28 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Tindakan Arak Kepala Lembu Dikecam

Sekumpulan penduduk Seksyen 23 Shah Alam dengan beberapa NGO Melayu bertindak keterlaluan hari ini dengan mengarakkan kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor sebagai membantah idea membina kuil baru Hindu.

Kira-kira 50 orang yang membentuk jawatankuasa bertindak penduduk seksyen itu berkumpul di masjid negeri, beberapa ratus meter dari bangunan tersebut, selepas solat Jumaat tadi.

Mereka berarak sebagai membantah Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, exco kebajikan negeri Rodziah Ismail dan exco kesihatan Dr A Xavier Jayakumar.

Mereka juga mensasarkan kemarahan mereka kepada ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Walau bagaimanapun, tindakan mereka telah dikecam oleh Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

Katanya, lembu merupakan binatang suci kepada penganut Hindu, dan tindakan kumpulan tersebut tidak boleh diterima dan dianggap mencabar kebebasan beragama yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Ia menjadi hak rakyat pelbagai agama, termasuk penganut Hindu untuk membina kuil dan tempat-tempat ibadat.

"Saya amat sedih kerana kumpulan ini telah mengarak kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (Selangor)," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tiada sesiapa pun yang harus dibenarkan untuk mencabar atau mempersendakan sebarang agama di negara ini.

Beliau bimbang tindakan tersebut boleh mengundang tindak balas dari masyarakat Hindu.

"Bagaimanapun, saya menggesa penganut Hindu khususnya supaya bertenang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan," tambahnya.

Samy Vellu berkata, MIC mahu kerajaan dan pihak polis mengambil tindakan terhadap penganjur protes tersebut.

Katanya, mereka mesti dikenakan tindakan mengikut undang-undang kerana membahayakan keharmonian kaum di negara ini.


Tiada ulasan: