31 Mei 2010

GAS Beri Tempoh Seminggu Kepada Samy Vellu

Samy Turun!" Kira-kira 3,000 orang menghadiri majlis pelancaran Gerakan Anti Samy (GAS) semalam, mendesak agar Presiden MIC yang memegang jawatan untuk 31 tahun ini berundur dalam tempoh seminggu.

Penggerak GAS, V.Mugilan berkata, biarpun wujud sabotaj untuk mengurangkan bilangan orang yang hadir, namun "yang penting itu semangat, bukan bilangan orang". Beliau mendakwa bahawa aktiviti pada hari Ahad ini berjaya, malah telah menjangkau matlamat gerakan ini.

Majlis Perlancaran GAS dijadualkan bermula pada jam 2 petang, di Putra World Trade Centre (PWTC) semalam, tetapi dibatalkan sewaannya kepada GAS tiga hari yang lalu. GAS akhirnya mengadakan majlis ini di Malaysia International Exhibition & Convention Centre (MIECC).

Penganjur menangguhkan permulaan majlis lantaran kelewatan mereka yang hadir, sehingga jam 3 petang. Kira-kira 3,000 orang hadir pada hari semalam, termasuk ahli MIC yang tidak berpuas hati dengan Samy Vellu yang masih enggan melepaskan tampuk pimpinan kepada pewarisnya, dan mereka yang prihatin terhadap keadaan Maju Institute of Education Development (MIED).

Antara yang hadir termasuklah V. Govindaraju, bekas ahli parlimen Pelabuhan Klang-MIC yang pernah menjawat Naib Presiden MIC. V. Govindaraju juga "penasihat" di sebalik GAS.

Penceramah menuduh Samy berbohong

Sebagai penceramah pertama, V. Govindaraju meminta maaf kepada semua orang, apabila mengakui bahawa dirinya yang menbawa Samy Vellu untuk masuk ke MIC. V. Govindaraju menuduh Samy berbohong dalam hal "tarikh hari jadi"-nya.

Selain V. Govindaraju, K.P. Samy yang turut dipecat Samy Vellu, mengumumkan data pungutan yuran parti untuk membuktikan bahawa Samy Vellu berbohong kepada orang awam kerana mendakwa MIC mempunyai enam juta orang ahli.

Menurut maklumat dalam parti, MIC telah memungut jumlah yuran keahlian sebanyak RM615,550 pada tahun 2009. Jika dibahagikan RM1.50 setiap orang, maka akan didapati bahawa ahli yang membayar yuran hanyalah kira-kira 410,000 orang. Malah, dalam belanjawan parti tahun 2010, daripada yuran yang dianggarkan, jumlah penambahan ahli baru, kesemuanya tidak melebihi 500,000 orang.

Namun demikian, K.P. Samy enggan mendedahkan sumber pemberi maklumat ini, cuma memaklumkan bahawa dirinya memperolehi maklumat ini dua minggu yang lalu dari pusat.

Ketika berucap, K.P.Samy menuding jari kepada Samy Vellu sebagai punca yang memecah-belahkan komuniti India, yang kini menyertai PPP, Gerakan malah PKR dari Pakatan Rakyat. Beliau menyeru agar Samy Velly berundur untuk menyelamatkan MIC dan menyatu-padukan orang India di Malaysia.

Pukul gambar Samy dengan kasut

Biarpun lokasi ditukar, tetapi kehadiran tetap melebihi 2,500 orang. Malah, seorang warga emas berumur 70-an yang berjalan dengan tongkat, gagal menahan kemarahan yang meruap, lalu menyarung tongkatnya dengan kasut, dan memukul ke arah gambar Samy Vellu pada poster besar. Tindakan ini menggemparkan orang ramai.

V.Mugilan menjelaskan bahawa mereka tidak bersetuju dengan perbuatan sedemikian, malah meminta maaf kepada Samy Vellu dalam sidang media yang diadakan kemudiannya. Namun, beliau menambah, penguasaan Syarikat Maika Holding Berhad oleh Samy Vellu mencetus kemarahan warga emas tersebut, yang memikirkan masa depan generasi yang akan datang.

Seorang ahli MIC, Rohn Rajen berkata, beliau menolak jadual perletakan jawatan yang ditentukan oleh Samy Vellu sendiri. Beliau menuntut agar Samy Vellu berundur dengan segera, "Saya tidak tahu siapakah orang yang sesuai untuk menjadi pemimpin, tetapi apa yang pasti, orang itu bukan Samy Vellu!"

Kata-katanya disahut dengan laungan agar Samy Vellu berundur.

Mugilan bersumpah

Anak Samy Vellu, S.Vell Paari yang pernah menuduh bahawa UMNO adalah dalang di sebalik GAS, telah memohon maaf lantaran kenyataan tersebut. Bagaimanapun, Mugilan tetap bersumpah dengan Tirukural (kitab Hindu) bahawa gerakan ini tidak didalangi mana-mana kuasa atau individu yang lain.

Pada masa yang sama, beliau berkata, terdapat orang yang sanggup membelanjakan RM 5 juta untuk menggangu kelancaran aktiviti ini, dengan cara-cara termasuk mengugut dan menakut-nakutkan orang yang berniat hadir. Malah, aktiviti ini dikatakan akan dikacau oleh samseng, dan tiada polis hadir untuk mengawal ketenteraman, bertujuan untuk menambah keresahan orang yang ingin datang.

Malah, RM 5000 dibayar kepada pemandu bas yang bakal membawa penumpang dari Johor, Pulau Pinang, Kedah dan sebagainya, bahkan ada yang dibayar terus kepada mereka yang berniat hadir, menurut Mugilan.

Mugilan menjangkakan kehadiran semalam mencecah 15,000 orang, tetapi dewan ini hanya dapat menampung 5,000 kerusi, dan hanya separuh daripadanya diisi, mengikut pengamatan wartawan. Beliau menjangkakan kehadiran melebihi 20,000 orang seandainya tiada sabotaj.

Had tempoh 7 hari

Mugilan adalah Timbalan Ketua Pemuda MIC yang dipecat oleh Samy Vellu, berikutan gesaannya agar Samy berundur pada 19 Mei 2010. Sebelum ini, Mugilan ialah calon cadangan yang terhangat untuk MIC-BN dalam PRK Hulu Selangor, namun akhirnya terpaksa memberi laluan kepada P.Kamalanathan.

Isu ini dipercayai punca perbalahan antara Mugilan dengan Samy Vellu. Mugilan mengehadkan tempoh 7 hari agar Samy berundur secara sendiri, dan beliau akan mengumumkan formula GAS untuk menggulingkan Samy Vellu sekiranya Samy enggan berbuat demikian. "Samy adalah beban BN dan kerajaan, kalau beliau tidak berundur, BN pula yang akan diheret."

Di samping itu, Setiausaha Agung MIC S. Murugesan yang menyokong GAS telah dipecat pada petang, semalam. -MR

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ayo Ayo Brother Samy..Ini MIC bukan kita punya bapak punya..Lu sudah kaya mahu berapa kaya lagi...