22 Nov 2009

Keropok Lekor Punca Taun Di Terengganu

Penggunaan ikan dicemari sejenis kuman dinamakan ‘vibrio cholera’ dalam keropok dikenal pasti sebagai salah satu punca menyebabkan berlakunya penularan penyakit Kolera atau taun di Terengganu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, berdasarkan keputusan ujian ke atas sampel ikan yang diambil dari dua kilang keropok di Kuala Terengganu, pihaknya mendapati ia positif ‘vibrio cholera'.

Menurutnya, keputusan itu memberi gambaran bahawa kemungkinan ikan digunakan tercemar dengan ‘vibrio cholera’ dari Thailand ketika didaratkan melalui Kompleks Perikanan Chendering yang membekalkan ikan ke daerah ini dan Marang.

“Selain itu, keputusan makmal terhadap beberapa sampel termasuk ayam mentah dari Pasar Borong Gong Pauh, Wakaf Mempelam dan swab paip bocor kilang ais juga didapati positif kuman tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi pesakit taun yang menerima rawatan di Wad Isolasi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini semalam.

Tiong Lai berkata, sejak wabak tersebut menular di Terengganu, Jabatan Kesihatan Negeri telah melakukan pemeriksaan terhadap 115 premis makanan seluruh negeri ini dan daripada jumlah itu, 20 premis terpaksa ditutup.

Katanya, 11 kilang ais, empat kilang keropok dan lima premis makanan terbabit diarahkan tutup di bawah Akta Makanan 1983 selama 10 hari setelah sampel makanan diambil disahkan positif kuman menyebabkan taun.

Kita arahkan mereka tingkatkan kebersihan premis masing-masing dan jika mereka mematuhi peraturan serta standard ditetapkan, pengusaha boleh memohon agar kilang terbabit dibuka semula,” katanya.

Beliau memberitahu, sebanyak 85 mangsa kes cirit-birit (Acute Gastroenteritis-AGE) telah pun dimasukkan kes wad Isolasi kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan kes AGE ke wad adalah 621 kes.

Menurutnya, sehingga jam 7 pagi kelmarin seramai 482 mangsa iaitu 322 pesakit disyaki mengalami AGE, 138 kes yang disahkan mengalami kolera atau taun dan 22 pembawa wabak tersebut masih lagi dirawat di HSNZ.

“Lebih 90 peratus kes melibatkan Kuala Terengganu dan bagi memberi kesedaran orang ramai mengenai wabak ini, sebanyak 130 sesi pendidikan kesihatan dijalankan di kawasan terlibat dengan jangkitan taun.

“Selain itu, saya juga menasihatkan orang awam supaya jangan ambil mudah sekiranya mengalami cirit birit berterusan dan muntah kerana kegagalan mendapatkan rawatan dengan segera boleh membawa maut,” katanya. -SH

Tiada ulasan: