1 Mei 2009

PENANTI : Antara Perang Saudara Dengan Perang Pura-pura

Ramai penyokong PR yang nampaknya agak kecewa dengan perkembangan terkini di antara PAS dan PKR menjelang pilihanraya kecil (PRK) DUN Penanti. Ramai pula yang membandingkannya dengan apa yang berlaku dalam BN yang sentiasa berebut kerusi itu. Kata mereka kini penyakit BN yang sering berebutan kerusi itu sudah menjangkiti PR pula.

Ramai yang menganggap apa yang berlaku di antara PAS dengan PKR di Penanti itu sebagai perang saudara kerana berebut harta. Harta itu ialah DUN Penanti yang dikatakan mudah dimenangi oleh PKR berdasarkan mood rakyat Pulau Pinang yang rata-ratanya masih tidak menyukai BN.

Pergeseran PAS dan PKR di Penanti bukanlah satu isu baru. Pada PRU ke-10 pada 1999, walaupun PKR menang DUN Penanti, tetapi ramai penyokong PAS dikatakan tidak turun mengundi kerana tidak senang calon PKR mewakili kawasan itu. Dalam PRU ke-11 pada 2004 pula sekali lagi ramai penyokong PAS dikatakan tidak mengundi PKR atas alasan yang sama yang menyebabkan PAS tewas kepada calon BN-UMNO.

Dan kini isu lama berbangkit lagi - masih ada penyokong PAS yang enggan menerima calon PKR bertanding di situ. Malangnya ia berlaku ketika konsep persepakatan dalam PR semakin diterima rakyat. Malangnya ia berlaku ketika PR baru berusia setahun jagung. Sepatutnya PR tidak menjadikan berebut kerusi sebagai isu kerana ia hanya akan menampakkan PR pun dua kali lima sahaja dengan BN yang sering dikatakan gila kuasa itu.

Namun ada pemerhati politik yang berkata apa yang berlaku di antara PAS dan PKR di Penanti itu cuma ribut dalam cawan yang hanya bergelora seketika sahaja. Bila tiba masanya nanti, semua penyokong PAS akan kembali berpadu tenaga menyokong PKR sebagaimana yang mereka lakukan dalam PRK Permatang Pauh dan PRK Bukit Selambau sebelum ini. Lagi pun, jika dalam PRK Permatang Pauh yang turut melibatkan DUN Penanti, PAS bekerja siang malam untuk membantu PKR, mengapa kali ini tidak?

Namun antara banyak teori mengenai pergeseran PAS dan PKR di Penanti itu, saya sangat tertarik kepada satu teori yang menyatakan bahawa pergeseran itu sengaja diada-adakan sebagai strategi untuk menunjukkan kepada BN bahawa PR sedang berpecah. BN yang sebelum ini nampak seperti tidak berminat untuk bertanding di Penanti pasti akan kembali memerhatikan DUN itu selepas yakin mereka ada sedikit peluang untuk menang atau sekurang-kurangnya dapat mengurangkan majoriti kemenangan PKR. Kata pemerhati politik itu, selepas sahaja BN masuk perangkap PAS-PKR dengan bertanding dalam PRK itu, penyokong PAS dan PKR akan kembali berpadu tenaga untuk menyembelih BN dalam kubu kuat mereka. Mereka akan melakukan seperti apa yang dilakukan dialam PRK Permatang Pauh tempoh hari - memalukan BN dengan meraih majoriti undi yang lebih lumayan!

Tapi sama ada pergeseran yang nampak berlaku di antara PAS dan PKR itu memang benar-benar berlaku atau hanya strategi perang pura-pura untuk memancing BN bertanding, hanya masa sahaja yang akan menentukannya. - pendikargunungkriang

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Jika benar ini merupakan strategi, patutkah ia diwar-warkan begini?

Tanpa Nama berkata...

alangkan lidah lg trgigit,ni kan pula suami isteri...mantap kan perjuangan PR..perebutan kerusi jgn d jadikan amalan PR,perjanjian telah temeterai semasa penubuhan PR..kebergantungan antara parti komponen amt penting..demi merealisasikan harapan baru utk rakyat.islam d bangun kan,d semai dalam memperoleh keadilan sejagat...sama2 kta doakan kemenangan calon PR di PRK dun penanti ni..buang yg keruh ambil yg jernih..demi memastikan PR akan terus relevan d mata rakyat..jangan nti kerana susu setitik,rosak susu sebelanga...ayuh mantap kan PR...