3 Dis 2009

Beza Mempelajari Bahasa Al-Quran Dengan Mempelajari Ajaran Al-Quran

Seorang sahabat lama yang kini masih berada di Jeddah di dalam perjalanan pulangnya setelah selesai menunaikan ibadah haji musim ini telah menulis di blognya yang menganjur kita untuk mempelajari "bahasa Al-Quran".

Beliau melihat bahasa Al-Quran menaikkan darjat seseorang, bahasa Al-Ouran memudahkan komunikasi sewaktu berada di bumi Mekah, kebolehan berbahasa Al-Quran telah menyebabkan Malaysia dipuji.

Beliau yang kini bertugas sebagai Ketua Pengarah RTM telah menulis:


Malah dalam sidang media yang diadakan oleh Timbalan Perdana Menteri Kedua Arab Saudi, Putera Naif Abdul Aziz, baru-baru ini, beliau dipilih untuk bertanyakan soalan kerana mampu bertutur bahasa Arab. Soalannya itu menggerakkan hati Putera Naif memuji Malaysia yang mampu menguruskan hajinya dengan baik. Malah Putera Naif meminta agar negara lain mencontohi Malaysia.


Sekadar itu yang dilihat kelebihan mereka yang berkebolehan berbahasa Arab.

Sayangnya, keterpegunan beliau terhenti setakat itu. Ia itu bahasa Arab sebagai alat komunikasi, tetapi melupa dan meninggalkan yang lebih utama : iaitu sekadar menganjurkan mempelajari bahasa Al-Quran, sedangkan melupakan untuk menganjurkan mempelajari isi kandungan Al-Quran supaya ajaran-ajaran di dalamnya diikuti dan dipatuhi.

Itulah yang berlaku. sebuah parti yang dianggotai oleh ramai juga umat Islam di dalamnya iaitu UMNO, tidak dapat memberikan apresiasi yang betul dan tidak dapat meletakkan keutamaan : mempelajari bahasa Al-Qurankah atau mempelajari ayat-ayat Al-Quran sehinggakan wujudlah apa yang dipanggil kulitnya cantik berseri, intinya hampas.

Maka dengan sebab itu di dalam negara kita dianjurkan musabaqah membaca Al-Quran, sedangkan isi kandungan Al-Quran tidak diindahkan, malah dalam banyak masa dan keadaan ajaran-ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran itu sendiri menjadi momokan dan tentangan para pemimpinnya.

Dilagukan Al-Quran dengan sebaik-baik alunan suara, dihadiahkan pemenangnya dengan sebsar-besar piala - sedangkan kehidupan seharian semakin jauh dari ajaran-ajaran Al-Quran itu sendiri.


GB tidak menduga tentang tahap mentaliti orang-orang ternama ini sedangkan Allah dan RasulNya telah "memerintahkan" kita untuk mempelajari isi-kandungan Al-Quran dan mematuhi segala perintah dan larangan yang terkandung di dalamnya.

Namun GB berharap ia sebagai satu permulaan, permulaan untuk menyedari bahawa Al-Quran bukan sekadar bahasanya (bahasa Arab) untuk dipelajari, tetapi yang terlebih penting ialah ajaran-ajaran yang terkandung di dalamnya.

Berikut diperturunkan beberapa potong hadith mengenainya:

1. Daripada Abu Umamah r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Bacalah Al Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafa’at kepada pembacanya”.

( Hadith Riwayat Muslim )

2. Daripada Nawwas Bin Sam’an r.a. telah berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda :

“Di hari akhirat kelak akan didatangkan Al Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan Surah Al Baqarah dan Surah A-li ‘Imraan, kedua-dua surah ini menghujah ( mempertahankan ) orang yang membaca dan mengamalkannya”.

( Hadith Riwayat Muslim )

3. Daripada Osman Bin ‘Affan r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda :

“Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarnya kepada orang lain”.

( Hadith Riwayat Bukhari )

4. Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W. :

“Orang yang membaca Al Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”.

( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim )

5. Daripada Abu Musa Al Asy’ari r.a. telah berkata : Rasulullah S.A.W. bersabda :

“Umpama orang mukmin yang membaca Al Quran seperti buah Utrujjah ( seperti limau besar ) baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama orang mukmin yang tidak membaca Al Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan rasanya manis, dan umpama orang munafik yang membaca Al Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca Al Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit”.

( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim )

6. Daripada Omar Bin Al Khattab r.a. Bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda :

“Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab Al Quran”.

( Hadith Riwayat Muslim )

7. Daripada Ibnu Omar r.a. daripada Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda:

“Tidak boleh berhasad dengki kecuali di dalam dua perkara : Lelaki yang dianugerahkan kefahaman yang sahih tentang Al Quran, ia menunaikan ibadat siang dan malam , lelaki yang dianugerahkan kemewahan harta lalu dinafkahkannya siang dan malam”.

( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim )

8. Daripada Barra’ dan daripada ‘Azib r.a. telah berkata :

“Seorang lelaki membaca Surah Al Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad S.A.W. dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda : Itulah ( sakinah ) ketenangan yang turun disebabkan bacaan Al Quran”.

( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim )

9. Daripada Ibnu ‘Abbas r.a. beliau berkata : Rasulullah S.A.W. bersabda :

“Sesungguhnya orang yang tidak ada di dalam ingatannya sesuatu pun daripada ayat Al Quran seperti rumah yang roboh”.

(Hadith Riwayat Tarmizi dan beliau berkata: Hadis ini hasan sahih )

10. Daripada Abdullah Bin ‘Umru Bin Al ‘As r.a. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda :

“Satu masa nanti akan dikatakan kepada orang yang membaca Al Quran: Bacalah, perbaikkilah dan perelokkanlah bacaan Al Quran sepertimana engkau memperelokkan urusan di dunia, sesungguhnya tempat engkau akan ditentukan di akhir ayat yang engkau bacakan”.

( Hadith Riwayat Abu Daud dan Tarmizi dan beliau berkata : Hadis ini hasan sahih )

11. Daripada ‘Uqbah Bin ‘Amir r.a. menceritakan : Rasulullah S.A.W keluar dan kami berada di tempat duduk masjid yang beratap. Maka beliau bersabda:

“Siapakah di antara kamu yang suka keluar di pagi hari pada setiap hari menuju ke Buthan atau ‘Atiq, dan dia mengambil darinya dua ekor unta yang gemuk dalam keadaan dia tidak melakukan dosa dan tidak putus hubungan silaturrahim”. Kami menjawab : “Kami suka demikian itu. Sabda Rasulullah S.A.W : “Kenapakah kamu tidak pergi ke masjid belajar atau membaca dua ayat Al Quran lebih baik dari dua ekor unta, tiga ayat lebih baik dari tiga ekor, empat ayat lebih baik dari empat ekor unta demikianlah seterusnya mengikut bilangan ayatnya”.

( HadithRiwayat Muslim )

12. Daripada Ibnu Mas’ud r.a bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda :

“Orang yang paling layak mengimami kaum di dalam sembahyang ialah mereka yang terfasih membaca Al Quran”.

(Hadith Riwayat Muslim )

13. Daripada Jabir Bin Abdullah r.a. bahawa Nabi Muhammad S.A.W. menghimpun antara dua lelaki yang terbunuh di peperangan Uhud kemudian beliau bersabda :

“Yang mana satukah antara keduanya yang paling kuat berpegang teguh dengan Al Quran maka apabila aku tunjukkan kepada salah seorang daripada keduanya maka dialah orang yang pertama masuk ke liang lahad”.

( Hadith Riwayat Bukhari, Tarmizi, Nasa’ie & Ibnu Majah )

14. Daripada ‘Imran Bin Husain Bahawa beliau lalu di hadapan qari yang sedang membaca Al Quran kemudian dia berdoa kepada Allah kemudian ia kembali membaca kemudian ia berkata aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda :

“Barangsiapa yang membaca Al Quran maka berdoalah kepada Allah dengan Al Quran maka sesungguhnya akan datang beberapa kaum yang membaca Al Quran dan mereka berdoa dengannya”.
( Hadith Riwayat Tarmizi, beliau berkata : Hadis ini hasan )

15. Daripada Ibnu Mas’ud r.a. ia berkata :

“Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud : Alif , Lam , Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”.

(Hadith Riwayat Ad Darimi Tarmizi, beliau berkata hadis ini hasan sahih )


4 ulasan:

Awanama berkata...

gb... ada dulu sorang kawan melawat china...

malunya dia bila disapa oleh orang-orang china... "kamu tak boleh berbahasa arab?? macam mana kamu belajar quran???"

Unknown berkata...

Baca ayat GB di atas:
"Namun GB berharap ia sebagai satu permulaan, permulaan untuk menyedari bahawa Al-Quran bukan sekadar bahasanya (bahasa Arab) untuk dipelajari, tetapi yang terlebih penting ialah ajaran-ajaran yang terkandung di dalamnya. "

Dan kalau GB yang ditanya oleh orang-orang Cina itu GB akan jawab: Nabi Mohd diutuskan bukan untuk mempalajari bahasa Arab tetapi diutuskan untuk membawa kebenaran.

Ada bezanya mempelajari bahasa Arab dengan mempelajari Al-Quran. Anda boleh mempelajari Al-Quran sekalipun tidak mengetahui bahasa Arab dengan kaedah mempelajari dari guru-guru yang dah mahir dan mengerti ajaran Al-Quran itu, kedua kini sudah ada Al-Quran terjemahan, ramai yang tak beli dan baca. Malah sudah ada kelas dan kitab kaedah membaca Al-Quran dengan tartil. Ramai yang membuat tak kisah mengenainya.

Namun elok sangat jika dapat mengetahui bahasa Arab tetapi bukan sekadar untuk berkomunikasi tetapi dijadikan alat untuk mempelajari kebenaran iaitu Al-Quran bersesuaian dengan kaedah "maa lam ya'timul wajibu fahuwa wajib"

Unknown berkata...

pembetulan : maa lam ya'timul wajibu illa bihii fahuwa wajiib

Awanama berkata...

Al Quran sabenarnya jika kita memahami ayat2nya, terkandong berbagai pelajaran didlmnya. Tetapi kebanyakan org hanya belajar hukum tajwidnya dan utk memperdengarkan kelunakan suara mereka shj - maka inilah org2 yang Allah laknat di padang mashyar kelak. tengok shj gambar diatas? aurat pun terdedah - inilah yg dikatakan tak faham ajaran yg dibawa oleh Rasullullah saw. rasanya artis hollywoodpun kalah