28 Apr 2010

SPRM Dibidas Tutup Kes Rasuah RM10 juta Tee Kiat

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mempersoal tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilihat cuba melindungi Datuk Seri Ong Tee Keat dari dikaitkan dengan skandal rasuah Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Beliau berkata tindakan itu jelek berikutan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Dimensi Sdn. Bhd, Datuk Seri Tiong King Sing sudah menyerahkan segala bukti berkaitan, malah hal itu dinyatakan pada sidang Parlimen.

“Dia (Tiong) telah memberi beberapa bukti yang mengatakan duit itudiberi kepada orang pertengahan dan ada orang nampak wang itu diberi kepada Tee Keat. Saya terkejut dengan kenyataan SPRM,” katanya kepada TV Selangor, hari ini.

SPRM membuat pengumuman semalam yang mereka menutup kes siasatan terhadap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat yang didakwa menerima 10 juta daripada Tiong .

Tee Keat kemudian mengesahkan beliau menerima surat makluman pada 22 April lalu yang mengatakan SPRM tiada bukti yang dapat mengaitkan beliau dengan dakwaan itu.

Tahun lalu, SPRM memanggil Tee Keat untuk disoal siasat berhubung skandal PKFZ atas dakwaan beliau menerima RM10 juta daripada Tiong untuk aktiviti MCA.

Ketika itu, Tee Keat adalah Presiden MCA manakala Kuala Dimensi adalah kontraktor utama bagi pembinaan PKFZ. -TVS


SPRM tutup kes Tee Keat terima RM10 juta

PUTRAJAYA, 27 April — Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat (gambar) berkata siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap beliau kerana didakwa menerima RM10 juta daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd Datuk Seri Tiong King Sing, telah ditutup dan tiada siasatan lanjut.

Katanya perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh SPRM dalam surat yang diterimanya pada 22 April lalu yang menyatakan bahawa tiada bukti yang dapat mengaitkan beliau dengan dakwaan berkenaan.

“Kes ini saya dimaklumkan bahawa ianya telah tamat siasatan dan tidak akan dilanjutkan siasatannya. Tiada sebarang bukti yang membuktikan tuduhan-tuduhan liar itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen “Red Means Stop” anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya bersama Sun Media Corporation Sdn Bhd di sini hari ini.

Tahun lepas, SPRM memanggil Ong untuk disoal siasat berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan dakwaan kononnya beliau menerima RM10 juta daripada Tiong untuk aktiviti MCA. Ketika itu Ong adalah Presiden MCA manakala Kuala Dimensi adalah kontraktor utama bagi pembinaan PKFZ.

“Kini telah pun jelas senario sebenarnya, walaupun jawapan ini saya terima agak lewat sedangkan saya sedia maklum kes ini telahpun tamat siasatannya agak awal sebelum ini.

“Tanpa atas apa sebab, saya baru dapat maklum balas atau jawapan pada 22 April lalu,” katanya.

Ditanya sama ada beliau kecewa lewat menerima surat jawapan daripada SPRM, Ong berkata: “Sepanjang hayat kita ini, cukup banyak kekecewaan, rintihan itu ada, kecewa jangan.

“Kalau inilah yang berlaku yang menimpa kita, kita kena juga berdepan dengannya dengan penuh ketabahan.” — Bernama


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

seluruh dunia pun tahu, gulungan elit parti politik yang memerentah di malaysia kebal daripada undang undang...

dinegara jiran pula undang undang mereka tidak memilih bulu dan darjat...