30 Mei 2010

Benar, PR Sedang Menuju Ke Putrajaya

Kongres Terbaik Petanda Masa Depan Cerah Ke Putrajaya

Kongres Nasional KEADILAN kali ini disulami dengan perbahasan dan displin yang baik memberi petanda harapan cerah kepada KEADILAN dan Pakatan Rakyat melangkah menuju ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Naib Presiden, Azmin Ali semasa mengulung perbahasan menyifatkan perjalanan kongres petang tadi oleh perwakilan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama sebagai yang terbaik di antara kongres pernah diadakan sebelum ini.

"Kita lihat kali ini, penyertaan Ramli Logan yang mewakili Orang Asal telah menyampaikan hujah yang cukup baik dan bernas dan ini sama sekali tidak berlaku dalam persidangan yang dianjurkan Umno-Barisan Nasional umumnya.

"Kita juga bangga dengan sayap baru KEADILAN, Srikandi yang dibarisi wanita muda yang berani tampil ke depan menghidangkan perwakilan dengan perbahasan yang hangat," ujar beliau.

Dalam pada itu, Azmin turut menyokong usul yang dikemukakan oleh Wanita dan mahukan tindakan susulan berhubung usul tersebut.

Beliau juga meminta supaya keempat-empat kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Rakyat menghantar ketua-ketua jabatan mendengar dan mencatit segala usul perwakilan tanpa mengharapkan Menteri Besar dan barisan exco yang merekodkan maklumat itu.

"Kita merayu kepada perwakilan yang hadir ini memastikan KEADILAN sentiasa kuat namun pada masa yang sama, kita juga berharap agar kerajaan negeri Pakatan Rakyat dapat membantu anggota parti.

"Bila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim difitnah, bukan pengarah anak syarikat kerajaan negeri yang tampil membela tetapi anggota KEADILAN yang ke depan membela pemimpin mereka," tegasnya.

Azmin turut memberi cadangan supaya anggota parti melakukan perubahan dengan menggantikan ketua-ketua di peringkat cabang yang tidak aktif.

"Mana-mana ketua cabang yang tidak berfungsi, saya minta anggota parti melakukan perubahan.

"Perkemaskan 'delivery system' negeri masing-masing dan jika ini dapat dibuat dengan cepat dan pantas, rakyat akan hantar kita ke Putrajaya," tambahnya lagi.

Justeru itu, beliau turut meminta supaya tanggungjawab itu tidak hanya digalas kepada pegawai kerajaan negeri sahaja tetapi juga diagihkan kepada anggota KEADILAN untuk melaksanakan sistem tersebut.


Mohd Fairus dakwa PKR tunggu masa 'karam'

Bekas timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin berkata krisis dalaman PKR kini kian meruncing dan parti itu hanya menunggu masa untuk "karam".

"Jika dulu Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat tohmahan bahawa 'kapal Umno' akan menerima nasib seperti 'Titanic' tapi hakikatnya kini, itulah nasib yang akan dialami PKR tidak lama lagi," katanya ketika ditemui Bernama selepas Ceramah Perdana Program Juara Rakyat anjuran Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu, di Kampung Sungai Tengas, dekat Kulim malam tadi.

Hadir sama pada majlis yang disertai hampir 1,000 penduduk tempatan itu ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Hamzah Zainuddin.

Mohammad Fairus berkata Anwar kini berada dalam keadaan terdesak kerana semakin ramai anggota Melayu yang lari keluar PKR kerana bosan dengan tindak-tanduk dan janji palsu pemimpinnya.

Beliau berkata kini ketua umum PKR itu menaburkan pula janji menggunung untuk memberi kedudukan sebagai timbalan perdana menteri kedua kepada orang Cina setelah PAS ditawarkan untuk jawatan timbalan pertama jika beliau menjadi perdana menteri.

Mohammad Fairus juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Kongres PKR di Kota Baharu Jumaat lalu bahawa anggota yang keluar parti, khususnya ADUN dan ahli parlimen, telah menerima imbuhan RM2 juta setiap seorang.

“Inilah dia apa yang disebut sebagai pembunuhan politik pusingan kedua yang dilakukan pemimpin PKR seperti Wan Azizah yang sudah ketandusan modal, dan untuk mendapatkan sokongan rakyat, mereka mengeluarkan pelbagai fitnah yang melulu demikian,” katanya, sambil menambah tindakan itu adalah "Prosedur Operasi Standard" Anwar.

Mohammad Fairus berkata perkara itu sebenarnya tidak pernah berlaku kerana penyertaan beliau dalam Umno adalah kerana perjuangan dan tidak pernah menerima sebarang imbuhan walaupun satu sen. - Bernama



TPM II: Saya tidak tahu, kata Hadi

DENGKIL: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata beliau tidak mengetahui tentang janji Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II untuk pemimpin DAP sekiranya pakatan pembangkang menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Malah beliau berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam pakatan itu.

"Saya tak tahu, kita belum bincang. Itu pandangan peribadi dia," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas menyaksikan majlis pecah tanah projek pembinaan Kompleks Pas yang bernilai RM30 juta di Paya Indah dekat sini hari ini. - Bernama



Ulasan GB

TAHNIAH PKR. Sebenarnya ramai cemas apabila PKR berjaya menganjurkan Kongres dengan licin dan lancar kerana sebelumnya ramai katak lompat yang mengharap keadaan haru-biru berlaku di dalam kongres berkenaan.

Dan yang menonjol sangat ialah berita-berita BERNAMA yang cuba untuk mempalitkan PKR dengan pelbagai tohmahan serta cuba untuk mengeruhkan hubungan komponen Pakatan Rakyat.

Pertama, disiarkan berita si "budak mentah" bernama Fairus yang kononnya membuat kenyataan menyatakan PKR bakal karam. Sedangkan yang dah karam ialah Fairus sendiri sementara BERNAMA bersama BNnya bakal karam tidak lama lagi.

Kedua, dikejarnya Ustaz Abd Hadi untuk mendapatkan respons Presiden PAS itu tentang isu PM II dengan harapan mereka akan berlaku "kekecohan" di antara PAS dan PKR.

Yang malangnya pula, respons Ust Abd Hadi tidak berapa cantik terhadap soalan BERNAMA tersebut. Sepatutnya Hadi jawab, "baguslah begitu, cepat sedikit matlamat kami untuk meruntuhkan BN tercapai dan cepatlah juga PR untuk merampas Putrajaya."

Dan sudah pasti BERNAMA tercengang kerana kegagalannya untuk mengadu-domba.

1 ulasan:

Kedahlanie berkata...

ok la tu bro..jawab tak tahu pon rasa ok dah...biaq depa tenggelam punca nak cari punca he he he