...

Tanpa Nama berkata...

dengan izin Allah mereka2 ini akan terima nasib yang sama dengan syed hamid tu.... perbanyakkanlah kita berdoa.. Insya Allah doa kita akan dimakbulkan oleh Allah.. kerana kezaliman mereka sekarang ini semakin jelas... cuma Allah masih menguji kesabaran kita .... KEMENANGAN AKAN KITA PEROLEHI AKHIRNYA....