2 Dis 2009

Jangan Angkuh, Amaran PPP Kepada Murugiah

Parti Progresif Penduduk (PPP) memberi kata dua kepada Senator Datuk T. Murugiah, yang enggan tunduk kepada desakan melepaskan jawatan timbalan menteri walaupun telah dipecat enam bulan lalu, agar jangan bersikap degil dan angkuh.

"Saya member nasihat di sini, janganlah terlalu degil dan angkuh. Buat sahajalah kerja sebagai timbalan menteri, janganlah pandai-pandai mahu cari pasal dengan PPP," kata Ketua Penerangan PPP A. Chandrakumanan dalam satu kenyataan.

PPP mengeluarkan reaksi terbaru ini ekoran pendirian Murugiah (gambar) bahawa beliau tidak akan melepaskan jawatannya dalam tempoh 14 hari yang diberikan oleh Presiden PPP Datuk M. Kayveas kelmarin.

Murugiah menyerang bekas bosnya sambil mempersoalkan “siapakah dia Datuk M. Kayveas yang mahu keluarkan notis” memintanya agar mengosongkan jawatan timbalan mentri dalam 14 hari.

“Datuk M. Kayveas tidak layak untuk meminta saya meletakkan jawatan sebagai timbalan mentri,” tegas Murugiah.

“Ini jawatan kerajaan yang pelantikannya dibuat oleh Perdana Menteri. Ini bukan jawatan parti. Oleh itu, nampaknya Kayveas tidak menghormati keputusan Perdana Menteri,” kata beliau kepada The Malaysian Insider kelmarin.

Sehubungan itu, Chandrakumanan memberitahu beliau juga hairan dengan kenyataan Murugiah yang boleh mengatakan bahawa Kayveas tidak ada kuasa untuk mendesaknya meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Sebab jawatan ini dipikul oleh beliau melalui PPP. Jadi mengikut artikel 6.10 Perlembagaan parti, beliau harus meletak jawatannya kerana beliau bukan lagi ahli PPP.

"Tak perlu jadi Peguam Negara untuk hantar notis... budak pejabat pun boleh hantar notis ini kepada timbalan menteri yang degil dan sombong ini.

"Selalu dia mengunakan nama Perdana Menteri, memang PPP tahu bahawa jawatan ini dilantik oleh Perdana Menteri dan kerajaan, tetapi dia perlu tahu macam mana kerajaan beri jawatan ini kepada beliau, bukan kerana Murugiah tetapi untuk PPP sebagai parti komponen Barisan Nasional.

"Jadi melalui PPP dia memikul jawatan ini, dia tak harus lupakan ini," katanya lagi.

Sehubungan itu, Chandrakumanan memberitahu PPP juga mahu Najib mengambil satu tindakan wajar dengan segera terhadap Murugiah sebab mengikut perlembagaan parti, beliau tidak boleh memegang sebarang jawatan kerajaan kerana bukan lagi ahli parti.

"Perdana Menteri juga harus mengambil tindakan ini dengan segara kerana kerap kali Murugiah membuat kenyataan dan berkata Perdana Menteri menyokong beliau, perkara seperti ini tidak baik untuk Barisan Nasional," katanya lagi. -MI

Tiada ulasan: