9 Dis 2009

"Cina Kaum Pendatang" – MCA, GERAKAN Dicabar Keluar BN

MCA dan Gerakan dicabar keluar dari Barisan Nasional (BN) berikutan pembatalan penggantungan bekas Ketua Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang pernah mengeluar kenyataan “Cina adalah kaum pendatang.”

Ahli Parlimen DAP-Ipoh Barat, M Kulasegaran (gambar) menganggap MCA dan Gerakan sebagai parti tidak berprinsip jika kekal dalam BN walaupun tidak bersetuju dengan kenyataan itu.

“Apa pendirian Gerakan dan MCA dalam hal ini? Adakah mereka berani membuat keputusan meninggalkan BN. Itu yang patut dibuat jika mereka ada prinsip.

“Saya tidak hairan dengan keputusan Umno. Mereka langsung tidak menghiraukan desakan Gerakan dan MCA dulu yang mahu menghukum Ahmad.

“Kini semuanya kabur,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini, sambil mendesak Umno membuat pengumuman rasmi mengenai isu itu.

September tahun lalu, Ahmad digantung keahlian dan dilucut hak-haknya dalam Umno selama tiga tahun kerana menyentuh sensitiviti kaum, tapi dibatal Jumaat lalu.

Pembatalan itu dibuat Umno dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) manakala Ahmad sudah dimaklumkan perkembangan itu tetapi tiada pengumuman rasmi setakat ini.

Pada satu ceramah 23 Ogos 2008 dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, Ahmad didakwa menyebut masyarakat Cina adalah pendatang dan tidak layak menuntut hak yang sama.

Ahli Parlimen DAP-Bukit Bendera, Liew Chin Tong pula berkata, pembatalan itu meningkat imej rasis Umno dan bertentangan dengan semangat 1Malaysia.

Beliau tertanya-tanya pendirian Pengerusi BN Pulau Pinang yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Koh Tsu Koon yang terlibat secara langsung dalam pertelagahan dengan Ahmad Ismail.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam soal perpaduan, apa pendirian Tsu Koon? Dan, apa sebenarnya mesej yang mahu disampai melalui keputusan itu?” katanya.

Ahli Parlimen DAP-Petaling Jaya Utara, Tony Pua pula menyifatkan penggantungan itu ditarik balik bagi mengukuhkan konsep Ketuanan Melayu.

Menyifatkan keputusan itu mengecewakan banyak pihak, beliau mendapati Umno cuba memulihkan individu yang didapati bersalah dalam kelakuan mereka semata-mata atas dasar kepentingan politik. -FMT


Penggantungan Ahmad Ismail ditarik balik
Dis 9, 09 5:00pm

Umno Pulau Pinang menyambut baik keputusan Majlis Tertinggi Umno untuk menarik balik penggantungan Datuk Ahmad Ismail selama tiga tahun dari September kerana mengeluarkan kenyataan sensitif semasa berkempen.

Setiausaha Umno negeri Datuk Azhar Ibrahim berkata beliau menyambut baik keputusan penarikan balik penggantungan Ahmad kerana beliau (Ahmad) masih merupakan orang penting bagi Umno, lapor Bernama.

"Saya percaya Majlis Tertinggi parti telah menimbangkan perkara itu secara serius sebelum membuat keputusan itu dan Umno Pulau Pinang sentiasa mengalu-alukan kepulangan Ahmad," katanya kepada pemberita di Pulau Pinang hari ini.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini dilaporkan berkata Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat Jumaat lalu, memutuskan untuk menarik balik penggantungan Ahmad.

Ahmad, bekas Ketua Umno Bukit Bendera, semasa dihubungi berkata beliau bersyukur kerana perjuangan parti kembali ke landasan dan mengucapkan terima kasih kepada presiden dan timbalan presiden parti atas pertimbangan mereka.

Beliau digantung daripada parti selama tiga tahun dari September berikutan kritikan orang ramai selepas beliau menganggap bukan Melayu sebagai "pendatang" semasa berkempen dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh tahun lepas.

Pada 10 September lalu, MT memutuskan Ahmad digantung dan dilucutkan hak-haknya dalam parti selama tiga tahun, ekoran kontroversi yang dicetuskan oleh ketua Umno Bukit Bendera itu, yang didakwa membuat kenyataan yang berbaur perkauman terhadap masyarakat Cina.

Ahmad telah menimbulkan kemarahan masyarakat Cina apabila didakwa berkata bahawa kaum itu "menumpang" di negara dan meminta mereka supaya tidak menjadi seperti orang Yahudi di Amerika yang mahu menguasai ekonomi dan kuasa politik.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Ahmad membuat kenyataan menggesa Gerakan supaya keluar dari BN dan manakala seorang penyokongnya telah bertindak mengoyak gambar pemangku presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. -malaysiakini


Tiada ulasan: