31 Mei 2010

Karpal : Najib, Ezam Boleh Didakwa Tidak Membuat Laporan Polis

Perbicaraan kes Fitnah 2 Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bersambung semula pagi ini.

Peguambela, Karpal Singh sekali lagi memohon bagi membekalkan pihaknya dengan senarai saksi.

Perbicaraan dimulakan Karpal dengan memberitahu pihaknya telah menghubungi pemilik kondominium di mana penuduh yang juga saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan mendakwa tempat dia diliwat tetapi gagal menghubunginya.

"Kami perlukan bantuan daripada pihak pendakwaan. Saya pasti dia (pemilik kondo) itu juga akan dipanggil (sebagai seorang saksi).”

Namun Peguam Cara II Negara yang juga ketua pendakwa, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden memaklumkan mahkamah bahawa beliau hanya mengetahui berhubung permohonan senarai saksi pendakwaan telah dibuat hari ini.

Perbicaraan pagi ini ditangguhkan sebentar selepas sesi soal balas (cross examine) diadakan di antara Karpal terhadap Saiful.

Berikutan itu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memanggil peguam ke dalam kamar untuk mengadakan perbincangan.

Dalam perbincangan itu, Karpal memohon kepada hakim untuk pergi ke kondominium itu yang terletak di Bukit Damansara di mana lokasi Saiful dakwa diliwat Anwar. Permohonan itu bertujuan bagi membuat pemeriksaan alibi.

Sebelum itu, prosiding soal balas masih lagi berkaitan laporan perubatan ke atas Saiful.

Saiful menceritakan bahawa ayahnya bercerai dengan ibunya semasa dia berada dalam darjah satu.

Karpal kemudian bertanya mengenai adik perempuan Saiful iaitu Saidati yang dikatakan mengikut seorang lelaki dan berkahwin di Thailand.

Beliau kemudiannya menyemak semula keterangan awal Saiful mengenai perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Rodwan Mohd Yusof (ketika itu pengarah Jabatan Siasatan Jenayah yang sekarang ini Ketua Polis Melaka) dan bekas olahgarawati negara, Mumtaz Jaafar yang merupakan sahabat akrab isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Karpal kemudian bertanyakan kepada Saiful sama ada Najib, Mumtaz, Rodwan, Ezam ada membuat laporan polis berhubung dakwaannya yang dia diliwat oleh Anwar.

Saiful memberikan jawapan bahawa dia tidak tahu.

Kemudian berlaku pertikaman lidah di antara Karpal dan Mohd Yusof sebaik Karpal berhujah Perdana Menteri dan yang lain boleh diheret ke mahkamah kerana tidak membuat laporan polis berhubung dakwaan Saiful diliwat.

"Di bawah Seksyen 13, Kanun Prosedur Jenayah adalah satu prosedur bagi seseorang untuk membuat laporan polis. Jika ini tidak dilakukan, ia adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 202, Kanun Keseksaan,” jelas Karpal. -SK

Tiada ulasan: