26 Dis 2009

10 Maut Musim Cuti Krismas

Sepuluh penumpang maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah apabila bas dua tingkat Sani Express terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan, awal pagi ini.

Ketua Polis Trafik Negeri, Supt Wan Abdullah Ishak, berkata mereka yang terbunuh dalam kejadian 1 pagi itu adalah:

1. Noor Jismi Noordin (Kangar).
2. Musa @ Ismail Abdullah (Gurun).
3. Mohd Shukri Mohd Ali (Sungai Besar).
4. Mohd Bilal Osman (Sungai Besar).
5. Shaharin Mohd Noor (Klang).
6. Sharifah Raheel Aljunid Syed Harun (Sungai Petani).
7. Supiah Adam (Klang).
8. Ng Poh Ngoh (Alor Setar).
9. Ng Kah Kit (Alor Setar).
10. Shaharin Mohd Noor (Klang).

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, katanya identiti mangsa terakhir iaitu seorang wanita yang dipercayai berbangsa Melayu masih belum dikenal pasti.

Wan Abdullah berkata, penumpang yang cedera parah dikenali Md Razip Fadzir, seorang anggota tentera manakala penumpang yang cedera ringan ialah Siti Munira Hashim, 30, dari Langgar, Kedah.

Katanya kedua-dua penumpang yang cedera kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini manakala mayat mangsa yang terbunuh dibawa ke hospital yang sama untuk bedah siasat.

Wan Abdullah berkata, semua yang terbunuh dan cedera adalah penumpang yang duduk di tingkat bawah bas dua tingkat berkenaan manakala semua penumpang di bahagian atas serta kedua-dua pemandu bas tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, bas ekspres itu bertolak dari Klang, Selangor pada jam 9 malam tadi menuju ke Kangar dan membawa 48 penumpang.

"Di tempat kejadian, bas itu tiba-tiba terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di sebelah kiri lebuh raya. Ia kemudiannya melantun serta merempuh pula pembahagi jalan di sebelah kanan lebuh raya sebelum berhenti," katanya.

Beliau berkata, besi pembahagi jalan yang menusuk masuk ke dalam bas selepas rempuhan yang pertama (rempuhan di sebelah kiri) menyebabkan kematian dan kecederaan penumpang berkenaan.

Wan Abdullah berkata, pemandu bas ketika kemalangan itu telah ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan pemandu yang ditahan itu baru sahaja mengambil giliran memandu selepas bas itu berhenti di Hentian Sebelah, Simpang Pulai dekat sini sebelum kejadian.

Sementara itu, seorang daripada penumpang yang terselamat, Marziana Mahmud, 24, mendakwa pemandu bas tersebut kelihatan mengantuk sebelum kemalangan tersebut.

"Bas dipandu dalam keadaaan tidak stabil, terhoyong-hayang ke kiri... kanan sebelum kejadian," dakwa penjawat awam itu yang duduk di bahagian depan di tingkat atas bas berkenaan.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

selagi BN perintah malaysia, jalanraya tidak aman dari kemalangan maut.