15 Nov 2009

Era Najib Altantuya : TG Nik Aziz Dan MAZA

SATU - Lega, itulah perasaan saya dan saya yakin perasaan orang lain juga ketika ini, apabila TGNA membatalkan hasratnya menunaikan fardhu haji. TGNA telah membuat keputusan bijak. Itulah mudarat yang lebih ringan berbanding fitnah yang bakal semakin membarah sekiranya TGNA meneruskan hasratnya. Lagi pun ibadah haji TGNA kali ini tidak lagi menjadi wajib memandangkan ibadah itu telah ditunaikannya untuk kesekian kali.

Saya tahu TGNA ada jawapan terhadap apa yang dihalakan kepadanya itu. Tetapi jawapan itu tidak mampu melegakan hati ramai orang, bahkan saya yakin hati TGNA sendiri. TGNA akan berangkat ke Mekah dalam keadaan ramai mata menjeling tajam ke arahnya. Tentu TGNA tidak selesa dengan itu semua.

Bukan itu saja, isu ini tidak akan selesai walau pun TGNA mendapat haji mabrur dan bila pulang, mata yang menjelingnya ketika pergi akan menyambung semula jelingan tajam itu. Musuh politik TGNA pula akan memukul gendang isu ini dengan lebih rancak lagi.

Apa jua ungkapan samada berani, tegas, pantas, bijak, semua itu mampu dilabelkan kepada TGNA dalam isu ini. Inilah perkara yang patut ada pada semua pemimpin PAS. Bertindak pantas menutup pintu fitnah. Dan saya pula hanya mampu mengungkapkan ini sahaja, terima kasih Tok Guru.



DUA - Lain yang diharap, lain pula yang jadi. Ketika ramai orang berharap institusi agama menyeret pengembang ajaran sesat seperti Ayah Pin misalnya, ke mahkamah dan didakwa kerana mengamal dan menyebarkan ajaran sesat, tiba-tiba yang bakal didakwa adalah Dr Asri Zainul Abidin. Kesalahannya pula ialah menyampaikan kuliah tanpa tauliah.

Agaknya kerana Dr Asri tiada kerajaan langit, maka dia mudah sahaja ditangkap dan didakwa. Dan, agaknya itulah kelemahan Dr Asri, tidak menubuhkan kerajaan langit.

Tindakan mendakwa Dr Asri tidak membantu menyerlahkan kewibawaan institusi agama termasuk mahkamah syariah. Tindakan ini akan menjadikan persepsi umum, terutamanya kumpulan yang memang selama ini berpersepsi negatif terhadap institusi agama, menjadi bertambah negatif.

JAIS adalah institusi agama dan Dr Asri pula orang agama. Sepatutnya kedua-duanya bersama dalam membanteras perosak agama. Apa yang berlaku pula adalah, orang agama bertindak ke atas orang agama. Rasanya ada pihak yang sedang bertepuk tangan dengan perkembangan ini.

Bagi saya, tindakan JAIS mencemarkan institusi agama. Benar, saya memang tidak sependapat dengan Dr Asri dalam banyak isu, tetapi saya bersamanya apabila JAIS bertindak begini terhadapnya.

Banyak lagi keutamaan JAIS daripada sekadar membendung apa yang disifatkan sebagai ‘Wahabi’ yang kononnya disebarkan oleh Dr Asri. Pengurusan masjid yang masih lintang-pukang, pembanterasan ajaran sesat, kepincangan akhlak di kalangan remaja dan banyak lagi. Sepatutnya tenaga dan keupayaan Dr Asri dimanfaatkan untuk membantu JAIS dalam tugasan yang bertimbun itu, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Kalau beginilah institusi agama kita, masih lambat benar rasanya untuk Islam melangkah jauh di negara kita daripada sekadar apa yang ada pada hari ini.

Harap-harap, JAIS tidak menjadi tikus yang membaiki labu. -bongkarsauh

3 ulasan:

Awanama berkata...

TGNA layak jadi PM malaysia, sekiranya Pakatan menang PRU13, perkara yang dibimbangkan UMNO dan UG.

Awanama berkata...

..eh eh..macam mana TGNA dikatakan layak untuk jadi PM Malaysia..orang geger sikit dengan isu 'sponsor pakej haji' yang dikatakan satu fitnah semata2 tapi terus bertindak membatalkan hasrat murni untuk menunaikan ibadat haji..FITNAH adalah sesuatu tohmahan yang tidak betul..kalau dah pasti yang ianya tidak betul mengapa perlu takut.. kata orang tua dulu kala..'berani kerana benar, takut kerana salah'..kalau rasa betul dan yakin kita berada dipihak yang benar maka teruskan hasrat yang murni itu..kalau tidak rakyat akan rasa curiga dan kemungkinan percaya bahawa isu itu adalah benar, tiada yang tidak benar melainkan benar..

hamba yang fakir

Unknown berkata...

berundur bukan bererti kalah, menangguh bukan bererti salah.

Masa yang ada mungkin berguna untuk memadam api fitnah sebelum ia menyusahkan jemaah. Itu sikap orang bijaksana dan penuh hikmah.