4 Okt 2009

Era Najib Altantuya : Azeez Pembohong

PAS mendakwa Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berbohong berhubung isu beliau dipukul oleh sembilan lelaki yang dipercayai penyokong PAS.

Malah Naib Presidennya, Salahuddin Ayub juga mendakwa Abdul Azeez sengaja mencetuskan provokasi dan mencari publisiti murahan.

"Beliau telah berbohong, beliau bercakap bohong dan beliaulah yang merupakan tokoh provokasi.

"Boleh saya katakan di samping pembohong, beliau juga merupakan pencari publisiti murahan... beliau sebenarnya tidak dipukul.

"Beliau sengaja lalu di kawasan yang telah diwartakan oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan polis sebagai kawasan untuk penyokong Pakatan Rakyat... saya percaya beliau lakukan dengan niat," katanya dalam sidang media di Markaz Induk PAS di sini hari ini.

Salahuddin berkata demikian bagi mengulas mengenai insiden melibatkan Abdul Azeez yang mendakwa dipukul oleh penyokong PAS.

Menurut Abdul Azeez, beliau telah diserang oleh kira-kira sembilan orang lelaki yang memakai pakaian yang mempunyai logo PAS.

Jelas Salahuddin, beliau sempat bertemu dengan Abdul Azeez semalam di tempat penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang di dewan Majlis Perbandaran POrt Dickson dan menurutnya, beliau tidak nampak sebarang kesan lebam hasil daripada tumbukan seperti yang didakwa.

"Semalam beliau datang berjumpa dengan saya, saya melihat dengan mata kepala saya sendiri, mendengar dengan telinga saya sendiri bahawa beliau mengatakan telah dipukul oleh sembilan orang pemuda PAS.

"Awak boleh bayangkan kalau sembilan orang yang pukul, tentu ada kesan-kesan tumbukan... lebam.

"Malah hari ini saya telah meneliti gambar berwarna di akhbar, saya gunakan mikroskop yang agak canggih, saya tak nampak pun sebarang kesan di leher, tak nampak pun kesan lebam," katanya.

Ditanya sama ada PAS akan membuat laporan polis untuk menyangkal dakwaan Abdul Azeez itu, Salahuddin berkata: "Saya tak nak layan pembohong ini, saya ada banyak kerja lain nak dibuat... biarlah beliau mencari publisiti dalam beberapa hari ini," katanya.

Tiada ulasan: