1 Dis 2009

Rombakan BTN Rakyat 1-BN 0

Kerajaan Pusat Barisan Nasional akhirnya akur kepada gelombang kritikan pembangkang dan orang ramai terhadap kursus Biro Tata Negara.

Kursus-kursus itu yang dilihat lebih untuk memupuk sentimen perkauman dan menggembeling sokongan untuk Barisan Nasional, akan dirombak serta merta.

Ini bagi memenuhi desakan Pakatan Rakyat yang mahukan kursus-kursus BTN itu membantu mengeratkan perpaduan antara rakyat pelbagai kaum.

Bercakap kepada wartawan di ruang legar parlimen hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Abdul Aziz berkata rombakan ini dibuat kerana kandungan program BTN berpotensi menghancurkan kestabilan negara.

Apabila ditanya apakah kerajaan akhirnya akui kritikan terhadap modul BTN, Nazri berkata kurikulum BTN sedia ada menjurus kepada satu kaum dan tidak selari dengan konsep 1Malaysia.

Nazri sebagai dipetik berkata "Pada saya kurikulum ini tidak selari dengan kehendak PM, iaitu 1Malaysia. Kursus BTN hanya untuk peserta dari satu kaum sahaja, tetapi kini kita mahu kurikulum yang membabitkan semua".

“Saya bersetuju sangat kita tidak boleh beriringan dengan BTN kerana BTN ini memfokus kepada sikap perkauman. Dan sikap memberi ransangan yang negatif kepada kaum yang lain atau parti yang lain” ujar ahli parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid.

BTN mengundang kontroversi selepas tujuh wakil rakyat Selangor menyerahkan memorandum menggesa penjawat awam dan penuntut di institut pendidikan milik kerajaan negeri dilindungi dari program indoktrinasi BTN.

Memorandum tersebut berkata akal peserta BTN disusun-semula supaya membenci kaum Cina dan parti-parti yang tidak sealiran dengan UMNO-BN.

Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata rombakan tidak memberi kesan jika masalah perkauman dan kesetiaan membuta-tuli terhadap Umno tidak diatasi.

“Bila kata merombak semula, saya lebih suka kalau dapat mendengar komen yang lebih spesifik bahawa cara yang lama, cara yang telah diamalkan sebelum ini, itu akan diubah” ujar beliau kepada TV Selangor. -TVS


Tiada ulasan: