29 Mac 2010

Qua Vadis MCA?

Chua Soi Lek yang tercalit dengan skandal seks pada akhir tahun 2007, kini dinobatkan sebagai Presiden MCA yang baru, setelah menewaskan dua orang calon presiden yang lain, iaitu Ong Ka Ting dan Ong Tee Keat dengan majoriti 68 undi. Chua Soi Lek meraih 901 undi, sementara Ong Ka Ting memperolehi 833 undi, dan Ong Tee Keat mendapat 578 undi.

Dengan kata lain, Chua Soi Lek sekadar memperolehi 38.9% sokongan daripada 2,318 orang perwakilan yang hadir untuk mengundi pada hari ini, mencatat kadar kehadiran 97.52%.

Dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden pula, Kong Cho Ha yang berganding dengan Chua Soi Lek telah ditewaskan oleh Liow Tiong Lai, dengan majoriti 65 undi. Kong Cho Ha adalah Naib Presiden yang meraih undi tertinggi dalam pemilihan parti pada tahun 2008, namun kini memperolehi 1,106 undi; sementara Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan juga Naib Presiden sebelum ini telah memenangi 1,171 undi.


Naib Presiden

Dalam pertandingan Naib Presiden pula, Ng Yen Yen (1,158 undi), Donald Lim Siang Chai (1,469 undi), Gan Ping Sieu (1,202 undi), dan Chor Chee Heung (1,202) berjaya tampil sebagai pemenang.

Barisan ini memperlihatkan ketiga-tiga puak menempah satu tempat masing-masing, di mana Gan Ping Sieu adalah orang rapat Ong Tee Keat, Ng Yen Yen dari kem Chua Soi Lek dan Chor Chee Heung daripada puak Ong Ka Ting. Donald Lim merupakan calon yang paling tidak "kontroversial", kerana boleh diterima oleh hampir semua pihak.

Secara ringkasnya, tiada pihak yang memiliki kelebihan mutlak daripada pemilihan semula ini. Chua Soi Lek walaupun menang sebagai Presiden, tetapi hanya meraih sokongan yang tidak mencecah 40%, malah gandingannya Kong Cho Ha pula tewas kepada Liow Tiong Lai.

Mencerminkan sokongan masing-masing

Lebih-lebih lagi, pemilihan semula MCA ini sekadar mencerminkan nisbah sokongan yang dimiliki oleh ketiga-tiga puak, iaitu Chua Soi Lek, Ong Ka Ting dan Ong Tee Keat. Ong Tee Keat walaupun diramalkan akan kalah teruk dalam pemilihan ini, namun tetap meraih 578 undi, bersamaan kira-kira 1/4 sokongan dalam parti.

Seandainya dilihat kepada barisan AJK pusat, orang-orang kepercayaan Ong Tee Keat seperti Heng Seai Kie, Tan Cheng Liang dan Ti Lian Ker masih berjaya merampas beberapa kerusi dalam persaingan 86 orang untuk 25 kerusi. Puak Ong Ka Ting-Liow Tiong Lai juga menempah beberapa kerusi dalam AJK pusat, misalnya Hou Kok Chung (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi), Wee Jeck Seng (Timbalan Menteri Belia dan Sukan), Ong Ka Chuan dan sebagainya.

Rombakan kabinet

Lantaran daripada keputusan pemilihan semula hari ini, apa yang menjadi tumpuan seterusnya adalah rombakan kabinet yang kemungkinan akan dijalankan tidak lama lagi.

Sama ada Kong Cho Ha akan mengekalkan jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan Ong Tee Keat dengan Menteri Pengangkutannya, sudah menjadi tekaan yang bermain di otak orang ramai. Ong Tee Keat yang berkempen dengan slogan untuk meneruskan "pembaharuan parti", kini ditolak oleh perwakilan. Apakah Menteri yang bertekad untuk menyiasat skandal PKFZ ini bakal meneruskan "perjuangan"-nya di platform lain, juga menjadi fokus ramai.

Pembahagian kuasa dan sumber bakal menguji gandingan Chua Soi Lek dengan Liow Tiong Lai. Mereka terpaksa memilih antara kekalkan status quo mahupun membuat rombakan secara kecil-kecilan atau besar-besaran. Seandainya pembahagian ini gagal memuaskan semua pihak, maka kita boleh jangkakan pergelutan yang berlanjutan sehingga pemilihan pada tahun 2011.

Cabaran seterusnya...

Bagaimanapun, pimpinan baru perlu melalui cabaran pertamanya dalam tempoh yang amat singkat, iaitu PRK Hulu Selangor yang mempunyai kira-kira 1/4 pengundi kaum Cina. Sememangnya ini bukan tugas yang mudah buat siapa-siapa yang menyandang jawatan Presiden MCA. Persoalannya, jikalau Chua Soi Lek gagal mengembalikan sokongan pengundi Cina kepada BN dalam PRK ini, apakah musuhnya dalam parti akan menyerangnya?

Pimpinan MCA sudah jauh ketinggalan selepas "tsunami politik" berikutan pergelutan kuasa dalaman parti. Pemilihan semula ini tidak memenangkan sesiapa, sekadar mencerminkan nisbah sokongan masing-masing dalam MCA. Cabaran terbesar MCA bukannya sokongan dalam parti, tetapi sejauh manakah sokongan yang diraih di luar parti?

*Laporan dan analisa oleh pasukan MerdekaReview, dari ibu pejabat MCA.




Badrul Muhayat Diburu Polis

Polis memburu seorang pelakon dan model tahun 1990-an, Badrul Muhayat Ahmad Jailani bagi membantu siasatan berhubung dakwaan dia memukul isterinya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, pelakon berusia 41 tahun itu didakwa menghilangkan diri selepas kejadian itu yang berlaku di Kampung Cheras Baru di sini pada pukul 7 pagi 24 Mac lalu.

Menurut beliau, akibat kejadian itu mangsa yang berusia 28 tahun mendakwa dia mengalami lebam di beberapa bahagian badan.

"Isterinya mendakwa dia ditumbuk di muka, pipi serta dicakar dan dipukul dengan batang penyapu," kata beliau.

Kata Abdul Jalil lagi, pengadu yang pernah bekerja sebagai penari di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mendakwa dikurniakan dua orang anak bersama Badrul kemudian dibawa oleh jirannya ke Balai Polis Ampang untuk membuat laporan dan pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut beliau, ini merupakan kali keempat sejak tahun lalu polis menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa dia dianiaya oleh suaminya.

"Tiga laporan dahulu, dua membabitkan kes ugut dan satu kes mendatangkan kecederaan," katanya. -kosmo

Apa Dosa TGNA Dilucutkan Dari Jawatan Mursyidul Am PAS?

Nik Aziz Bukan Lagi Mursyidul Am PAS Sejak 3 Bulan Lalu

Tanpa disedari Datuk Nik Aziz Nik Mat sebenarnya bukan lagi Mursyidul Am PAS sejak tiga bulan lalu ekoran kesilapan teknikal dalam parti.

Malah seluruh anggota Majlis Syura Ulama seramai 15 turut terlucut jawatan mereka secara automatik selepas pindaan perlembagaan parti yang berkuat kuasa awal tahun ini.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, Nik Aziz boleh dipilih semula selepas Majlis Syura Ulama dilantik semula selepas mesyuarat hari ini.

"Terpulang kepada majlis yang baru sama ada mahu mengekalkan Nik Aziz sebagai Mursyidul Am and Datuk Dr Haron Din sebagai timbalan," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, jurucakap pejabat Setiausaha Agung parti, Mohd Khairol Marzuki memberitahu, Pendaftar Pertubuhan telah meluluskan pindaan perlembagaan itu Januari lalu.

Pindaan itu katanya, ialah menambah tempoh sesi anggota majlis syura kepada lima tahun berbanding tiga tahun sebelum itu.

"Ia juga sejarah bagi parti apabila wakil Dewan Muslimah dan Dewan Pemuda turut dilantik sebagai ahli dalam majlis syura yang merupakan pembuat keputusan tertinggi dalam parti.

“Sebelum ini, anggota majlis hanya di kalangan ulama dan ahli jawatankuasa pusat," jelasnya.

Selain itu, bilangan anggota majlis juga ditambah dari 15 kepada 17 orang.

Mohd. Khairol berkata, Majlis Syura terdiri daripada empat anggota jawatankuasa pusat, empat ulama dari jawatankuasa pusat, empat dari Dewan Pemuda dan empat ahli Dewan Muslimat.

Dewan Ulama sebelum ini memilih semula Nik Aziz dan Haron sebagai anggota Majlis Syura.

"12 ahli baru telah bermesyuarat Isnin lalu dan telah melantik lima lagi anggota baru," ujarnya.

Kesemua anggota majlis bermesyuarat hari ini untuk memilih Mursyidul Am, Timbalan Mursyidul Am dan setiausaha.

Sementara itu, Nik Aziz memberitahu, beliau tidak kisah jika tidak dipilih semula sebagai Murshyidul Am.

Kebanyakan anggota majlis adalah dari Kelantan. -MSTAR

Ulasan GB

Segalanya kerana Pindaan Perlembagaan. Entah resolusi yang mana dan muktamar yang ke berapa ada menyebut mengenai pindaan perlembagaan bab Majlis Syura.

Ada terlalu banyak "pindaan" dilakukan semenjak Mustafa Ali memegang jawatan Setiausaha Agung.

Anehnya TIADA SIAPA MENYEDARI Perlembagaan PAS telah begitu banyak dipinda, yang sepertimana GB katakan tidak diketahui resolusi yang mana digunakan bagi memindanya sehinggakan organ paling tinggi di dalam parti, iaitu Majlis Syura Ulamak juga telah mengalami pindaan yang begitu drastik selain dari hal-hal seperti Jawatankuasa Disiplin parti.

Satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan kerana tidak jelas kedudukan pindaan perlembagaan ini.

1) Resolusi yang ada kaitan dengan pindaan perlembagaan - tarikh resolusi dikeluarkan dan muktamar ke berapa?

2) Siapa mencadangkan siapa menyokong dan apa butirannya?

3) Mengapa sebelum ini (sebelum Mustafa Ali menjadi Setiausaha Agung), tiada sangat pindaan yang drastik tetapi sebaliknya berlaku selepasnya?

4) Ada kesilapan teknikal sehingga Perlembagaan PAS terlibat sama? Menatang apa kesilapan teknikal sedemikian rupa sehingga bab yang menyentuh institusi paling tinggi parti iaitu Perlembagaan serta badan paling tinggi iaitu Majlis Syura Ulamak tercemar dan terrombak lantarannya? Siapa yang perlu dipertanggungjawabkan tentang kesilapan teknikal ini?

5)Majlis Syura Ulamak yang pertama tahun ini dipengerusikan oleh Presiden PAS sedangkan berdasarkan Perlembagaan (sebelum dipinda), Mursyidul Am PASlah yang sepatutnya mempengerusi mesyuarat Majlis Syura Ulamak. Apakah selepas ini Presiden PAS adalah pengerusi Majlis Syura Ulamak atau Presiden PAS dinobatkan terus sebagai Mursyidul Am PAS untuk mmempengerusi Majlis Syura Ulamak?

6) Sudahkah pindaan perlembagaan ini telah dimaklumkan dan mendapat restu dua per tiga peserta muktamar seperti kehendak Perlembagaan PAS?

c) Fasal 77: Mengubah Perlembagaan PAS. 1) Adapun Perlembagaan PAS ini atau sebarang bahagian daripadanya bolehlah dipinda atau dibatalkan atau ditambah dengan ketetapan yang dipersetujui oleh dua pertiga suara yang hadir dalam Muktamar Tahunan PAS.

7) Sudahkan pindaan ini mendapat kelulusan dari Pendaftar Pertubuhan?

Fasal 77: 3) Sebarang pindaan, perubahan dan sebarang perkara yang berkaitan dengan perlembagaan ini tidaklah boleh dijalankan melainkan sesudah mendapat perakuan daripada Pejabat Pendaftar Pertubuhan.

8) Sudahkah Majlis Syura Ulamak sendiri khususnya Mursyidul Am PAS, TG Nik Aziz dimaklumkan mengenai pindaan yang menyayatkan hati ini?

9) Siapa meminda dan apa agenda sebenar pindaan-pindaan yang drastik ini?

JIKA GB TIDAK MENDAPAT JAWAPAN YANG BENAR DAN MEMUASKAN TERHADAP SOALAN-SOALAN DI ATAS, MAKA DENGAN INI GB MENYATAKAN IA ADALAH AGENDA PEMIMPIN TERTENTU DARI GOLONGAN TERTENTU DI DALAM PARTI YANG YANG MEMPUNYAI KEPENTINGAN TERTENTU SEHINGGA PERJUANGAN PAS BOLEH DINODAI SEDEMIKIAN RUPA TANPA SEBARANG SEKATAN DAN HALANGAN.

Berdasarkan sebuah hadits yang dituturkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Hudzaifah al-Yamaniy ra, bahwasanya beliau ra berkata;

كَانَ النَّاسُ يَسْأَلُونَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْخَيْرِ وَكُنْتُ أَسْأَلُهُ عَنْ الشَّرِّ مَخَافَةَ أَنْ يُدْرِكَنِي فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا كُنَّا فِي جَاهِلِيَّةٍ وَشَرٍّ فَجَاءَنَا اللَّهُ بِهَذَا الْخَيْرِ فَهَلْ بَعْدَ هَذَا الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ قُلْتُ وَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الشَّرِّ مِنْ خَيْرٍ قَالَ نَعَمْ وَفِيهِ دَخَنٌ قُلْتُ وَمَا دَخَنُهُ قَالَ قَوْمٌ يَهْدُونَ بِغَيْرِ هَدْيِي تَعْرِفُ مِنْهُمْ وَتُنْكِرُ قُلْتُ فَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ دُعَاةٌ إِلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ مَنْ أَجَابَهُمْ إِلَيْهَا قَذَفُوهُ فِيهَا قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا فَقَالَ هُمْ مِنْ جِلْدَتِنَا وَيَتَكَلَّمُونَ بِأَلْسِنَتِنَا قُلْتُ فَمَا تَأْمُرُنِي إِنْ أَدْرَكَنِي ذَلِكَ قَالَ تَلْزَمُ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَإِمَامَهُمْ قُلْتُ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُمْ جَمَاعَةٌ وَلَا إِمَامٌ قَالَ فَاعْتَزِلْ تِلْكَ الْفِرَقَ كُلَّهَا وَلَوْ أَنْ تَعَضَّ بِأَصْلِ شَجَرَةٍ حَتَّى يُدْرِكَكَ الْمَوْتُ وَأَنْتَ عَلَى ذَلِكَ

”Orang-orang bertanya kepada Rasulullah saw tentang kebaikan. Sedangkan aku bertanya kepada beliau saw mengenai keburukan, karena khawatir keburukan itu akan menimpaku. Aku bertanya, ”Ya Rasulullah, sesungguhnya, kami dahulu berada di masa jahiliyyah dan keburukan. Lalu, Allah mendatangkan kepada kami kebaikan ini. Lantas, apakah setelah kebaikan ini akan datang keburukan? Nabi saw menjawab, ”Ya”. Saya bertanya lagi,”Apakah setelah keburukan itu akan ada kebaikan? Nabi saw menjawab, ”Ya, dan di dalamnya terdapat ”dakhan” (kotoran). Aku bertanya, ”Apa kotorannya?” Beliau menjawab, ”Kaum yang memberi petunjuk bukan dengan petunjukku; yang mana kamu mengenal mereka, dan kamu akan mengingkari”. Aku bertanya lagi, ”Apakah setelah kebaikan itu akan datang keburukan lagi? Nabi saw menjawab, ”Ya, orang-orang yang mengajak ke pintu-pintu neraka. Siapa saja yang menerima ajakan mereka menuju pintu-pintu neraka, mereka akan melemparkannya ke dalam neraka”. Aku bertanya lagi, ”Ya Rasulullah, beritahukanlah sifat-sifat mereka kepada kami”. Nabi saw menjawab, ”Mereka memiliki kulit yang sama dengan kita, dan berbicara dengan bahasa-bahasa kita”. Aku bertanya lagi, ”Apa yang engkau perintahkan kepada kami, jika hal itu menimpaku? Nabi saw menjawab, ”Tetapilah jama’at al-Muslimiin dan imam mereka”. Aku bertanya, ”Lalu, bagaimana jika mereka tidak memiliki jama’ah dan imam”. Nabi saw bersabda, ”Jauhilah semua firqah tersebut, meskipun engkau harus menggigit akar kayu, hingga kematian menjemputmu, sedangkan engkau tetap dalam keadaan seperti itu”.[HR. Imam Bukhari dan Muslim]

Maka wajar sangat PAS dikembalikan kepada perjuangan asalnya mengikut roh perjuangan Islami yang dipegang berdasarkan Perlembagaan yang tidak sepatutnya diubah sesuka hati atau akan disisihkan oleh ahli-ahli sekalipun ahli-ahli terpaksa menggigit akar kayu sepertimana dinyatakan oleh hadith di atas. Ahli-ahli PAS tidak wala' membuta-tuli dan tidak sepatutnya bersekongkol dengan mereka yang berkepentingan yang mempunyai agenda tersembunyi sebab nantinya mereka kelak akan ditanya oleh Ilahi.

28 Mac 2010

Datuk Pun Kena Diserkupkan Bila Ke Mahkamah?

Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan perintah tahanan reman terhadap "Setiausaha Sulit" Sultan Kelantan dilanjutkan sehari lagi sehingga esok bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan terhadapnya.

Datuk Wan Hashim Wan Daud yang ditahan polis Khamis lalu ekoran kenyataan mengenai pemecatan Pemangku Raja diserkup dari diketahui wajahnya untuk diambil gambar oleh para wartawan.

Sementara itu, laporan akhbar menyatakan Majestret Nurhaslinda Che Seman membuat keputusan sambungan tahanan reman itu pagi tadi.

Polis Kelantan akan mengambil keterangan daripada pemberita-pemberita yang membuat liputan sidang media Wan Hashim, Khamis lalu.

Wan Hashim ditahan kira-kira sembilan jam selepas sidang media yang diadakan di Istana Mahkota mengumumkan pemecatan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra.

Wan Hashim tiba di mahkamah kira-kira 10.50 pagi dengan kawalan anggota polis.

Sementara itu peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Wan Hashim semasa ditemui di luar mahkamah memberitahu, pihaknya telah membangkitkan masalah berkenaan kesihatan Wan Hashim dan memohon agar beliau direman di hospital.

“Mereka (polis) pohon untuk tiga hari tapi mahkamah benarkan sehingga esok.

“Puan Majestret juga telah membuatkan satu perintah supaya Datuk (Wan Hashim) dibawa ke hospital selepas prosiding hari ini.

“Reman sehingga esok, pihak polis perlu membuat satu keputusan esok sama ada dituduh atau dibebaskan atas jaminan polis,” kata beliau ketika ditemui di pekarangan mahkamah hari ini.

Wan Hashim ditahan di rumahnya di Taman Sri Aman, Kubang Kerian dan disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menyamar.

Laporan minggu lalu menyebut Wan Hashim, bekas setiausaha kerajaan negeri, telah dilantik sebagai Setiausaha Sulit tetapi dinafikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri.

Bagaimanapun susulan daripada pengumuman itu, Setiausaha Majlis Perajaan Negeri Datuk Mohd Aiseri Alias berkata Tengku Muhammad Faris masih kekal sebagai Pemangku Raja kerana pelantikannya mengikut dua pertiga daripada 17 anggota Majlis Perajaan Negeri pada 29 Mei lalu.

Dalam pada itu seorang ahli keluarga Wan Hashim yang dihubungi untuk diminta komen mengenai perkembangan hari ini menerima keputusan tersebut dengan hati yang lapang.

“Tuhan hanya satu, saya hanya mampu pasrah.

“Tak perlu saya beri komen banyak dalam kes ini, tunggu sajalah apa keputusannya nanti,” katanya ringkas.

Polis menahan Wan Hashim ditahan dipercayai berhubung pengumuman pemecatan jawatan Tengku Muhammad Faris sebagai Pemangku Raja.

Desas-desus mengatakan tangkapan tersebut berikutan satu laporan polis dibuat Pengerusi Persatuan Pegawai Tadbir Kelantan, Shafien Ismail berhubung pengumuman penamatanjawatan Tengku Muhammad Faris.

Beliau ditahan di IPK Kelantan sejak pukul 8.40 malam Khamis lalu.



Jenson Button Juara Grand Prix Australia 2010

Pelumba pasukan McLeren-Mercedes, Jenson Button, menjuarai GP Australia 2010 yang berlangsung di litar Albert Park, Melbourne petang tadi. Sementara tempat kedua dimenangi oleh Robert Kubica dari pasukan Renault, diikuti Felipe Massa dari Ferrari dan kempat Fernando Alonso juga dari pasukan Ferrari.

Kemenangan juara dunia 2009 yang berasal dari England ini diraih setelah pasukan McLaren mengambil keputusan tepat mengganti tayar di lap ke-7. Awalnya, penggantian tayar kering ini tidak berjalan baik mengingat beberapa bahagian lintasan masih basah.

Button tetap mampu mengawal kelajuan keretanya hingga pada lap ke-26 dirinya mampu meninggalkan Sebastian Vettel (Red Bull-Renault) yang saat itu berada di hadapan tetapi telah tergelincir masuk ke kawasan pasir.

Kejayaan Button yang terakhir juara pada GP Turki 2009 hari ini tidak diikuti rakan sepasukannya Lewis Hamilton. Pelumba ini tatkala sedang mengejar Fernando Alonso terpaksa masuk ke pasir setelah Mark Webber (Red Bull-Renault) melanggar belakang keretanya pada dua lap terakhir saat mereka bertarung memperebutkan posisi kelima.

Namun Hamilton sendiri akhirnya dapat kembali ke lintasan dan menydahkan perlumbaan di tempat keenam dan Webber di tempat ke sembilan.

Juara dunia tujuh kali Michael Schumacher hanya mampu berada di tempat ke-10 setelah keretanya termasuk ke dalam pitstop setelah terlibat dengan perlanggaran dengan Alonso.

Pelumba kereta Lotus-Cosworth, Kovalainen hanya mampu di tempat ke 13 dari 14 pelumba yang berjaya menamatkan perlumbaan.

Seorang lagi pemandu kereta Lotus-Cosworth, Jarno Trulli terkeluar dari awal perlumbaan apabila keretanya gagal untuk bermula dari pit.

Perlumbaan seterusnya selepas ini ialah di Litar Sepang pada 4 April minggu depan.


Keputusan GP Australia, 28 Mac 2009

Pos Driver Team Time
1. Button McLaren-Mercedes 1h33:36.531
2. Kubica Renault + 12.034
3. Massa Ferrari + 14.488
4. Alonso Ferrari + 16.304
5. Rosberg Mercedes + 16.683
6. Hamilton McLaren-Mercedes + 29.898
7. Liuzzi Force India-Mercedes + 59.847
8. Barrichello Williams-Cosworth + 1:00.536
9. Webber Red Bull-Renault + 1:07.319
10. Schumacher Mercedes + 1:09.391
11. Alguersuari Toro Rosso-Ferrari + 1:11.301
12. De la Rosa Sauber-Ferrari + 1:14.084
13. Kovalainen Lotus-Cosworth + 2 laps
14. Chandhok HRT-Cosworth + 4 laps

World Championship standings, round 2:

Drivers: Constructors:
1. Alonso 37 1. Ferrari 70
2. Massa 33 2. McLaren-Mercedes 54
3. Button 31 3. Mercedes 29
4. Hamilton 23 4. Red Bull-Renault 18
5. Rosberg 20 5. Renault 18
6. Kubica 18 6. Force India-Mercedes 8
7. Vettel 12 7. Williams-Cosworth 5
8. Schumacher 9
9. Liuzzi 8
10. Webber 6
11. Barrichello 5




Chua Soi Lek Bakal Ganti Ong Tee Keat Sebagai Menteri Kabinet.

Kemenangan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sebagai Presiden MCA yang baru akan menyaksikan juga pertukaran menteri-menteri kabinet kerajaan Barisan Nasional terutama yang datang dari parti komponen MCA di dalam BN.

Chua Soi Lek sepastinya akan mengetuai senarai dengan mengenepikan Ong Tee Kiat yang selama ini dilihat begitu terpalit dengan pelbagai macam skandal dan tidak disenangi oleh ahli-ahli MCA khususnya.

Dr Chua memenangi jawatan presiden MCA manakala Datuk Seri Liow Tiong Lai pula menang jawatan timbalan presiden.

Empat jawatan naib presiden dimenangi oleh Datuk Ng Yen Yen, Gan Ping Sieu, Datuk Donald Lim dan Datuk Chor Chee Heung.

Chua mendapatkan 901 undi, menewaskan Tan Sri Ong Ka Ting yang mendapat 833 undi manakala Datuk Seri Ong Tee Kiat memperolehi 578 undi.

Bagi jawatan timbalan pula, Liow mendapat 1,171 undi, menewaskan Datuk Kong Cho Ha yang memperolehi 1,106 undi.

Bagi jawatan naib presiden, Dr Ng mendapat 1,528 undi, Donald Lim (1,469) manakala Chor dan Gan masing-masing mendapat 1,202 undi.

Yang paling menarik ialah mereka yang menang, merupakan campuran penyokong kepada Chua, Ka Ting dan Tee Keat.

Liow merupakan regu kepada Ka Ting, manakala bagi naib presiden pula, Dr Ng dikaitkan dengan Chua, Chor (Ka Ting), Gan (Tee Keat) manakala Donald Lim dilihat tidak memihak.

Keputusan itu mengesahkan petunjuk awal yang menunjukkan Dr Chua dari mendahului persaingan kerusi presiden MCA meskipun undi bagi jawatan nombor satu hanya akan dikira selepas pukul 5 petang.

Petunjuk awal menunjukkan Dr Chua berada di depan dengan 1,000 undi dan disusuli dengan penyandang jawatan Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting.

Pengiraan undi bermula pukul 2 petang selepas seramai 2,315 daripada 2,318 perwakilan yang mendaftar membuang undi.

Pemilihan ini diadakan selepas 21 anggota jawatankuasa pusat meletakkan jawatan sebagai tanda protes terhadap kepimpinan Tee Keat.

Tee Keat yang merupakan Menteri Pengangkutan dipilih pada 2008 selepas Ka Ting melepaskan lawatan ekoran kekalahan dalam pilihan raya umum Mac 2008.

25 pemenang jawatankuasa pusat ialah:

1. Tan Ken Ten
2. Koh Nai Kwong
3. Loh Seng Kok
4. Tan Cheng Liang
5. Gan Tian Loo
6. Chong Itt Chew
7. Hou Kok Chung
8. Lee Chee Leong
9. Wee Jeck Seng
10. Chuah Poh Khiang
11. Hoh Khai Mun
12. Heng Seai Kie
13. Kong Sing Chu
14. Teh Kim Poo
15. Wong Koon Mun
16. Tee Siew Kiong
17. Tan Ah Eng
18. Ti Lian Ker
19. Tan Chai Ho
20. Por Choo Chor
21. Lee Wei Kiat
22. Ong Ka Chuan
23. Liew Yuen Keong
24. Yoo Wei How
25. Toh Chin Yaw

Sejumlah 2,318 perwakilan MCA mula mengundi bagi 31 jawatan tertinggi parti, termasuk presiden, timbalan dan naib presiden di ibupejabat parti itu hari ini.

Dendam Kesumat Mahathir Terhadap Pak Lah Tak Berpenghujung

Dendam kesumat mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak berkesudahan.

Mahathir akan menggunakan apa saja platform yang boleh untuk digunakan bagi meluahkan dendamnya itu terhadap Pak Lah. Terbaru beliau menggunakan pentas Perkasa tanpa malu untuk menghentam Pak Lah semasa merasmikan Mesyuarat Agung sulung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam.

Walaupun mantan Perdana Menteri itu sudah bersara daripada jawatan selama setahun namun beliau masih menjadi sasaran lidah tajam Dr Mahathir yang terus mengkritik dasar-dasar pentadbiran Abdullah yang tidak selari dengan pemikiran beliau, lapor Suara Keadilan.

Pada mesyuarat Perkasa tersebut Dr Mahathir menggunakan kesempatan itu untuk memperli kepimpinan Abdullah yang dianggap sebagai kerajaan yang hanya tahu memperkenalkan koridor ekonomi dan bukan pembangunan ekonomi.

Abdullah bersara pada April 2009, setahun selepas Umno-Barisan Nasional mengalami kekalahan yang amat memalukan pada Pilihan Raya Umum 2008 dan digantikan oleh Datuk Seri Najib Razak.

"Situasi sekarang lebih baik daripada zaman pemerintahan Pak Lah. Semasa Pak Lah menjadi PM, saya langsung tidak boleh bercakap. Saya juga tidak dijemput oleh sesiapa. Dia seorang yang liberal dan demokratik tetapi orang seperti saya tidak dibenarkan bercakap. Tetapi Najib beri saya peluang bercakap maka dia seorang yang baik. Najib mempunyai idea untuk negara.

"Harapan saya untuk Datuk Seri Najib adalah lebih lagi berbanding penyandang, "Mr Corridor". Terlalu banyak koridor tetapi apa yang kamu boleh jumpa dari semua koridor tersebut? Media seharus membuat laporan terhadap semua koridor tersebut sepanjang 5 tahun itu dan apa yang sudah dibuat," kata bekas Perdana Menteri yang paling lama memegang jawatan itu.

Dalam majlis yang menyaksikan adegan mencium keris oleh Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, beliau juga menyalahkan penggantinya itu sebagai penyebab utama situasi ketegangan kaum sekarang dan kononnya Malaysia lebih bersatu semasa 23 tahun di bawah pentadbirannya.

Umno Gadai Keselamatan Negara Kepada Zionis

Akar umbi Umno dikatakan semakin resah dengan pendedahan terbaru yang menunjukkan hubungan semakin “selesa’ antara kerajaan pimpinan Najib Razak dan rejim Israel.

Selain menggunakan khidmat syarkat perunding APCO Worldwide yang dimiliki oleh orang Yahudi, kerajaan Umno-Barisan Nasional kini dilaporkan mengguna khidmat seorang bekas pegawai tentera Israel untuk merombak sistem komunikasi Polis Diraja Malaysia.

Pegawai berkenaan yang dipercayai menjalankan tugas itu menerusi syarikat Asiasoft (M) Sdn Bhd yang mendapat tender berkenaan yang bernilai RM42 juta.

Syarikat itu adalah milik penuh dari syarikat tunggalnya, Asiasoft Pte Ltd yang berpengkalan di Singapura.

Dakwaan terbaru ini pasti menambah kecurigaan ahli Umno dan rakyat yang selama ini mahukan Malaysia kekal menolak sebarang hubungan diplomatik dan perniagaan dengan Israel atau syarikat-syarikat Yahudi.

Dasar itu sebagai menzahirkan sokongan dunia Islam terhadap penduduk Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel sekian lama.

Pembabitan seorang pegawai tentera israel dalam merombak sistem komunikasi PDRM bukan sahaja menempelak dasar itu malah mendedahkan maklumat dan data sulit polis kepada pelbagai risiko.

Ancaman itu bertambah getir jika diambil kira syarikat yang mendapat tender itu berpangkalan di Singapura, negara jiran yang sudah lama mempunyai “minat” terhadap isu-isu keselamatan di Malaysia.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KEADILAN, Badrul Hisham Saharin berkata warga Israel yang ditugaskan menambah baik sistem komunikasi PDRM berkhidmat sebagai programmer di negara zionis itu.

Beliau bertanggungjawab membina sistem risikan berteknologi tinggi untuk pasukan pertahanan Israel pada sekitar 1970 hingga 1987, menurut Badrul.

Persoalan yang timbul ialah kenapa Najib semakin berjinak dengan syarikat-syarikat Yahudi, menerusi APCO, dan yang terbaru mengupah kepakaran Israel untuk PDRM.

Minggu lalu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan konsep 1Malaysia ditiru daripada konsep 1 Israel.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi pula mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahan Israel Ehud Barak pada tahun lalu.

Pada tahun sama, CIMB yang dikuasai adik Perdana Menteri, Nazir Razak, dilaporkan memberi kontrak kepada sebuah syarikat komputer yang berpengkalan di Israel.

Sebuah laman blog mendakwa, persekongkolan antara kerajaan Malaysia dan Israel bermula sejak zaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed.

Blog bernama milosuam.blogspot.com itu menyiarkan surat bertarikh 16 Ogos 1999 oleh Tun Mahathir kepada Barak yang ketika itu Perdana Menteri Israel.

Dalam surat berkenaan Mahathir dilaporkan mengucapkan tahniah kepada Barak atas kejayaan beliau memenangi pilihanraya Israel.

Mahathir juga dikatakan memohon pertolongan pemimpin Israel itu untuk melobi Malaysia bagi mendapatkan bantuan kewangan daripada sebuah tabung yang dikenali sebagai "Clinton Fund".

Menurut surat yang disiarkan oleh blog itu, Mahathir meminta bantuan berkenaan untuk memastikan Umno dapat mengekang pengaruh pelampau Islam, - jolokan yang lazim digunakan oleh Mahathir terhadap PAS.

Guan Eng Tunggu Zahrain Saman Untuk Dedah Tembelang

Tindakan Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim yang memfailkan saman terhadap Ketua Menteri Pulau, Lim Guan Eng dianggap usaha mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang dihadapi beliau.

Pembantu Khas kepada Lim Guan Eng, Ng Yap Hwa berkata Zahrain cuba mencari publisiti murahan dengan menghantar surat tuntutan kepada Guan Eng sedangkan ia bukan notis saman mahkamah, sebaliknya hanya surat notis oleh seorang peguam.

"Zahrain hanya cuba alihkan perhatian daripada sebab sebenarnya dia begitu marah kepada Ketua Menteri bukan kerana isu prinsip tetapi kerana Ketua Menteri enggan mengikut syor Zahrain yang menwakili IGP Sdn Bhd untuk meluluskan pengswastaan pengurusan Bukit Jambul Golf Club yang bernilai lebih RM40 juta kepada sebuah syarikat RM2,"kata Yap Hwa.

Menurut beliau Guan Eng hanya menunggu tindakan saman mahkamah diteruskan oleh Zahrain supaya segala pekung Ahli Parlimen Bayan Baru itu dapat didedahkan kepada umum.

"Kami mengesyaki Zahrain samada beliau benar-benar berani meneruskan tindakan mahkamah atau hanya bersikap main-main untuk dapat publisiti murah kerana ada dokumen hitam putih yang boleh sahkan bahawa Zahrain menyokong pemberian tender RM40 juta kepada sebuah syarikat RM2 yang tidak ada sebarang rekod kerana hanya baru ditubuhkan dua bulan sebelum tender dipanggil," jelasnya.

Yap Hwa berkata Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh dalam ucapannya di Parlimen pada 23 Mac lalu mempersoalkan tindakan Zahrain menggelar Guan Eng sebagai komunis kerana tidak mendapat sebarang bentuk imbuhan dari kerajaan negeri.

Ghafur dalam ucapannya di Parlimen dipetik sebagai berkata, “Bolehkah dalam dewan ini tunjuk satu orang antara kita ini komunis. Ini (tuduhan Zahrain) bukan bukti, ini salah dari segi peraturan, mana boleh duduk dalam Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri seorang komunis.

"Abdul Ghapur memarahi Zahrain sudah gemuk dan sudah kenyang kerana 'umpan' yang dibagi kepada Ahli Parlimen Bayan Baru ini besar, sebab dia lompat,” tegas Yap Hwa lagi. -SK

Musa Hitam Mahu Royalti Atau Wang Ehsan Diurus Kerajaan Negeri

Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam berkata, pembayaran wang royalti atau ihsan seharusnya diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diuruskan sebagaimana diperuntukkan mengikut undang-undang, bukannya dikendalikan oleh kerajaan pusat dengan mewujudkan jawatankuasa khas, katanya seperti mana dipetik dari Malaysia Insider.

Seolah-olah senada dengan pendirian bekas pengerusi dan pengasas Petronas Tengku Razaleigh Hamzah, Musa memberitahu, berdasarkan pengalamannya itu beliau lebih 'arif' dalam isu pertikaian wang royalti antara kerajaan negeri Kelantan dan pusat sekarang.

Dalam temu bual dengan Astro Awani, Musa berkata, pembayaran wang itu biar apapun istilahnya, mesti dibuat kepada kerajaan negeri kerana matlamatnya adalah untuk pembangunan rakyat.

“Sama ada wang ihsan atau royalti, itu tidak mustahak. Asalkan mereka menggunakannya untuk pembangunan rakyat.

“Kita harus wujudkan satu sistem di mana kita boleh memantau penggunaan wang itu, walaupun kuasanya diberikan kepada negeri berkenaan,” katanya.

Pandangan ini dibuat ketika soal wang royalti menjadi isu politik hangat buat masa sekarang dengan Tengku Razaleigh, bekas menteri kewangan dan Ketua Umno Gua Musang berulang kali menegaskan Kelantan berhak menerima royalti atau bayaran tunai tetapi bukannya wang ihsan yang ditentukan kerajaan pusat.

Perkara itu ditekankan beliau pada ceramah perdana di Kota Baru, akhir Januari lalu.

Tengku Razaleigh akan muncul pada majlis dialog yang diadakan di negeri jiran Terengganu, yang juga hanya pernah dibayar wang ihsan selepas ia jatuh ke tangan PAS pada 1999.

Beliau dijadual untuk menyentuh isu itu sekali lagi yang sebelum ini mencetuskan polemik dan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin Umno-BN.

Musa, yang pernah bergandingan dengan Tengku Razaleigh pada pemilihan Umno tahun 1987 melawan kepimpinan Presiden Umno ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad, menyedari pandangannya ini mungkin akan menimbulkan keresahan di kalangan pemimpin Umno.

“Jelas kepada saudara, bila dengar saya cakap ni, saya punya pendapat ‘not mainstream’.

“Ada orang kata boleh jadi lagi dekat dengan Tengku Razaleigh. Jangan salah faham pulak... Musa dah balik dengan Tengku Razaleigh, tak ada, kita dah tua, ‘don’t worrylah’,” katanya.

Dalam komennya itu Musa juga percaya bahawa Tengku Razaleigh tahu apa yang beliau pertahankan.

“Kalau betullah kata Tengku Razaleigh, saya fikir Tengku Razaleigh arif dalam hal ini, oleh sebab dia dulu dengan Petronas, dia dalam kerajaan,” katanya.

Sebelum ini Tengku Razaleigh mempertahankan hak Kelantan menuntut royalti minyak.

Kerajaan Kelantan pula pada tahun lalu menuntut royalti RM2 bilion hasil operasi cari gali minyak di perairannya daripada kerajaan pusat.

Namun kerajaan pusat mendakwa Kelantan tidak layak menerima royalti berkenaan kerana dua telaga minyak berkenaan terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairannya.

Sebaliknya kerajaan pusat melalui perbincangan dengan Petronas memutuskan untuk membayar RM20 juta dalam bentuk wang ihsan kepada Kelantan iaitu lima peratus hasil pengeluaran gas di Blok Medan Bumi Selatan.

Pembayaran itu akan dibuat sebelum akhir bulan ini.

Untuk tujuan itu kerajaan pusat menubuhkan Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin yang juga Timbalan Pengerusi Umno Kelantan.

Mesyuarat pertama jawatankuasa Khamis lalu memutuskan bahawa kumpulan pelajar miskin dan mereka yang ditimpa bencana akan turut dipertimbangkan untuk mendapatkan bantuan daripada dana wang itu. -SK

Bayi Baru Lahir Maut Digonggong Anjing

Mayat seorang bayi yang masih belum dikenal pasti jantinanya ditemui dalam keadaan tangan hampir terputus akibat digonggong seekor anjing dalam kejadian di Jalan Padang Tembak berdekatan Lapangan Terbang Subang, di sini, petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat daripada saksi, Ahmad Romzi, kira-kira jam 4 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Siasatan awal polis ke atas mayat itu mendapati bayi itu baru dilahirkan berikutan masih terdapat uri ditemui bersamanya. Setakat ini, kita masih belum dapat pastikan bangsa bayi tersebut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Arjunaidi berkata, buat masa ini masih belum dapat memastikan sama ada bayi itu mati ketika dilahirkan atau selepas dibuang selain ketika ditemui mayat terbabit sudah tidak lengkap anggota.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat dan siasatan dibuat menjurus mengikut Seksyen 318 Kanun keseksaan.

Sementara itu, Ahmad berkata, perasaan ingin tahu apa yang digonggong oleh seekor anjing membawa kepada penemuan mayat bayi malang itu.

“Apabila saya halau anjing itu, barulah tahu 'benda' yang digonggongnya adalah mayat seorang bayi dan terus menghubungi polis,” katanya.

Menurutnya, tangan kanan bayi itu juga ditinggalkan anjing tersebut dan ditemui beberapa meter dari tempat badannya dijumpai. -SH

27 Mac 2010

Tembelang Umno BN Didedahkan Kepada Rakyat Hulu Selangor

Rakyat Hulu Selangor malam semalam didedahkan dengan pelbagai penyelewengan yang selama ini dicuba diselindung pentadbiran kerajaan Umno Barisan Nasional.

Bertempat di Stadium Mini Kuala Kubu Bharu yang dihadiri hampir 10,000 orang, satu persatu tembelang Umno BN dibongkar pimpinan Pakatan Rakyat termasuk tokoh utama, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Pimpinan Pakatan Rakyat menyentuh pelbagai isu kepentingan negara, antaranya kehilangan enjin pesawat TUDM, penyelewengan kontrak kapal selam Scorpene, gejala rasuah dan sebagainya.

“Saya, kalau saudara tengok sudah 12 tahun yang dicerca. Sebulan dua ini, panas balik sebab Umno tidak mampu berdepan dengan rakyat. Saya diaib, ditelanjangkan, dipukul, dipenjara, dituduh berbagai-bagai.

"...Khianat negara, pecah belah, guna Agong, guna tentera, semua.. sebut satu kesalahan, Anwar Ibrahim!” cabar Anwar pada ceramahnya kepada pimpinan Umno BN.

Beliau turut memberi gambaran perkembangan politik di negara ini termasuk suasana sebenar yang berlaku dalam sidang Parlimen yang menjadikan beliau sebagai objek sasaran tohmahan.

“Titah di-Raja Yang di-Pertuan Agong, dibahaskan tetapi tidak jadi bahas titah di-Raja. Yang dibahaskan ialah pidato Anwar Ibrahim di Parlimen minggu ini.

"Hari-hari bangun tidur sahaja, orang Umno tidak ada lain, Anwar Ibrahim tidak bagus. Eh, saya kata, tajuk ini titah Agong ke apa? Punya elerginya dia,” Anwar menyindir.

Meskipun Anwar dituduh sebagai ejen Yahudi dan ejen Hindu, ironinya kerajaan UMNO-BN yang mengaku memperjuangkan Malaysia sebagai negara Islam sebaliknya menggalakkan perjuadian.

“Islam agama rasmi tapi lesen judi tambah, tak malukah kita? Di Parlimen, ahli-ahli parlimen yang Melayu, Islam, Keadilan, PAS bangkit. Kita menentang Najib tambah lesen judi, Umno diam.

"Yang sokong kita siapa? Cina, termasuk Cina DAP, Anthony Loke. DAP dan Pakatan Rakyat tidak bersetuju beri banyak lesen judi. Dunia sekarang sudah terbalik,” hujah Anwar lagi. -TVS

Ahli perniagaan maut ditetak di bilik hotel, wanita parah

Seorang ahli perniagaan ditemui mati dengan lima kesan tetakan pada kaki manakala teman wanitanya pula parah akibat diserang ketika tidur dalam sebuah bilik di unit berbulan madu sebuah hotel, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, Ramli Osman, 40, dari Shah Alam, Selangor mati di tempat kejadian akibat kehilangan banyak darah, manakala teman wanitanya berusia 26 tahun masih dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata kejadian disedari kira-kira jam 6 pagi selepas wanita terbabit menghubungi pihak hotel yang kemudian menghantar pengawal keselamatan ke bilik berkenaan.

"Wanita dari Batu Caves, Selangor itu yang cedera pada tangan, paha dan kaki kanan akibat ditetak sempat membuka pintu bagi membolehkan pengawal keselamatan masuk ke bilik berkenaan sebelum rebah tidak sedarkan diri.

"Sepasukan polis yang bergegas ke tempat kejadian menemui ahli perniagaan terbabit yang berseluar pendek dalam keadaan berlumuran darah di atas katil dan sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, pemeriksaan mendapati mangsa ditetak lima kali menggunakan senjata tajam dipercayai parang pada kaki kanannya, namun polis tidak menemui senjata digunakan dalam kejadian itu.

Beliau berkata, polis juga tidak menemui kesan pecah masuk pada bilik berkenaan dan tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan suspek dikenali mangsa.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hotel berkenaan, selain mengambil keterangan beberapa warga Singapura di bilik bersebelahan yang mendakwa mendengar jeritan kira-kira jam 4 pagi.

Osman berkata, polis menolak kemungkinan kejadian itu bermotifkan samun kerana semua barangan berharga milik kedua-dua mangsa tidak dilarikan.

Difahamkan, pasangan terbabit mendaftar masuk di hotel berkenaan petang semalam.



10 Ribu Banjiri Stadium Kuala Kubu Baru

Hampir 10,000 rakyat pelbagai kaum memenuhi Stadium Mini Kuala Kubu Baru malam semalam bagi mendengar penerangan mengenai kempen Selamatkan Malaysia yang disampaikan pimpinan Pakatan Rakyat termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kubu Kubu Baru terletak dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor yang dimenangi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad yang meninggal dunia akibat barah otak, kelmarin.

Kempen itu sebenarnya diatur sebelum pemergian Dr Zainal Abidin yang uzur selepas menang pilihan raya umum ke-12 dan kebetulan berlangsung ketika di ambang pilihan raya kecil.

Selain ucapan takziah kepada Allahyarham, pimpinan Pakatan Rakyat menyentuh isu kepentingan negara, antaranya isu kehilangan enjin pesawat pejuang TUDM, penyelewengan kontrak kapal selam Scorpene, gejala rasuah dan sebagainya.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali; Naib Presiden PKR, Azmin Ali; Pengarah Strategik PKR, Tian Chua antara yang berucap dalam majlis itu

Selain mereka, Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Hatta Ramli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lau Weng San dari DAP turut menyampaikan ceramah.

Malah, dua aktivis utama Hindraf yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) iaitu T Vasanthakumar dan V Ganabatirau juga hadir dalam ceramah tersebut. -TVS



BN Terpaksa akur, Berdepan Pilihanraya kecil

Barisan Nasional terpaksa juga akur dan perlu berdepan dengan pilihanraya kecil walau telah berulang kali mengelakkan dari pilihanraya kecil sebelum ini.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Badrul Hisham Shaharin, BN hanya gah di media arus perdana, buktinya banyak pilihanraya kecil yang Bn harus hadapi tetapi dielakkan sebaik mungkin.

"Contohnya Pilihanraya di Perak, Pilihanraya Kecil Kota Seputih, Kedah dan terbaru Pilihanraya Titi Tinggi di Perlis.

"Namun kali ini tidak dapat dielakkan ekoran Ahli Parlimen PKR Hulu Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia selepas mengalami barah otak sejak sekian lama," kata Badrul dalam blognya.

Menurut Badrul, berdasarkan logik akal permainan sentimen Ketuanan Melayu sudah hampir pasti kerusi Hulu Selangor ini akan ditandingi oleh Umno.

"Itupun jika Umno tidak hipokrit dengan sentimen ketuanan Melayunya. Ini kerana mana mungkin atas nama ketuanan Melayu Umno kerusi tersebut yang majoriti pecahan pengundinya Melayu diserahkan oleh 'geng ketuanan Melayu' kepada kaum lain," jelas Badrul dalam blognya.

Untuk rekod, pecahan peratusan pengundi Hulu Selangor ialah 53.9 peratus Melayu, 26.7 peratus Cina, 19 peratus India dan 0.4 peratus lain-lain kaum.

"kalau ikut pecahan kaum jika tidak meletakkan Umno maka Mca yang paling layak bertanding.

"Meletakan calon bagi BN, amat rumit kerana ini akan membuktikan 'belang hipokrit' sebenar Umno BN. Nak jaga undi India di seluruh negara maka kena letak calon India tetapi berdepan dengan kekalahan dan maka terbukti juga perjuangan ketuanan Melayu hanya retorik kerana menghantar calon bukan Melayu di kerusi majoriti Melayu pengundinya," kata Badrul lagi.

Badrul berkata, begitulah konflik bakal berlaku kerana mereka bermain dalam trek perkauman sempit.

"Namun bagi Pakatan Rakyat tidak susah meletakkan calon ini kerana kerusi itu bukan milik kuota mana - mana kaum tetapi calon bakal dipilih berdasarkan 'kopitensi' individu memberikan khidmat kepada rakyat dan faktor kemenangan yang wujud," jelas beliau.

Terdahulu, Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad menghembuskan nafasnya yang terakhir semalam di rumahnya dekat Jalan Cheras, Kajang.

Beliau yang juga merupakan bekas Timbalan Menteri Besar Selangor di zaman BN meninggal ketika berumur 71 tahun dan meninggalkan seorang balu iaitu Datin Zaharah Mohd Zin serta empat orang anak.

Zainal Abidin menang dalam pilihan raya lalu atas tiket PKR di kerusi Parlimen Hulu Selangor selepas mengalahkan calon BN dari dari MIC, P Palanivel dengan hanya 198 undi.

Dengan kematian ini bermakna pilihan raya kecil ke 10 akan diadakan dalam masa 60 hari. -erapakatan