21 Nov 2009

PKR Kuala Krai Tidak Bubar

Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan, Saifuddin Nasution berkata, pihaknya akan membuat perjumpaan dengan semua peringkat cabang dan ranting parti tersebut di negeri ini susulan tindakan keluar parti yang dibuat oleh pimpinan Kuala Krai Selasa lalu.

Beliau yang baru mengambil alih kepimpinan negeri berkata, perjumpaan tersebut penting untuk mencari persamaan di antara pemimpin parti selain daripada menyelesaikan isu yang berbangkit dalam kalangan anggota cabang dan ranting peringkat negeri.

Saifuddin berkata, krisis yang berlaku tersebut adalah kecil dan tidak menjejaskan semangat anggota untuk meneruskan perjuangan parti.

“Dalam kes ini, hanya Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang berhak untuk membubarkan sesuatu bahagian, jadi bahagian Kuala Krai tidak dibubar sebaliknya ahlinya sahaja yang bertindak keluar parti,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Pemangku Ketua PKR Kuala Krai, M Amavasay bersama dengan ahli jawatankuasa termasuk Pemuda, Naib Ketua Wanita dan empat Ketua Cawangan mengumumkan keluar parti setelah hilang kepercayaan terhadap Kerajaan Negeri dan PKR kerana gagal memperjuangkan nasib kaum India.

Amavasay berkata, beliau yakin kesemua ahli PKR di bahagian ini yang kini berjumlah seramai kira-kira 1,500 orang akan turut mengikut jejak langkah yang dilakukan oleh pihaknya.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, beliau tidak gusar dengan krisis yang dihadapi oleh kepimpinan PKR Kuala Krai memandangkan parti itu telah melalui banyak pengalaman anggota parti yang mengambil tindakan sama.

“Dalam PKR, bukan sahaja ahli, tetapi Timbalan Presiden, Dr Chandra Muzaffar, Ketua Pemuda Ezam Mohd Nor dan ramai lagi nama-nama besar yang telah bertindak keluar parti, namun seperti dapat dilihat kini PKR semakin kuat dan bukannya lemah, buktinya kita sekarang mempunyai 31 kerusi Parlimen berbanding dahulu.

“Oleh yang demikian, saya tidak menjangkakan bahawa tindakan beberapa orang individu terbabit akan melumpuhkan PKR, apa pun saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang banyak menabur budi kepada parti ini,” katanya.

Dalam masa yang sama, Saifuddin berkata, pihaknya tetap meneruskan pendekatan melalui perbincangan dan perundingan seperti mana yang digunakan sebelum ini bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit dalam kalangan anggota parti. -SH

1 ulasan:

Ahli MTD PAS Guchil. berkata...

Memang benar PKR Kuala Krai tidak dibubar,kerana setakat yang saya tahu hanya 4 orang sahaja yang lari.Contohnya Amvasay dan Samy adalah orang orang yang gila jawatan.Bila dtukar jawatan Ahli Majlis Daerah dan Penghulu,mereka terus melenting.Dah 19 tahun PAS memerentah Kelantan orang lain pun nak rasa juga jawatan,bukan mereka sahaja yang layak.Lagipun Amavasay dah 2 kali keluar parti,bila dipujuk,dibagi jawatan masuk balik.Hanya Amavasay sahaja yang pernah pegang 2 jawatan serentak,penghulu dan ahli majlis daerah.Sepatutnya beliau berterima kasih,tapak rumah nya di KG Kroh Kerajaan PAS yang bagi,kalau nak harap pada BN tunggulah kucing bertanduk.