1 Jun 2010

Syed Sobri Berdepan Dengan Masalah Kewangan?

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim meminta para media memberi sedikit masa untuk beliau memberi keputusan mengenai jawatan beliau di dalam Umno Kedah mahupun sebagai Adun Kuala Nerang.

Menurutnya, keadaan tertekan menjadikan beliau sukar untuk mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung khabar angin menyatakan beliau akan meninggalkan Umno dan menyertai PAS.

"Saya tidak boleh memberi sebarang komen atau kenyataan kerana melibatkan banyak pihak termasuklah jawatan saya sebagai Adun Kuala Nerang.

"Harap semua media dapat memberi masa untuk saya menyatakan pendirian tetap saya dalam masa terdekat ini," katanya ketika dihubungi wartawan Free Malaysia Today hari ini.

Syed Sobri tetap menegaskan tidak akan memberi sebarang kenyataan dalam masa terdekat ini sehinggalah mencapai satu keputusan terbaik untuk mengemukakan kepada umum.

PAS sentiasa alu-alukan Syed Sobri

Sementara itu, Speaker Negeri Kedah yang juga ahli jawatankuasa PAS Kedah, Datuk Abdul Isa Ismail menyatakan PAS sentiasa mengalu-alukan penyertaan ahli baru dan jika benar mana-mana Adun atau pun ahli parti Barisan Nasional (BN) ingin menyertai PAS, ia dapat menyatukan lebih ramai lagi umat.

"Jika benar Adun Kuala Nerang ingin menyertai PAS, dia perlulah mengemukakan surat secara terbuka kepada jawatankuasa PAS, barulah sah beliau benar ingin bersama kami.

"PAS sentiasa mengalu-alukan kemasukan ahli baru sama ada Adun mahupun umat Islam yang lain bagi bersama-sama membentuk kebenaran melalui pegangan agama untuk negara," katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today hari ini.

Tambah beliau, keputusan sepenuhnya sama ada penyertaan Adun Kuala Nerang diterima atau pun tidak, beliau menyatakan keputusan tersebut akan dibuat oleh jawatankuasa tertinggi PAS.

Syed Sobri sejak akhir-akhir ini sentiasa dijejaki wakil-wakil media untuk mendapatkan pengesahan daripadanya tentang ura-ura beliau akan membuat pengumuman untuk meninggalkan BN menyertai PAS hari ini.

Kesahihan semakin memuncak kerana Syed Sobri dikatakan begitu kecewa dengan Umno, berikutan disisihkan dan sudah tidak mempercayai perjuangan Umno yang hilang hala tuju itu.

Jika beliau menyertai PAS maka kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) yang diterajui oleh PAS akan bertambah kukuh. Dengan kemasukan Syed Sobri, PR akan mempunyai 21 Adun berbanding BN 12. -FMT

Ulasan GB

Untuk tujuan rekod, GB lampirkan dua berita bertarikh 13 Nov 2008 dan 16 Nov 2008 dari MSTAR


ADUN Kuala Nerang muflis, kemungkinan pilihan raya kecil?

Kedah kemungkinan menyaksikan pilihan raya kecil, yang pertama sejak pilihan raya umum ke-12, berikutan keputusan mahkamah mengisytiharkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim muflis. `

Timbalan Pendaftar Najwa Che Mat telah mengisytiharkan Syed Sobri sebagai muflis 3 November lalu.

Syed Sobri dikatakan gagal menjelaskan hutang bank berjumlah RM100,000.

Bagaimanapun Syed Sobri telah mengemukakan rayuan dan permohonannya akan didengar pada 1 Disember ini.

Beliau enggan mengulas apa-apa mengenainya.Sumber-sumber Barisan Nasional (BN) pula memberitahu kes tersebut telah diselesaikan bagi mengelakkan pilihan raya kecil.

Pada 8 Mac lalu, Syed Sobri menewaskan calon PAS, Zawawi Ahmad dengan kelebihan 805 undi.
Syed Sobri memperoleh 7,856 undi.Speaker Dewan Undangan Negeri, Dr. Abdul Isa Ismail telah mengemukakan surat makluman mengenainya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika dihubungi The Star di Indonesia mengesahkan ada dimaklumkan perkara tersebut dan ia sedang diteliti.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, adalah baik jika perkara tersebut diselesaikan.

"Kita tidak perlu membazirkan wang dengan mengadakan pilihan raya. Kita boleh fokus kepada soal pembangunan negeri," katanya.


ADUN Kuala Nerang bebas muflis, tiada pilihan raya kecil

KUALA NERANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim berkata, beliau sudah menjelaskan semua hutang bank sebanyak RM150,000.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga mengesahkan spekulasi pilihan raya kecil tidak timbul lagi kerana isu itu “kini hanya bersifat akademik kerana sudah ada penyelesaian.”

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya difahamkan soal muflis sudah selesai kerana kedua-dua pihak yang terbabit iaitu Syed Sobri dan bank telah mencari jalan penyelesaian.

“Jadi soal pilihan raya kecil tidak timbul lagi,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Beliau mengakui SPR ada dimaklumkan tentang status muflis ADUN itu sebelum ini.

“Tetapi kini sudah selesai,” kata beliau kepada mStar Online.

Syed Sobri yang dipetik Bernama berkata, peguam beliau telah mengemukakan permohonan untuk mengetepikan penghakiman mahkamah 3 November lepas yang mengisytiharkan dirinya muflis.

“Perintah dari mahkamah pun belum dikeluarkan,” kata beliau, yang juga Naib Ketua Umno Padang Terap, kepada pemberita pada majlis khatan perdana anjuran Kelab Kebajikan dan Sosial Kakitangan Hospital Kuala Nerang dan Adun Kuala Nerang di sini, semalam.

Khamis lalu, media melaporkan Kedah berkemungkinan menyaksikan pilihan raya kecil berikutan keputusan mahkamah mengisytiharkan ADUN Kuala Nerang itu muflis.

Pada pilihan raya umum Mac lepas, Syed Sobri menewaskan calon PAS, Zawawi Ahmad dengan majoriti 805 undi.


Tiada ulasan: