19 Mac 2010

Bekas Polis hadapi Hukuman Mandatori

Seorang bekas anggota polis berpangkat konstabel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana tuduhan membunuh anak bekas Setiausaha Umno Bahagian Klang dan pengasuhnya, tujuh tahun lalu.

Mohd Nahar Abu Bakar, 34, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa.

Tertuduh, yang pernah bertugas di Balai Polis Kampung Baru, Manjung, Perak, pada 1997, didakwa membunuh Muhammad Nurosama Shohimi, berusia dua tahun setengah, di rumah pengasuhnya di No 19, Tingkat 5, Flat Cempaka, Bandar Baru Klang, Klang, kira-kira jam 1 tengah hari pada 30 Disember 2003. Mohd Nahar yang ditangkap pada 16 Oktober tahun lalu juga didakwa membunuh pengasuh kanak-kanak itu, Siti Rohana Baharom, 34, di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mohd Yazid menetapkan perbicaraan selama 12 hari bermula 24 Mei depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Erwani Ismail, manakalatertuduh diwakili peguam Imran Hadzalie Abdul Hamid.

Bapa kanak-kanak malang itu, Shohimi Shafie, 41, kini ahli perniagaan dan anggota keluarganya, bagaimanapun tidak hadir di mahkamah.

Dalam kejadian itu, Mohd Nurosamah dan Siti Rohana mati selepas ditikam di kediaman pengasuh itu manakala anak perempuan Siti Rohana, Siti Aisyah, 8, yang berada di tempat kejadian sempat melarikan diri.

Mohd Nurosamah yang ditikam dua kali di belakang badan manakala Siti Rohana ditikam sekali pada dada dengan pisau berukuran 23 sentimeter, meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohd Nahar pernah dikenakan tindakan buang kerja pada 21 Mei 1999 kerana terbabit dalam kes pecah rumah di Manjung dan dipenjarakan selama enam bulan di Penjara Kajang pada tahun 2000. - Bernama



1 ulasan:

izi berkata...

inilah bapa anak malang tersebut ..

http://2.bp.blogspot.com/_Cmoyv06vK5k/S0x8qYMq7GI/AAAAAAAAIE8/SRIsfdiC-Vs/s1600-h/2.010.jpg