19 Mac 2010

Ahli Parlimen BN Kata Zahrain Pembohong Besar

Satu pembohongan yang besar.

Itulah reaksi Ahli Parlimen Barisan Nasional dan Parti Sabah Maju (SAPP) berhubung dakwaan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Hashim mengenai beberapa nama ahli Parlimen dari Sabah yang didakwa terlibat dengan rancangan pembangkang untuk mengambil alih Kerajaan Pusat pada 16 September 2008.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) berkata, Zahrain cuba mencari publisiti murahan dengan dakwaan sedemikian.

“Saya tidak pernah bertemu dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini semua satu pembohongan,” kata Bung Mokhtar ketika diminta mengulas dakwaan Zahrain bahawa dia (Bung Mokhtar) antara Ahli Parlimen BN yang dinamakan dalam rancangan berkenaan di sini hari ini.

Katanya, wakil rakyat yang dipilih mempunyai tanggungjawab untuk memberi khidmat kepada pengundi dan bukannya melaksanakan agenda peribadi Ketua Pembangkang.

"Jangan sesuka dakwa kita boleh lompat parti," katanya.

Semalam, Zahrain yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang mendedahkan nama lapan Ahli Parlimen yang disebut-sebut akan melompat parti ke PKR bagi menjayakan rancangan pembangkang itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Dr Chua Soon Bui pula menegaskan beliau tidak pernah bermimpi dan berbincang untuk menyertai Pakatan Rakyat.

“Tidak ada satu pun yang benar dalam apa yang diperkatakannya dan dia berbohong dalam Parlimen. Ini satu perbuatan yang memalukan kepada pengundi terutamanya di Sabah dan Malaysia amnya.

“Saya dan Datuk Eric Enchin Majimbun tidak pernah bermimpi dan berbincang untuk menyertai Pakatan Rakyat pada 16 September 2008,” katanya dalam kepada mStar Online hari ini.

Soon Bui berkata, perkara tersebut berlaku kerana Zahrain sangat obses dengan kepentingan peribadi.

“Zahrain mungkin lupa kepada sejarah SAPP dan kepentingan rakyat Sabah. Kami keluar BN kerana hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Sehingga hari ini kami masih kekal sebagai Ahli Parlimen Bebas dan SAPP tidak menyertai PR atau mana-mana parti. Bagi saya, dia tidak layak untuk bercakap bagi pihak wakil rakyat Sabah yang lain,” katanya.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Ghapur Salleh pula berkata beliau akan menerangkan sendiri dakwaan Zahrain ketika membahaskan titah diraja pada 22 atau 23 Mac ini.

“Zahrain patut dedahkan senarai sebenar Ahli Parlimen BN keluar parti, bukan buat tuduhan tidak berasas,” katanya.

Sementara itu, di KOTA BHARU, Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menafikan dakwaan berkenaan.

"Saya tak mahu komen pasal ini, 48 tahun saya bersama Umno. Apa yang didakwa itu sebagai satu cerita dongeng," katanya.

Tengku Razaleigh berkata, jika dakwaan itu benar, beliau kini pasti sudah memegang satu jawatan besar dalam PKR yang dipimpin oleh Anwar.

Beliau berkata disebabkan dakwaan itu ibarat sebuah cerita yang direka mengikut fantasi pembangkang, beliau tidak mahu membuat sebarang komen terhadap dakwaan yang tidak betul itu.

Beliau turut menafikan didatangi pihak berkenaan agar keluar BN bagi membolehkan pembangkang membentuk kerajaan Persekutuan kira-kira tujuh bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-12.

Antara nama yang disebut ialah Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman; Dr Mohd Puad Zarkashi (Batu Pahat); Datuk Seri Tengku Azlan Abu Bakar (Jerantut). Salah seorang daripada Timbalan Speaker juga tersenarai dan dikatakan akan melompat menyertai pembangkang. -Mstar


16 Sept: Zahrain dedah nama MP akan lompat

Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mendakwa beliau dan wakil rakyat PKR diberitahu bahawa lapan ahli Parlimen disebut-sebut akan melompat menyertai PKR bagi menjayakan rancangan pembangkang untuk mengambil alih kerajaan pusat pada 16 September 2008.

Beliau mendakwa mereka Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau), Datuk Eric Majimbun (Bebas-Sepanggar).

Nama lain yang disebut ialah Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat), Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut), Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang), katanya menyambung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Zahrain juga mendakwa seorang timbalan speaker juga dikatakan akan menyertai PKR.

Kenyataan itu menyebabkan timbalan speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mencelah bertanya "Timbalan Speaker yang mana (Zahrain maksudkan)?" menyebabkan Dewan diselubungi gelak ketawa ahli Parlimen.

Semalam, tindakan Zahrain mendedahkan kepincangan PKR dan pakatan pembangkang yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebabkan ketua pembangkang itu bertindak keluar dewan.

Zahrain berkata beliau yakin tindakannya keluar parti adalah tindakan tepat kerana tidak mahu sejarah menghukumnya kerana tidak berbuat apa-apa ketika perjuangan PKR dan pakatan pembangkang semakin terpesong menjadi perjuangan peribadi yang sempit.

Sementara itu, Zahrain menafikan beliau adalah "askar upahan" Umno dan BN berikutan kelantangannya ketika ini berbanding semasa bersama PKR dahulu.

Beliau berkata sekiranya beliau bersifat vokal seperti ini sebelumnya sudah tentu keadaan dalam PKR akan menjadi kelam kabut.

"Kalau saya bising macam ini, keadaan jadi kelam-kabut," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Dakwaan itu timbul apabila semalam, beliau secara lantang dan terbuka mendedahkan pembohongan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap ahli Parlimen pakatan pembangkang yang mendakwa mereka mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi daripada ahli parlimen BN bagi membentuk kerajaan pada 16 September 2008.

Zahrain juga mendedahkan bahawa pada masa itu beliau percaya yang perkara itu adalah benar memandangkan Anwar mengatakan pelan tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Berikutan pendedahannya itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution menggelarkan beliau sebagai "Attack Dog" kepada BN dan Umno untuk menjatuhkan pakatan pembangkang.

Saifuddin mendakwa Zahrain dijadikan sebagai watak baru untuk menyerang pakatan pembangkang dan sifatnya ini adalah berbeza berbanding ketika bersama-sama PKR dahulu.

- Bernama


7 ulasan:

obler berkata...

Wakaka... lompat kunun... ambik... apa hangpa dapat????

Tanpa Nama berkata...

tengok beruk ni, BeNd sendiri hantam dia. takpayah PR susah² nk balas

Tanpa Nama berkata...

mamat ni jaja saham munafik dia dengan harga yang cukup murah lepas tu melmbung tinggi.

Tanpa Nama berkata...

mamat ni nak cari publisiti rupanya. bukan susah. kawinla dengan mana-mana artis macam bung mokhtar raden tu. sedap pun dapat pahala lagi sebab ikut sunah nabi.

I help you, you help me wakakaka... berkata...

Payback time...yahoooooooooo

I help you, you help me wakakaka... berkata...

Payback time...yahoooooooooo

Tanpa Nama berkata...

dahsyat mamat ni jadi sutradara kepada skrip umno tu. pm juga jadi pelakon utamanya nak siasat betulkah anuar kata ydp agong setuju nak lantik dia jadi pm pada 16 september 2008. fuh pecah panggung atau sekurang2nya box office kali 2 cerita ni.