11 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : SUARAM Pulau Pinang Edar Risalah Mansuh ISA

<Suara Rakyat Malaysia SUARAM cawangan Pulau Pinang akan mengedarkan risalah mengenai mansuhkan ISA kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri di negeri itu dalam usaha mempercepatkan pemansuhan akta zalim berkenaan.

SUARAM berharap ADUN- ADUN ini akan mengetengahkan isu akta zalim ini pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang akan datang, selain dari turut turun padang mengedar risalah dan menyedarkan masyarakat sekeliling mereka bahana akta yang menjadi senjata politik UMNO Barisan Nasional sekian lama.

Penyelaras SUARAM, Lau Shu Shi menjelaskan gerakan hak asasi manusia ini mengisytiharkan bulan Ogos sebagai bulan menggesa pemerintah memandang serius suara rakyat yang mahukan akta penjajah ini dimansuhkan serta merta.

Menurut Shu Shi, pihaknya sudah pun mengadakan kempen mengedarkan risalah ini di negeri Perak dan Kuala Lumpur. Sasaran mereka kini di Pulau Mutiara.

1 Ogos lalu, genaplah ulangtahun ke 49 penubuhan ISA. Tarikh itu juga menyaksikan satu perhimpunan besar besaran diadakan bagi memberi amaran keras kepada jentera kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak bahawa rakyat mahukan akta yang sudah lagi tidak relevan dimansuhkan.

Perhimpunan yang pada mulanya aman, diakhiri dengan suasana kecoh apabila pihak polis bertindak menggunakan kekerasan bagi memaksa orang ramai bersurai.

Kerajaan jajahan Najib juga sekali lagi dimalukan apabila Kementerian Dalam Negeri KDN melalui laman webnya mengadakan undian atas talian berhubung isu ISA. Apa yang mengejutkan undian setakat jam 7 malam tadi menyaksikan sebanyak 90 peratus responden iaitu 12,691 orang dari 14,089 orang mahukan akta itu dimansuhkan.

Najib juga ibarat menerima tamparan hebat apabila seramai 11,931 orang dari 16,406 orang bersamaan 73 peratus responden mengatakan akta ini akta zalim walaupun pimpinan UMNO Barisan Nasional mati matian mengatakan akta ini akta yang relevan.

Keberanian rakyat Malaysia bersatu hati meneruskan perhimpuan menentang pelaksanaan ISA mula mendapat perhatian. Stesen tv antarabangsa Al- Jazeera menyiarkan acara gergasi itu secara langsung menerusi stesen tv mereka.

Persoalannya kini adakah pemerintah negara ini berani memansuhkan akta yang selama ini menjadi senjata politik mereka dan berdepan dengan rakyat jelata ? - TVA


Tiada ulasan: