28 Apr 2010

Petanda BN Semakin Hancur: Perkasa Terus Berperang Dengan MCA

PRU-13: Melayu tak akan undi calon MCA, kata Perkasa

KUALA LUMPUR, 28 April — Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali memberi amaran orang Melayu tidak akan mengundi calon-calon yang diletakkan oleh MCA dalam pilihan raya umum akan datang.

“(Oleh itu) mungkin MCA boleh menyalahkan Perkasa (kelak),” kata beliau dalam kenyataan SMS kepada The Malaysian Insider hari ini.

Ibrahim (gambar) yang juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas mendakwa MCA menggunakan Perkasa sebagai “kambing hitam” untuk menjustifikasikan kemerosotan sokongan pengundi masyarakat Cina kepada Barisan Nasional (BN) di Hulu Selangor Ahad lalu.

“Sebenarnya isu video, masalah dalaman dan tidak berkhidmat kepada rakyat merupakan faktor mengapa masyarakat Cina tidak mengundi BN.

“Mereka membenci sangat MCA, MCA yang harus dipersalahkan... jadi mengapa mempersalahkan Perkasa... apa yang istimewa sangat dengan Perkasa” kata beliau lagi sambil menambah, pengundi Cina sudah mula membenci MCA sebelum kelahiran Perkasa.

Ketika Mesyuarat Agung Tahunan Perkasa bulan lalu, Ibrahim juga memberi amaran bahawa sesiapa yang memusuhi Perkasa tidak akan mendapat sokongan badan bukan kerajaan itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Semalam, MCA menyelar Ibrahim kerana mengeluarkan kenyataan berunsur “perkauman menebal” yang telah menyinggung perasaan kaum Cina.

Naib Presiden MCA Gan Ping Sieu berkata, kenyataan beliau itu yang menggesa kerajaan menangguhkan kelulusan peruntukan dan projek kepada kaum Cina, yang Ibrahim anggap sebagai “tidak berterima kasih” dan “tidak menghargai” amat dikesali.

“Kenyataan itu juga berunsur hasutan,” katanya.

Ibrahim membuat kenyataan itu semalam berikutan keputusan pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor yang menunjukkan sokongan kaum Cina terhadap BN semakin berkurangan.

Bagaimanapun, Gan menegaskan satu daripada sebab utama BN kehilangan keyakinan kaum Cina adalan berpunca daripada kerjasama sebenar atau tanggapan terhadap kerjasama erat pemimpin BN dengan organisasi “perkauman menebal”.

Beliau juga mendakwa kenyataan berunsur perkauman oleh beberapa pemimpin BN yang dilaporkan secara meluas oleh media turut memberi kesan dalam pilihan raya kecil itu.

Gan berkata jika BN mahu mendapatkan lebih banyak sokongan daripada pengundi bukan Melayu, ia perlu terlebih dahulu menjauhkan diri dengan pertubuhan seperti Perkasa yang cenderung meluahkan kenyataan berunsur perkauman.

Jika tidak, BN menghadapi risiko kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu pada pilihan raya umum ke-13 akan datang, kata beliau. -TMI

2 ulasan:

Awanama berkata...

MCA dan Gerakan patut keluar dari BN masuk pakatan rakyat

Awanama berkata...

kalau kaduk dah naik jungung..macam ini lah... Islam For All... pribumi untuk melayu je.. Islam dulu ke Melayu dulu ke...Sendiri fikirlah..