10 Apr 2009

PASCA BUKIT GANTANG : Kemenangan calon PR ‘basuh’ maruah Malaysia - Video

Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kemenangan Pas pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau sebagai mampu membasuh maruah Malaysia yang telah tercalar teruk di luar negara.

“Saya nak sebut sekali lagi, kemenangan Pas dan Pakatan Rakyat kali ini, rakyat yang mengundi Pakatan Rakyat dan Pas telah berjaya membasuh maruah Malaysia yang telah tercalar teruk di luar negara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Exco di sini, semalam.

Menteri Besar Kelantan itu juga berkata, kemenangan itu membuktikan bahawa Pas kini bukan sahaja diterima oleh orang Islam tetapi juga bukan Islam.

“Saya rasa kagum dengan hilangnya sifat fobia di kalangan bukan Islam yang digembar-gemburkan oleh pihak BN sebelum ini. Orang Cina dan India tidak berasa gerun dengan sebutan Islam. Satu kejayaan yang sangat-sangat saya hargai kepada pengundi bukan Islam.

“Kemenangan kami baik di Kedah mahupun di Perak bukan kerana undi projek. Saya sendiri tak pernah sebut fasal projek baik di Kelantan. Saya sendiri tidak pernah dengar calon kita sebut fasal projek. Kita sebut masalah keadilan, keselamatan dan keamanan,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kemenangan Pas pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang kelmarin disumbang oleh undi simpati kepada calon parti itu.

“Hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tetapi itu menunjukkan Pas dan Pakatan Rakyat telah berganjak ke depan. Mereka telah mual dengan projek, mual dengan kekerasan seperti ISA dan bermacam-macam-macam akta lagi. Mereka sudah mual,” katanya ketika ditanya sama ada pengundi memberikan undi kasihan kepada calon Pas, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang sebelum ini terpaksa melepaskan jawatan Menteri Besar Perak setelah kerajaan pakatan Pas, DAP dan PKR di negeri itu tumbang.

Dalam pilihan raya kecil itu baru-baru ini, Mohammad Nizar menewaskan calon Barisan Nasional, Ismail Saffian dengan kelebihan 2,789 undi.

-sinarharian


Tiada ulasan: