19 Mei 2010

MP Tunjuk Contoh Teladan Tidak Baik, Bung Mokhtar Dipenjara Sebulan

Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini menjatuhkan hukuman penjara sebulan ke atas Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin kerana berkahwin tanpa kebenaran mahkamah, hujung tahun lepas.

Dalam pada itu, isterinya Zizie Izette Abdul Samad pula didenda RM1,000 atau penjara sebulan atas kesalahan yang sama.

Selain itu aktres tersebut juga dikenakan denda RM1,000 atau penjara enam bulan kerana bersubahat dalam kes Bung Moktar berpoligami tanpa kebenaran mahkamah.

Hukuman ke atas mereka sepatutnya diumumkan semalam, tetapi ditangguhkan sehingga ke hari ini.

Semalam, Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad membuat keputusan itu setelah mendengar rayuan dan hujahan akhir pihak pendakwaan dan pembelaan.

Wan Mahyuddin juga menetapkan hari ini untuk keputusan kes dua abang dan adik Zizie Izette serta dua yang lain yang didakwa atas pertuduhan bersubahat dalam kes berpoligami itu.

Pada 20 April lalu, Bung Moktar, 51, dan Zizie, 31, mengaku bersalah atas pertuduhan berkahwin tanpa kebenaran mahkamah, hujung tahun lepas.

Bung Moktar dituduh berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dengan isterinya di rumah No 12, Jalan TC2B/3 Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak pada 8.50 malam, 16 Dis tahun lalu.

Zizie juga dituduh berkahwin dengan Bung Moktar tanpa kebenaran Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk di alamat, waktu dan tarikh yang sama.

Bagi tuduhan itu, pasangan tersebut didakwa mengikut Seksyen 124 dan Seksyen 40(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Selain itu, Zizie didakwa bersubahat dalam kes Bung Moktar berpoligami tanpa kebenaran mahkamah manakala Bung Moktar dituduh bersubahat dengan pasangannya berkahwin tanpa kebenaran.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 134 Enakmen yang sama yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Ahmad Shahazmi Abdul Samad, 48; Samzy Fuzette Abdul Samad, 34; Shaheizy Sam Abdul Samad, 27, dan dua rakan Ahli Parlimen Kinabatangan itu, Sahari Ahmad, 54, dan Titing Putang, 56, didakwa melakukan kesalahan itu di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 134 Enakmen yang sama yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Ahmad Shahazmi turut menghadapi pertuduhan lain iaitu mengakadnikahkan adiknya, Zizie dengan Bung Moktar tanpa mendapat kebenaran berkahwin daripada pendaftar nikah daerah Gombak Timur.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 40(1)(a) Enakmen yang sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Selain itu, kedua-dua adiknya, Samzy dan Shaheizy didakwa mengambil bahagian sebagai saksi dalam pernikahan Zizie dan Bung Moktar tanpa kebenaran pendaftar.

Kesemua mereka yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu dilepaskan dengan bon jaminan lisan RM500 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Syariah Bahagian Selangor Shafezan Rusli dan Zusyarafain Yusof manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Amli Embong.

Bagi tuduhan bersubahat poligami Wan Mahyuddin mengenakan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan terhadap Ahmad Shahazmi, Samzy Fuzette, Shaheizy Sam, dan dua rakan Ahli Parlimen Kinabatangan itu, Sahari Ahmad, 54, dan Titing Putang, 56.

Ahmad Shahazmi turut menghadapi pertuduhan lain iaitu mengakadnikahkan adiknya, Zizie dengan Bung Moktar tanpa mendapat kebenaran berkahwin daripada pendaftar nikah daerah Gombak Timur dan dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 atau satu bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut hari ini.

Selain itu, kedua-dua adiknya, Samzy dan Shaheizy juga dikenakan denda sebanyak RM1,000 atau satu bulan penjara kerana mengambil bahagian sebagai saksi dalam pernikahan Zizie dan Bung Moktar tanpa kebenaran pendaftar.

Mahkamah akan bersambung semula pada pukul 12 tengah hari.

Wan Mahyuddin juga menegur sikap Bung Mokhtar dan Zizie Izette memandang mereka berdua adalah orang terkenal dan tidak sepatutnya melanggar undang-undang.

‘Mereka adalah orang terkenal dan dikenali ramai dan tidak sepatutnya melanggar undang-undang,’ katanya.

Tambah beliau, sepatutnya mereka memberi contoh baik kepada masyarakat memandang mereka adalah ikon masyarakat.

‘Segala tingkah laku mereka pasti akan menjadi ikutan dan tindakan melanggar peraturan bermakna undang-undang boleh dimainkan oleh orang berpengaruh.

‘Jadi dengan hukuman dikenakan diharapkan ia boleh diberikan pengajaran kepada masyarakat supaya tidak melanggar undang-undang,’ katanya. -TMI

2 ulasan:

Awanama berkata...

Ini lah MP pilihan...

Awanama berkata...

Mereka tidak boleh dijadikan contoh (icon) yang baik kepada rakyat Malaysia.