1 Mei 2009

Penanti : PAS Pusat tetapkan PKR Bertanding Mewakili PR

Hasrat Pemuda PAS Pulau Pinang supaya PAS meletak calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti ditolak oleh PAS Pusat.

"Ini kerana PAS tertakluk kepada perjanjian yang telah dipersetujui dalam Pakatan Rakyat (PR). Semua parti dalam PR telah bersetuju, jika berlaku pilihan raya kecil, calon yang bertanding mestilah daripada parti yang bertanding pada pilihan raya umum sebelum itu," kata Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali.

Kerusi Penanti kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohammad Fairus Khairuddin yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.

PKR telah mengumumkan calon mereka untuk bertanding di Penanti iaitu Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 56.

Selain PKR, calon bebas, Aminah Abdullah, 56, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, turut menyatakan hasrat untuk bertanding. Barisan Nasional (BN) belum menamakan calon mereka.

Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Hafiz Mohd Nordin berkata Pemuda PAS mahu PKR memberikan kerusi itu kepada PAS bertanding memandangkan prestasi Mohammad Fairus dari PKR sebelum ini tidak memuaskan.

Pilihan raya kecil Penanti ditetapkan pada 31 Mei ini sementara penamaan calon pada 23 Mei.


Tiada ulasan: