22 Ogo 2009

PRA PERMATANG PASIR : Blogger UMNO Tabur Fitnah Salleh Man Gelapkan RM600,000

Pas menolak laporan media dan blog yang mendakwa calon Pas, Salleh Man yang juga Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang pernah menggelapkan wang sejumlah RM600,000 dan menganggap ia satu perbuatan fitnah yang tidak berasas.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Dr Mujahid Yusof Rawa turut menafikan dakwaan bahawa beliau individu yang bertanggungjawab memberi kenyatan tersebut seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar.

Menurutnya, tuduhan tersebut berniat untuk memburukkan calon Pas dan menunjukkan kepada pengundi di Permatang Pasir bahawa calon Pas mempunyai sifat tidak baik.

“Ustaz Salleh tidak pernah menggelapkan wang RM600,000 dan saya tidak pernah memberi kenyatan ini. Ini boleh dikira sebagai satu fitnah, tetapi kalau pihak yang mempunyai bukti yang mengatakan calon kita berbuat demikian sila tampil beri kenyataan dan jangan hanya menggunakan media untuk menfitnah,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar berkata, Pas tidak pernah mempunyai wang sebanyak RM600,000 seperti yang didakwa dan tuduhan itu tidak sewajarnya digunakan sebagai modal politik kerana ia tidak berasas.

“Saya berharap pihak lawan kita tidak akan menggunakan isu ini sebagai modal berkempen kerana tuduhan ini tidak mempunyai bukti seperti isu calon BN, Rohaizat yang dibuktikan oleh Majlis Peguam,” katanya.

Laporan blog Bigdogdotcom 20 Ogos itu menyebut, semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh tahun lepas, seorang pemimpin Pas Pulau Pinang membangkitkan kononnya peruntukan jentera pilihan raya parti itu sebanyak RM600,000 digelapkan Salleh.

Laporan blog itu menyebut kononnya dakwaan itu dibuat sendiri oleh Timbalan Pesuruhjaya I Pas Pulau Pinang, Mujahid Yusof Rawa dan bekas Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Zulkifli Lazim.

Sementara itu, Mahfuz berkata, Pas akan membuat satu lagi pendedahan berhubung salah laku calon BN, Rohaizat Othman.

“Pendedahan ini saya akan buat esok (hari ini), ia melibatkan Rohaizat dengan penduduk Permatang Pasir,” katanya.



Tiada ulasan: