8 Dis 2009

Lembaga Disiplin PAS Ikut Arahan Siapa?

Saya telah diminta pandangan untuk membincangkan isu mengenai Lembaga Disiplin Parti Islam SeMalaysia yang mendapat arahan menyelesaikan segera beberapa isu dalaman PAS.

Lembaga Dispilin PAS telah mengadakan persidangan buat pertama kalinya pada 31 Oktober lalu yang dilaporkan memulakan siasatnnya terhadap PAS Selangor.

Lembaga ini mempunyai lima anggota yang dipengerusikan oleh Naib Presiden PAS, Ustadz Tuan Ibrahim Tuan Man. Sementara jawatankuas yang lain terdiri dari peguam, tokoh agama dan anggota veteran PAS.

Lembaga Disiplin dikatakan akan akan membuat cadangan kepada Jawatankuasa PAS Pusat apakah bentuk tindakan yang akan diambil setelah siasatan ke atas isu PAS Selangor itu selesai.

Persoalan kini, Lembaga Disiplin ini dibentuk oleh parti dengan kuasa pihak mana, mendengar dan mendapat arahan dari siapa serta perlu membuat cadangan kepada pihak mana.

Berdasarkan Perlembagaan Parti Islam SeMalaysia, Fasal 7 Ceraian 3(c) yang menerangkan hal Hukum dan Kekuasaan Majlis Syura Ulama berbunyi:

Memelihara, menjaga dan mengawal tatatertib PAS dan melantik ahli-ahli Jawatankuasa Tatatertib PAS seperti yang diperuntukkan dalam Fasal 75 Perlembagaan ini.

Fasal 75(2)

Sebuah Jawatankuasa Tatatertib hendaklah ditubuhkan di peringkat pusat. Adapun Perhubungan Negeri, Kawasan-kawasan, Cawangan-cawangan dan Dewan-dewan bolehlah melaporkan apa-apa tindakan dan perbuatan ahli-ahli yang didapati melanggar Tatatertib parti kepada Setiausaha Agung atau Pejabat Agung untuk tindakan sewajarnya oleh Jawatankuasa Tatatertib itu.

Pasal 75(3) berbunyi

Jawatankuasa Tatatertib itu hendaklah terdiri dari:
(a) Seorang Pengerusi
(b) Seorang Setiausaha, dan
(c) Tiga Ahli Jawatankuasa.

Fasal 75(4)

"MAJLIS SYURA ULAMAK", menurut kuasa yang diperuntukkan kepadanya dalam Fasal 7(3)(c) Perlembagaan ini adalah diberi kuasa melantik semua ahli-ahli Jawatankuasa Tatatertib dari masa ke semasa.

Fasal 75(5)

Kuasa Jawatankuasa Tatatertib itu ialah
(a) Memberi amaran
(b) Melucutkan hak-hak dalam parti
(c) Menggantung keahlian
(d) Memecat dari menjadi ahli

Fasal 75(6)

Seseorang ahli yang tidak berpuashati terhadap sebarang tindakan dan keputusan yang dikenakan ke atasnya oleh Jawatankuasa ini bolehlah membuat rayuan bertulis kepada "MAJLIS SYURA ULAMAK" dalam tempoh tidak lewat daripada enam puloh hari dari tarikh tatatertib itu diambil terhadapnya. Keputusan "MAJLIS SYURA ULAMAK bersabit dengan rayuan itu adalah muktamad.

Fasal 77(7)

"MAJLIS SYURA ULAMA" dalam keadaan tertentu dalah berhak mengambil apa-apa tindakan tatatertib dengan sendirinya tanpa menghiraukan Jawatankuasa Tatatertib ke atas mana-mana ahli PAS yang diadukan kepadanya oleh mana-mana pihak yang tersebut dalam ceraian (2) Fasal ini. Keputusan dan tindakan "MAJLIS SYURA ULAMAK" itu adalah muktamad.

Senario yang ada kini nampaknya tidak memenuhi tuntutan seperti yang tercatat di dalam Perlembagaan.

Menurut Perlembagaan PAS, hal-ehwal tatatertib(disiplin) adalah di bawah urusan Majlis Syura Ulamak yang diberi kuasa untuk menubuhkan Lembaga Disiplin yang dianggotai lima orang jawatankuasa.

Namun, semenjak isu Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hassan Ali timbul dan selepas mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat bagi membincangkan hal itu, Lembaga Disiplin seperti sudah lari dari peranannya yang sepatutnya menerima arahan dari Majlis Syura Ulamak, bukan dari pihak lain. Ini adalah kerana pembentukannya sepertimana yang ditunjukkan di atas dilakukan oleh Majlis Syura Ulamak. Jika perlantikan Jawatankuasa Disiplin yang ada pada hari ini bukan dari Majlis Syura Ulama, dengan sendirinya Lembaga Disiplin yang ada adalah sebuah jawatankuasa yang haram, batal dan tidak sah.

Justeru itu laporan harakahdaily bertarikh 30 Oktober 2009 bercanggah dengan Perlembagaan parti:


Lembaga Disiplin PAS telah diarahkan bersidang segera bagi menyiasat beberapa dakwaan kepada PAS Selangor.

Arahan ini dibuat oleh mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini. Ia dimaklumkan kepada media oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya kira-kira jam 1.00 pagi 29 Oktober semalam.


Tidak ada arahan sepatutnya boleh dilakukan oleh Presiden atau Jawatankuasa Pusat atau mana-mana pihak ke atas Lembaga Disiplin kerana Lembaga Disiplin adalah bebas dari sebarang tekanan, manipulasi, eksploitasi, arahan atau apa-apa bentuk suruhan dari mana-mana pihak kecuali Majlis Syura Ulamak.

Walau bagaimanapun, Jawatankuasa PAS Pusat boleh mengambil tindakan berdasarkan Fasal 23(7)(g) tanpa melibatkan Lembaga Tatatertib

Menyelesaikan perselisihan yang berlaku dalam parti, dan berkuasa menggantung dan membubarkan serta mengambil alih mana-mana Badan Perhubungan PAS Negeri/Wilayah Persekutuan, Kawasan-kawasan dan Cawangan-cawangan dengan melantik satu Jawatankuasa tadbir sementara yang akan mempunyai kuasa sebagaimana sesebuah Jawatankuasa yang diambil menurut Perlembagaan ini untuk tempoh masa yang ditentukan.

Fasal 75 (2) yang menyatakan "apa-apa tindakan dan perbuatan ahli-ahli yang didapati melanggar Tatatertib parti kepada Setiausaha Agung atau Pejabat Agung untuk tindakan sewajarnya oleh Jawatankuasa Tatatertib itu" bukan memberi kuasa Setiausa Agung untuk mengarahkan tetapi adalah tugas Setiausaha Agong memaklumkan kepada Lembaga Disiplin parti.

Dari Perlembagaan PAS, jelas, bahawa Majlis Syura Ulamak yang dipengerusikan oleh Mursyidul Am adalah kuasa tertinggi di dalam parti yang bertakluk (bukan tertakluk) ke atas Lembaga Disiplin. Lembaga Disiplin PAS perlu mematuhi hal ini.

Kenyataan Pengerusi Lembaga Disiplin yang menyatakan "lembaga ini akan membuat cadangan kepada Jawatankuasa PAS Pusat apakah bentuk tindakan yang akan diambil" adalah tidak betul kerana mengikut perlembagaan, cadangan hendaklah dihantar terus kepada Majlis Syura Ulamak, bukan Jawatankuasa PAS Pusat kerana nantinya sebarang rayuan adalah dilakukan kepada Majlis Syura Ulamak berdasarkan kepada Fasal 75(6).


4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

PAS sendiri tak ikut perlembagaan parti so macammana nak ikut perlembagaan negara??? nanti habis semuanya caca merba jadinya....

Tanpa Nama berkata...

Kekadang ujian kemenangan adalah jauh lebih hebat daripada ujian kekalahan...

Sewaktu sebelum menang cakap berdegar-degar dlm ceramah ttg amanah dan akauntabiliti...

Tetapi apabila menang, apakah kata selama ini akan di kota?

Rakyat sedang memerhati tindakan anda....

Tanpa Nama berkata...

Ya, betul jugak, siapa sebenarnya yang bentuk Lembaga Disiplin dan jawatankuasanya?

Kalau ikut perlembangaan, kesemuanya mesti lantik oleh Majlis Syura Ulamak. Selain dari perlantikan dari Majlis Syura Ulamak dgn sendirinya tidak sah.

Mohon penjelasan dari parti segera.

Tanpa Nama berkata...

naper hal ni pimpinan sepi dan membisu?