24 Jul 2009

Nizar Zambry : Isu Lilin - Besarkan Perkara Kecil Dan Tutup Perkara Besar

Murysidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat enggan menyahut cabaran Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir supaya mengeluarkan fatwa berhubung tindakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyertai majlis menyalakan lilin di Ipoh Jumaat lalu.

Alasan ulama besar dalam Pas itu ialah kenyataan itu dikeluarkan oleh orang politik dan tidak ada kena mengena dengan fatwa Islam.

“Zambry ini orang politik bukan orang kaji Islam. Apa kena mengena dengan fatwa agama, fatwa demokrasi pun (beliau) tak pakai, itu pandangan saya. Dia orang politik, saya jawab cara politiklah,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Zambry yang meminta ulama dalam Pas mengeluarkan satu fatwa berhubung tindakan Mohammad Nizar menyertai majlis menyalakan lilin bagi memperingati kematian setiausaha politik kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock di Ipoh, Jumaat lepas.

Pemberita yang tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut mengulangi soalan berkenaan yang meminta Nik Abdul Aziz memberikan pandangannya mengikut hukum Islam tentang tindakan Mohammad Nizar tetapi Menteri Besar Kelantan itu menyatakan hanya itu jawapannya.

“Zambry yang bertanya... usahkan fatwa Islam, fatwa demokrasi pun (beliau) tak pakai. Siapa yang halau menteri besar dan rampas dewan?” katanya.

Wakil media sekali lagi membangkitkan soalan yang sama sambil cuba memberikan penerangan yang lebih lengkap, Nik Aziz hanya menjawab: “Biar dulu, itu jawapan saya.”

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Nik Zawawi Nik Salleh pula berkata, isu itu bukanlah satu yang besar dan ia tidak perlu diperbesarkan sambil mengulas tindakan itu sebenarnya bergantung pada niat.

“Sebenarnya ia bergantung pada niat. Dewan Ulama akan bermesyuarat dalam sehari dua ini. Bagi saya isu lilin bukanlah satu isu yang besar jika ia nak dikaitkan dengan akidah. Sebaliknya isu yang paling penting untuk ditegur ialah iau aurat di kalangan pemimpin wanita UMNO, pelaksanaan syariah, pembaziran dan banyak lagi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yaacob berkata, pihaknya tidak mahu terburu-buru mengeluarkan sebarang kenyataan dan membiarkan Dewan Ulama Pas untuk kemukakan sebarang pandangan. -SH


TGNA: Meragukan, Tapi Bukan Haram

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui perbuatan memegang lilin di majlis memperingati kematian orang bukan Islam adalah "sesuatu yang meragukan" tetapi berpendapat perbuatan itu tidak haram di sisi Islam.

Beliau mengulas tindakan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin yang memegang lilin dalam majlis memperingati kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada seorang anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Menteri Besar Kelantan itu juga menegaskan perbuatan itu tidak bercanggah dengan agama jika umat Islam dapat membezakan antara adat resam dan budaya dengan agama sesuatu kaum.

"Tapi saya, selalu (apabila) orang (beragama) Hindu jemput saya pergi ke majlis dia, Cina jemput pergi majlis dia, saya akan tanya ini agama ke atau adat resam.

"Saya kata kalau agama saya tak boleh pergi tapi kalau adat resam saya boleh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan 2009 di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, di sini, Khamis.

Sebelum itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa dalam laporan akhbar mempertahankan tindakan Mohd Nizar dengan menyatakan ia tidak menyalahi ajaran Islam manakala Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula mahukan ulama Pas mengeluarkan satu fatwa berhubung tindakan Mohd Nizar itu.

Nik Abdul Aziz berkata, lilin ini sudah menjadi budaya kepada orang Melayu di mana anak-anak turut menggunakan lilin sewaktu menyambut hari jadi dan ia sudah menjadi perkara biasa dalam masyarakat sekarang.

"Jadi lilin digunakan sebagai satu simbolik untuk masalah umur," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya pandangannya mengenai tindakan seorang model yang rela dirotan selepas didapati bersalah kerana minum arak oleh Mahkamah Majistret Kuantan kelmarin, Nik Aziz berkata tindakan itu wajar kerana menunjukkan pesalah terbabit sudah insaf.

Menurutnya, jika model itu boleh menerima hukuman sebat, maknanya dia sudah terlepas hukuman di akhirat dan ini bertepatan dengan langkah Pas mahu melaksanakan hukum hudud. -BERNAMA



Tiada ulasan: