13 Mac 2009

Nizar Masih Ada harapan - Sivakumar Boleh Guna Peguam Sendiri

Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar boleh diwakili oleh peguam peribadi.

Panel tiga hakim memutuskan perkara itu selepas mendapati tiada peruntukan yang menyatakan Speaker mesti diwakili oleh penasihat undang-undang negeri kerana di bawah Akta Tatacara Kerajaan, Speaker bukan seorang pegawai kerajaan negeri.

Panel tiga hakim berkenaan ialah Datuk Md Raus Sharif, Datuk Abdull Hamid Embong dan Datuk Ahmad Ma’arop membuat keputusannya sebulat suara.

"Kami tidak menemui sebarang peruntukan di dalam undang-undang yang speaker mesti diwakili ole Penasihat Undang-undang negeri. Di bawah Akta Tatacara Kerajaan, seorang speaker bukan merupakan seorang penjawat awam atau seorang pegawai kerajaan negeri.

“Perayu adalah bebas untuk menggunakan khidmat peguam persendiriannya,” tegas hakim Raus yang membacakan keputusan tersebut.

Kelab Greenboc sebelum ini pernah mempertikaikan penghakiman Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim di Mahkamah Tinggi Ipoh yang mengarahkan supaya Sivakumar diwakili oleh Penasihat Undang-undang Negeri Ahmad Kamal Md Shahid dan bukan oleh peguam peribadi beliau, Tommy Thomas, yang turut hadir di mahkamah. Hujjah kami menyamai dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Penal hakim-hakim Mahkamah Rayuan yang membuat keputusannya hari ini yang menetapkan bahawa Sivakumar berhak menggunakan peguam Persendiriannya kerana beliau bukan seorang penjawat awam.

Sebelum ini Kelab Greenboc telah menyemak bahawa:

Artikel 132(3)(b) adalah jelas instruktif yang mengkategorikan bahawa “perkhidmatan awam tidak melibatkan” Speaker Parlimen dan juga Speaker dewan-dewan undangan negeri.

Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini memberikan sedikit harapan untuk penyelesaian kemelut politik Perak yang berpanjangan serta harapan kepada kerajaan Pakatan Rakyat untuk kembali berkuasa di Perak. Ini adalah kemenangan pertama kerajaan Nizar di dalam mahkamah.

Keputusan Mahkamah rayuan hari ini juga akan membolehkan Tommy Thomas mengetuai semua penal peguam yang mewakili V.Sivakumar di dalam beberapa kes saman di Mahkamah Tinggi Ipoh. Tommy Thomas ialah seorang pakar perlembagaan dan seorang peguam yang terkenal di dalam kes-kes yang melibatkan perundangan dan perlembagaan.

Jika Sivakumar memenangi mana-mana kesnya samada sebagai plaintif atau defenden, kerajaan BN yang dipimpin oleh Zambry akan tercabar dan akan membolehkan Nizar kembali untuk menjadi Menteri Besar.

Tiada ulasan: