11 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : KDN Melakukan Penipuan Pada Keputusan Undian Di Lamanwebnya

Desakan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semakin jauh merosot dalam undian di laman web berita Keselamatan Dalam Negeri (KDN) - tinggal lagi 56 peratus daripada 92 peratus sejak minggu lalu, lapor malaysiakini.

Jumlah respons bagi soalan keempat "Apa yang anda mahu dari ISA?" bagaimanapun meningkat mendadak kepada 23,106 daripada 522 respons dalam semakan awal Malaysiakini, Khamis lalu.

Sebanyak 481 respons atau 92 peratus mahu akta kontroversi itu dihapuskan minggu lalu, hampir 24 jam selepas undian itu dimuat naik di portal berita rasmi kementerian berkenaan.

Hari ini tinggal 56 peratus atau 13,002 respons mahu ia dimansuhkan, selebihnya ingin ia disemak seperti janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sementara tanggapan pengunjung gerbang berita rasmi KDN juga berubah, setakat semakan jam 3.10 petang ini - 50 peratus atau 12,210 daripada 24,418 respons menyifatkan akta itu "zalim".

Minggu lalu, 597 respons atau 88 peratus menganggapnya sedemikian.

Bagaimanapun sekumpulan pengguna internet mendakwa respons terbaru bagi dua soalan tersebut - termasuk yang pertama "pada pandangan anda, ISA adalah ..." - telah dimanipulasi oleh kementerian berkenaan.

Kenaikan mendadak respons itu berbeza dengan corak jawapan bagi tiga soalan lagi sejak ia dimulakan.

Dalam semakan akhbar harian China Press setakat 4 petang semalam, soalan pertama dilaporkan menerima 13,646 respons dan soalan keempat pula 13,969 respons.

Tiga soalan lain menerima respons antara 12,246 hingga 12,578.

Semakan Malaysiakini bagi ketiga-tiga soalan tersebut menunjukkan ia tidak naik mendadak, sebaliknya mengikut corak respons seperti Khamis lepas.

Menjawab isu tahap pengetahuan pengunjung berhubung akta tersebut, 94 peratus daripada 12,974 respons memilih "faham"

Kira-kira 94 peratus daripada 12,616 respons pula menjawab soalan keempat dengan menyatakan mereka mendapat maklumat tentang isu tersebut daripada bahan bacaan.

Bagi soalan terakhir, 57 peratus daripada 12,636 respons "mengetahui" Amerika Syarikat dan Britain mempunyai akta menentang keganasan masing-masing yang "dirujuk daripada pelaksanaan ISA di Malaysia".

Sementara 40 peratus lagi, atau 5,067 respons, menyifatkan soalan itu "tidak memberi apa-apa makna" kepada mereka.

Berdepan dengan kenaikan lebih 100 peratus, warga internet yang berbahas di laman perkongsian sosial Facebook kumpulan 1BlackMalaysia menyifatkan fenomena undian KDN itu sebagai "keengganan kerajaan menerima kebenaran tentang apa yang dituntut rakyat berhubung ISA".


Tiada ulasan: