19 Mei 2010

Polis Tembak Pemuda Kerana Tiada Cukai Jalan

Mangsa tembakan polis pada April tahun lepas, Shahril Azlan Ahmad Kamil, 26, membuat laporan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seksyen 11 hari ini,di sini.

Beliau yang diiringi dua orang peguam, Fadiah Nadwa Fikri dan Puspawati Rosman membuat laporan tersebut pada pukul 12.30 tengah hari.

Bapa mangsa sebelum ini telah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut pada 16 April tahun lepas, sehari selepas kejadian tersebut namun tidak ada tindakan sehingga hari ini.

Dalam laporannya, Ahmad Kamil mendakwa anaknya ditembak di Seksyen 7, di satu sekatan jalan raya.

Ketika ditanya wartawan berhubung laporan polis yang dibuat hari ini, Shahril berkata ketika kejadian itu, beliau ditembak selepas bertindak mengundurkan kereta dalam satu sekatan jalan raya di Persiaran Permai, Seksyen 7.

"Semasa perjalanan pulang ke rumah selepas menonton perlawanan bola sepak di sebuah restoran pada pukul 12.30 tengah malam, saya telah ditahan polis dalam satu sekatan jalan raya.

"Saya mendapati cukai jalan kereta telah tamat dan disebabkan panik, saya terus mengundurkan kereta dan secara tiba-tiba dua orang anggota polis berpakaian biasa membawa kayu terus melepaskan dua atau tiga das tembakan ke arah kereta dan mengenai badan,

"Anggota polis tersebut kemudian menyuruh saya membuka bonet kereta kerana mendakwa kononnya saya memiliki dadah.

"Menyedari saya telah terkena tembakan itu, saya kemudiannya merayu kepada seorang anggota polis berpakaian seragam supaya menghantar saya ke hospital.

"Selepas hampir satu setengah jam barulah ambulan datang dan menbawa saya terus ke unit rawatan rapi," ujar Shahril.

Menurutnya, semasa di hospital, datang wakil polis berpakai seragam menemui ibunya menyerahkan RM200 sebagai belanja bil perubatan tetapi ditolak.

Dalam laporan tersebut, Shahril juga meminta agar tindakan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab menembak beliau tanpa sebab.

Beliau juga meminta satu pasukan khas polis Bukit Aman ditubuhkan bagi menyiasat insiden tersebut berikutan tiada tindakan lanjutan yang diambil selepas peristiwa hitam itu berlaku setahun yang lalu.

Sementara itu, peguamnya Fadiah Nadwa berharap pihak polis menyiasat kes tersebut memandangkan tembakan terhadap anak guamnya tidak dibuat mengikut kaedah yang sepatutnya. -SK

1 ulasan:

sydeen aka saidin berkata...

ada ke patut polis siasat polis.... lucu la dunia ni