16 Mac 2010

GST: PR Seru Kerajaan Jangan Ulangi Tabiat Tergesa-Gesa

.Pembatalan hasrat kerajaan Umno-BN untuk membentang cadangan pelaksanaan GST yang dijadual berlangsung di Parlimen pada sesi kali ini, mengundang reaksi dari pimpinan Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional.

Rata-rata mahu pandangan rakyat diambil kira sebelum sebarang cadangan tersebut dibawa ke Parlimen dengan Ahli Parlimen Pakatan rakyat menyelar tindakan melulu itu.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar mempersoalkan kerajaan Umno BN lantaran rang undang-undang yang masih belum dikaji sepenuhnya, hampir-hampir dibentang di Parlimen.

“Pertama sekali apabila mengatakan untuk tidak dibaca dalam sidang ini kerana untuk mendapatkan respon daripada rakyat, pertama ini menunjukkan kerajaan dalam membentang ini dalam keadaan gopoh gapah. Dia membentang tanpa mendapat respon daripada rakyat, sepatutnya dia mendapat respon rakyat terlebih dahulu baru dia kemukakan. Jadi sekarang saya minta kalau dia benar berhasrat untuk mendapat respon daripada rakyat dan mengambil respon rakyat itu untuk dirangka dalam GST ini, ia kena tarik terlebih dahulu," katanya.

Mahfuz menggesa kerajaan supaya meneliti sedalam-dalamnya sebarang dasar baru yang melibatkan kepentingan rakyat termasuk GST sebelum membawanya ke sidang Parlimen.

“ Rakyat Malaysia tidak bersedia ke arah itu sebab 900 peratus lebih rakyat Malaysia ini ialah pendapatan mereka tidak layak untuk dikenakan cukai pendapatan. Jadi menunjukkan pendapatan rakyat ini masih rendah. Jadi sepatutnya GST ini dilaksanakan di kebanyakan negara di dunia apabila pendapatan rakyatnya tinggi," tegas beliau.

Kenyataan Mahfuz itu turut disokong Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir walaupun sebelum ini Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berdiam diri dalam isu GST.

“ Ya, ini bermaksud kerajaan ingin mengambil sedikit masa untuk mendapatkan maklum balas dari semua pihak sebab apabila dilaksanakan nanti semua akan terlibat. Lebih baik kita mendapatkan maklum balas ini agar semuanya itu dipertimbangkan dalam rangkaan GST itu nanti, akhirnya apabila menjadi dasar dan diamalkan tidak ada lagi yang mengkritik atau memprotes mengenainya," kata Mukhriz.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula menganggap bantahan Pakatan Rakyat terhadap cadangan pelaksanaan GST telah menyedarkan kerajaan UMNO-Barisan Nasional supaya meningkatkan ekonomi rakyat terlebih dulu, bukannya membebankan rakyat dengan cukai baru semata-mata mahu menampung perbelanjaan negara.

“Perkata ini bukan senang untuk dilaksanakan, ia memerlukan banyak pentadbiran-pentadbiran yang kita rasakan akhirnya akan menyebabkan kos perkhidmatan dan barangan meningkat. Jadi oleh sebab itu, Pakatan Rakyat menyatakan ini bukan masanya dan saya sukacita perkara ini ditarik balik," kata Khalid, yang juga Menteri Besar Selangor.

Ahli Parlimen Rasah Loke Siew Fook walaupun mengalu-alukan penangguhan cadangan berkaitan GST menganggap kerajaan Umno BN dalam keadaan tertekan akibatan bantahan berterusan dari Pakatan Rakyat.

“Memang kita mengalu-alukan GST ditarik balik bacaan kali kedua untuk sesi ini dan ingin mengumpul pandangan daripada rakyat. Pandangan kita ialah setiap rang undang-undang itu perlu mendapat maklum balas daripada rakyat terlebih dahulu," tegas Loke. -TVS



Tiada ulasan: