17 Mac 2010

PKFZ Dan Janji Manis Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak gagal melaksanakan retorik 1Malaysia, 'Pencapaian Diutamakan' kerana gagal mengambil tindakan tegas terhadap 'jerung-jerung' yang terlibat dengan skandal PKFZ.

Menurut Ahli Parlimen Tony Pua sudah hampir 5 bulan sejak Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) membentangkan laporan mengenai skandal RM12.5 bilion itu di Parlimen pada 4 November tahun lalu yang melibatkan salahguna kuasa, pecah amanah dan salahlaku melibatkan tokoh politik berprofil tinggi termasuk bekas Menteri Pengangkutan.

Namun sehingga kini tida ada sebarang tindakan konkrit atau pendakwaan dibuat terhadap individu berpengaruh tersebut.

Sebelum itu Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berjanji akan mendakwa individu lain yang terlibat dalam skandal ini selepas 4 orang termasuk seorang bekas penjawat awam, Datuk Paduka O.C. Phang dihadapkan ke mahkamah pada 17 Disember tahun lepas.

Polis juga telah bertindak membekukan aset yang bernilai ratusan juta ringgit milik Kuala Dimensi Sdn Bhd kepunyaan Datuk Seri Tiong King Sing yang merupakan jutawan dan ahli politik Barisan Nasional Sarawak.

Pada masa yang sama Kabinet telah mengarahkan satu pasukan khas diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan untuk menyiasat kes tersebut dari semua aspek termasuk mengenalpasti salah laku, melaksanakan 'good corporate governance' dan juga menilai operasi dan perniagaan pada September 2009.

"Tindakan awal yang diambil oleh kerajaan dengan mengheret hanya ikan bilis ini untuk menjustifikasikan kerajaan kononnya mempunyai komitmen yang tegas untuk memerangi rasuah.

"Pentadbiran Datuk Seri Najib dengan tema "Program Transformasi Kerajaan" dengan tunjang kempen "basmi rasuah" ternyata menuju kehancuran," tegas Tony Pua.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah berjanji kepada rakyat kononnya kerajaan akan mengambil tindakan yang terhadap mana-mana individu yang terbabit dan tidak akan ada seorang akan terlepas dari hukuman.

"Dan yang paling teruknya, kerajaan pula dilihat cuba melindungi skandal PKFZ dengan laporan positif media yang bercanggah.

"Datuk Seri Ong Tee Keat dengan bangganya mengumumkan pada Januari tahun ini, PKFZ telah mencatatkan keuntungan bersih RM15 juta dan sebanyak RM5.2 juta keuntungan operasi syarikat tersebut. Beliau bagaimanapun tidak dapat menjelaskan fakta mengenai pinjaman mudah berjumlah RM4.632 bilion dengan kadar faedah 4 peratus yang diberikan oleh kerajaan untuk menyelamat kos projek PKFZ sebanyak RM185 juta setahun.

"Ini bermakna PKFZ sebenarnya masih belum pulih lagi bahkan hutangnya sahaja bertambah ratusan juta ringgit dari tahun ke tahun.

"Sepatutnya adalah lebih baik kerajaan mengawal belanjawan defisit dengan melupuskan projek tersebut daripada meneruskan pelaburan yang tidak menguntungkan ini," kata beliau sidang media di lobi Parlimen hari ini. -SK

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Gegar terus sampai isu ni terdedah!