22 Nov 2009

PAS Perlukan Reformasi

Perubahan kepimpinan UMNO daripada Dr Mahathir kepada Pak Lah seterusnya kepada Dato Najib tidak dapat menyelesaikan masalah kerana sistem UMNO itu sendiri perlu dimusnahkan. Begitu juga dengan PAS, perpindahan kepimpinan TG Haji Hadi kepada Ustaz Azizan sendiri belum tentu dapat menyelesaikan masalah kerana sikap tidak puas hati akan sentiasa ada.

Seminar, mesyuarat khas hatta EGM belum tentu dapat menyelesaikan masalah kepimpinan PAS.Begitu juga pertarungan antara golongan profesional vs ulama. Ia tidak dapat diselesaikan dengan perubahan kepimpinan.

Kepimpinan Institusional: Memperkasakan Majlis Syura Ulama.

PAS bakal kehilangan kepimpinan 3 serangkai TG Fadzil Noor, TG Nik Aziz dan TG Haji Hadi. Kepimpinan yang bergantung kepada kekuatan individu bakal mengucar-kacirkan jemaah jika pemimpin berkarisma ini meninggal dunia. Inilah yang berlaku kepada Ikhwanul Muslimin yang berkrisis kerana kematian Imam Hassan al Banna. Krisis ini menyebabkan kepimpinan Ikhwanul Muslimin pincang sehingga dilakukan proses pembersihan dimana tokoh-tokoh yang bertaqwa dan istiqamah seperti Sayid Sabiq dan Salah Asmawi terpaksa dipecat kerana enggan akur keputusan jemaah.

Pengajaran inilah yang perlu diteladani oleh PAS dengan memperkasakan Majlis Syuro Ulama yang dilihat sebagai kepimpinan institusional yang berasaskan kekuatan kolektif bukannya karisma seseorang pemimpin.

Majlis Syuro Ulama seharusnya mempunyai 24 orang ahli. Ahli MSU dipilih oleh Muktamar Agung dan dipegang selama 5 tahun. Ahli MSU perlu menjadi ahli PAS sekurangnya selama 3 tahun dan hadir usrah. Usia melebihi 40 tahun dan bercirikan ulama. Muktamar mempunyai hak untuk memilih ulama-ulama mengikut citarasa mereka sama ada ulama progresif, ulama deoband, ulama azhar atau apa jenis ulama. Satu yang perlu diingatkan bahawa MSU adalah otak jemaah.

Dewan Ulama dan Intelektual harus memilih 2 orang ulama bagi wakilnya. Begitu juga Dewan Pemuda, Dewan Penyokong PAS dan Dewan Muslimat perlu memilih dua orang ulama untuk mewakili dewan masing-masing. Kemudian Mursiydul Aam mempunyai hak melantik 3 orang ulama pilihannya.

Kemudian ahli MSU akan melakukan undi rahsia bagi melantik jawatan Mursyidul Aam, Timbalan Mursyidul Aam dan Naib Mursyidul Aam.

Kemudian barulah MSU melantik Presiden (lebih sesuai dikenali sebagai Setiausaha Agung, dimana SUA memainkan peranan penting dalam parti DAP, PBB dan Hizbullah). Kemudian Presiden membentuk AJK Pusat PAS dan dibawa ke MSU untuk diluluskan.

Seperti cadangan Pak Subky Latif, Pasukan Presiden ini akan diKPIkan setiap 3 tahun oleh MSU dan muktamar. Jika gagal, lantikkan lain perlu dibuat.

Presiden akan menjadi pimpinan utama parti bersama Mursyidul Aam dan Timbalan Mursyidul Aam. Presiden juga secara automatik dilantik sebagai ahli MSU tetapi tidak layak membuat keputusan atau mengundi.

Mursyidul Aam akan mengetuai Lujnah Politik dan berkuasa melantik Pesuruhjaya PAS Negeri. Timbalan Mursydul Aam akan mengetuai Majlis Tarbiyyah Jemaah dengan bantuan Dewan Ulama dan Intelektual, manakala Naib Mursyidul Aam akan menguruskan persoalan luar negara dengan bantuan Lujnah Antarabangsa PAS Pusat.

Pada masa sekarang MSU bagaikan tidak berkuasa. Jika Mursyidul Aam bersuara, timbullah pertentangan pendapat diantara Mursyidul Aam dengan Presiden seakan-akan PAS ada dua nakhoda. Dengan adanya penstrukturan ini, Mursyidul Aamlah insan paling berkuasa dalam jemaah. Presiden harus taat kepada Mursyidul Aam, Mursyidul Aam harus mentaati kepada MSU. MSU harus akur dengan Muktamar.

Jawatan Menteri Besar

Bagi negeri Pakatan Rakyat, jawatan Menteri haruslah dipegang selama 3 penggal. Satu penggal tiga tahun agar monopoli kuasa dan penyelewengan atas diatasi.

Pelantikan Menteri Besar haruslah dicalonkan oleh Dewan Harian PAS Negeri dan dilulus secara bersama oleh Dewan Ulama dan Intelektual Negeri. Nama Calon seramai 3 orang tersebut akan dibawa ke MSU dan dibincangkan. Hanya MSU berhak melantik nama Menteri Besar.

Dewan Ulama dan Intelektual

Dewan Ulama PAS harus direformasi dimana ulama dan intelektual bukan bidang agama harus bersatu dalam satu dewan. Kita mahu ulama bergabung dengan intelektual sehebat Syed Naquib al Attas, Prof Aziz Bari, Dr Siddiq Fadzil dan lain-lain. Dewan Ulama dan Intelektual bakal meruntuhkan pemikiran sempit para ulama.

Dewan Penyokong PAS: PAS sebagai parti berbilang kaum.

Dengan adanya Dewan Penyokong PAS, PAS secara rasminya menjadi parti berbilang kaum dan agama. Ahli Dewan Penyokong PAS layak memegang semua jawatan jemaah kecuali ahli MSU. Walaubagaimanapun Dewan Penyokong PAS ada hak memilih 2 orang ulama sebagai wakil mereka dalam MSU.

Usrah: Kelayakkan Bertanding Jawatan Yang Dipertuan Kawasan

Usrah harus diubah silibusnya dengan kemasukkan non muslim dalam usrah. Apapun unsur tafsir, tilawah, hadith dan sirah perlu dikekalkan. Naqib perlu terdiri daripada kalangan muslim atau ustaz.

Sesiapa yang nak bertanding jawatan tertentu peringkat kawasan harus menghadiri usrah dengan jumlah tertentu.

Setiap ahli diwajibkan usrah. Bahagikan keahlian kepada 2 iaitu ahli biasa(yang tidak hadir usrah) dan ahli usrah. Hanya ahli usrah PAS yang layak bertanding peringkat kawasan.

Usrah Khas Naqib

Usrah naqib perlu dilangsungkan oleh ulama-ulama, wakil Dewan Ulama dan Intelektual.

Majlis Tarbiyyah Jemaah

Majlis ini diketuai oleh Timbalan Mursiydul Aam. Dianggotai oleh wakil Dewan Pemuda, Muslimat dan Dewan Ulama dan Intelektual. Manakala Dewan Penyokong PAS akan menghantar dua orang ulama untuk mewakili mereka. Ahli Majlis Tarbiyyah Jemaah diwajibkan Islam.

Hanya Majlis ini berperanan dalam urusan tarbiiyah. Tugas utama ialah menyeragamkan usrah dan urusan tarbiyyah. Dengan adanya majlis ini, pemikiran ahli PAS akan dibersihkan daripada elemen luar termasuk UMNO, JIM dan jemaah lain.

Jawatankuasa Displin Jemaah

Diketuai oleh mantan pimpinan MSU. Tugas sebagai pemantau disiplin ahli.

Seminar Khas Sempena Muktamar

Seminar ala muktamar ABIM ini penting bagi menjana pemikiran ahli. Ahli juga diajak berdiskusi dan berbincang bagi menghasilkan jalan untuk menyelesaikan permasalahan jemaah

Konklusi

Inilah sedikit cadangan ringkas reformasi yang perlu dilakukan oleh PAS dari hamba yang daif ini. Reformasi ini penting supaya PAS terus wujud sebagai jemaah yang utuh. Diharapkan pihak berkuasa PAS memulakan langkah agar ia tidak parah. -duniatabligh

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam,

Alhamdulillah....inilah artikel terbaik yang pernah saya baca tentang 'reform PAS'. Walaupun ia dipetik dari laman lain, namun saya yakin kehebatan akhi GB mampu menghidu satu sumbang saran yang lebih bermakna dari tiap hari tiap masa, tak lain UG, UG, UG dan UG. Sebut pasal melayu sikit...aahhhh itu UG. Nak masuk Umno tuh, jaga-jaga...Tuduh menuduh, kata dia ni UG, dia tu UG, Dia tu anti ini, dia itu anti ini, tak ada wala' dll. Pembaca pun naik keliru dan fikiran orang atas pagar pun yang kurang faham, jadi kecamuk.

Maka apalagi? Akhi GB yang dirasa kenal beberapa pimpinan PAS negeri atau PUsat, sila ajukan cadangan ini!

Harap kemukan....

Fiqar

Tanpa Nama berkata...

Siapakah yang mahu mereformasikan PAS apabila sudah mempunyai jawatan atau mempunyai banyak kepentingan peribadi atau keluarga? Mereformasikan PAS juga akan membantutkan usaha membawa PAS ke dalam BN tahun 2010/2011 kecuali yang menjadi pemimpin adalah mereka yang suka untuk bergabung/bermuafakat dengan UMNO.