16 Mac 2010

Gagasan 1 Malaysia Najib Diuji Di Sidang Parlimen

Perbahasan sidang Parlimen bermula jam 10 pagi hari ini bermula dengan pertikaian terhadap gagasan 1 Malaysia yang dicanangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Selain beberapa Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat, beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) juga bertanyakan Najib mengenai keberkesanan gagasan itu.

Suasana hangat apabila Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh mempersoal sama ada gagasan 1 Malaysia itu selari dengan pelaksanaan kerajaan.

Pengerusi DAP Kebangsaan itu merujuk kepada kenyataan bekas pegawai khas Perdana Menteri, Nasir Safar yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam ceramah 1 Malaysia di Melaka, baru-baru ini.

Nasir Safar dalam ceramahnya ketika itu membuat kenyataan bahawa rakyat India yang datang ke Malaysia adalah pengemis manakala wanita Cina menjadi pelacur.

Najib apabila diasak persoalan itu, sebaliknya cuma menjawab pegawai yang membuat kenyataan bertentangan dengan prinsip 1 Malaysia telah dikenakan tindakan tetapi tidak menjelaskan bentuk tindakan tersebut.

Gagasan 1Malaysia Jadi Gerakan Massa - Najib
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata konsep 1Malaysia yang diilhamkan beliau kini sudah menjadi gerakan massa di peringkat akar umbi dan bukan lagi gagasan kerajaan semata-mata. Beliau juga bersyukur dan bangga dengan sambutan yang diberikan rakyat terhadap gagasan tersebut seperti yang disaksikan dalam lawatan tinjauan mesra ke beberapa kawasan seperti Pantai Dalam, Petaling Street dan Brickfields tidak berapa lama dulu.

"Saya berasa kagum bahawa sebutan Salam 1Malaysia telah menjadi kelaziman ramai pihak, tambahan pula banyak inisiatif daripada rakyat sendiri untuk meraikan dan mengenal pasti dengan lambang 1Malaysia secara simbolik seperti perkahwinan 1Malaysia di antara empat pasangan di Kapar baru-baru ini yang terdiri daripada dua pasangan Melayu, satu Cina dan satu India yang disaksikan oleh saya sendiri.

"Simbol 1Malaysia juga sudah menjadi sangat popular digunakan oleh badan korporat, badan sukarela dan juga sebagai simbol motif dalam bentuk pakaian," katanya di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Alexander Nantha Linggi (BN-Kapit) di sini.

Anggota Parlimen Kapit itu meminta Perdana Menteri menyatakan tahap kejayaan Gagasan 1Malaysia dalam menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama buat masa sekarang.

Najib berkata kejayaan dan populariti 1Malaysia juga telah menyebabkan ada pihak tertentu memperkenalkan konsep "Middle Malaysia".

"Apabila Gagasan 1Malaysia semakin popular, tiba-tiba timbul satu usaha baru, kononnya atas nama "Middle Malaysia, tapi pada pengamatan ramai, "Middle Malaysia" adalah rebranding kepada konsep "Malaysian Malaysia" yang sudah ditolak, terutama sekali rakyat pribumi kerana ia tidak pernah berpaksikan perlembagaan dan sejarah negara," katanya.

Perdana Menteri berkata untuk menjayakan lagi gagasan 1Malaysia, komitmen semua pihak diperlukan kerana alternatif kepada kejayaan konsep tersebut adalah kewujudan sebuah negara Malaysia yang berpecah-belah, tidak stabil dan lemah.

"Demi untuk anak-anak kita... ini bukanlah masa depan yang kita dambakan. Kerajaan yakin dan percaya bahawa gagasan 1Malaysia boleh menjadi formula nasional yang boleh memupuk kewujudan bangsa Malaysia dan seterusnya menyatukan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama," kata beliau.

Beliau berkata penghalang terbesar bagi kejayaan pencapaian 1Malaysia atau perpaduan negara yang lebih sempurna adalah kebimbangan serta ketakutan akibat prasangka dan prejudis yang tidak ditangani.-BERNAMA



Tiada ulasan: