25 Jan 2010

Hussein, Pegawai Khas Exco Selangor Bebas Dengan Ikatjamin RM1,000


Setiausaha Kerja kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor YB Yaakob Sapari, Haji Hussein Ahmad, telah dibebaskan pada jam 3.10 petang ini di ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya dengan ikat jamin sebanyak RM1,000.

Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Wakil Rakyat Pakatan Rakyat Selangor (Selproa) Abdul Razak Ismail, berkata, antara yang hadir menyambut beliau ialah YB Yaakop Sapari, Ketua AMK Kota Raja Azmizam Zaman Huri, dan kaum keluarga beliau serta beberapa pemimpin parti.

Terdahulu, dalam kenyataannya sebelum ini Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata, kerjaan negeri Selangor menyeru SPRM supaya tidak mengamalkan sikap berat sebelah dalam penyiasatan penjawat awam negeri itu.

"Tuduhan SPRM bahawa pemergian seorang pegawai ke China ditanggung oleh kontraktor tertentu juga tidak benar kerana kerajaan negeri yang sebenarnya membiayai kos kunjungan dua hari Haji Hussein itu yang menelan belanja sebanyak RM3,295," kata beliau.

Abdul Khalid sebelum ini melahirkan rasa hairannya berhubung perkembangan terakhir siasatan SPRM yang menggeledah rumah Hussein tanpa waran geledah yang sah.

"Kami mahu SPRM Selangor tampil memberikan penjelesan mengapa hal ini boleh berlaku," kata beliau, ketika mengingatkan SPRM bahawa tempoh siasatan ke atas penjawat awam hanya dibenarkan antara jam 8:30 pagi sehingga jam 6:30 petang sahaja.

Tambah Abdul Khalid, para pegawai SPRM mesti menghormati peraturan berhubung kaedah penyiasatan yang terkandung dalam pekeliling negeri kerana bantahan Peguam Negara Tan Sri Gani Patail sebelum ini, berhubung kesahihan kandungan pekeliling itu masih dalam kes mahkamah.

"Maka dalam hal ini, para pegawai SPRM sewajarnya menghormati pekeliling kerajaan negeri itu yang melindungi hak seluruh kakitangannya," katanya ketika mengulas hal serbuan siasatan pegawai SPRM ke atas penjawat awam Selangor, minggu lalu.

Tambahan pula, tambah beliau, penyiasatan SPRM itu melibatkan syarikat yang tidak tersenarai dalam pemberian kontrak aktiviti pelombongan pasir. -erapakatan

Tiada ulasan: