21 Feb 2011

Kes Bunuh Sosilawati: Sarawanan Dan Suresh Dipenjara 20 Tahun

Dua pekerja ladang yang didakwa melupuskan bahan bukti pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain kini bakal meringkuk di penjara selama 20 tahun selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, meminda hukuman asal mereka iaitu 7 tahun.

Gambar: U Suresh dan K Saravanan dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas Mahkamah menjatuhkan hukuman 20 tahun terhadap mereka hari ini. - FOTO Roslin Mat Tahir.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki membuat keputusan itu selepas berpendapat tempoh 7 tahun adalah tidak berpatutan dengan kesalahan serius yang dilakukan oleh K.Sarawanan dan U.Suresh.

Pada 15 Oktober tahun lalu, Sarawanan, 20, dan Suresh, 27, mengaku bersalah atas tuduhan melupuskan bahan bukti pembunuhan Sosilawati, 47, dan tiga individu yang didakwa hilang bersamanya.

Mereka ialah pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Sarawanan didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara membakar mayat mangsa manakala Suresh didakwa membuang abu mayat ke dalam Sungai Panchau, dekat sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah ladang di Lot Nombor 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting. -mstar

Laporan Ahli Kimia Diragui - Tidak Ikut Piawaian Antarabangsa

Liwat II: Ahli kimia akui tidak patuhi piawaian

Ahli kimia dan pakar DNA Dr Seah Lay Hong (gambar) hari ini mengakui beliau tidak mengikuti piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh International Society of Forensic Genetics ketika menyediakan laporan berhubung ujian DNA pada perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mengakui meskipun menganggotai pertubuhan itu tetapi tidak mematuhi apa yang dinyatakan pada jurnal berkenaan.

"Saya tidak mematuhi peraturan antarabangsa tetapi sejak itu, ia mungkin telah berubah,” katanya.

Dr Seah juga tidak bersetuju bahawa beliau berat sebelah dalam menyediakan laporan dan berkata ia disediakan berdasarkan maklumat yang dibekalkan kepadanya.

“Berdasarkan piawaian antarabangsa seperti yang ditetapkan dalam jurnal ini, awak tidak mengikuti ataupun mematuhinya,” kata peguambela Ram Karpal Singh.

“Saya tak setuju,” balas Dr Seah.

Hakim, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah kemudian menyoal doktor itu mengapa beliau gagal mematuhi arahan tersebut tetapi Seah gagal menjawab soalan berkenaan.

Ram juga berhujah satu 'allele' yang dilaporkan pada B9, di kawasan rektal bawah.

“Ini bukan milik Saiful atau 'Lelaki Y'. Bacaan allele 28 tidak dilaporkan walaupun ia adalah di puncaknya."

Apabila Ram terus mengasak, ahli kimia itu enggan melayan serta tidak memberikan jawapan.

Menurut Ram apa yang dicatatkan oleh laporan kimia adalah berlainan dengan apa yang diperlihat dalam geraf.

"Ia seolah-olah separuh DNA pasukan bolasepak dijumpai tetapi awak memilih untuk tidak melaporkannya kerana ia dikesan di seluar dalam, seluar, kawasan B5 peri-anal dan sekarang B9,” kata Ram.

Dr Seah juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak tahu siapa 'Lelaki Y' - DNA yang dijumpai di peri anal Saiful dan sekitar kawasan duburnya.

"Tidak ada spesimen atau rujukan sampel diberikan,” katanya.

Ram berkata lelaki misteri yang tidak dikenali itu mungkin sesiapa juga termasuk pegawai penyiasat, Jude Blacious Pereira.

Minggu lalu, pelbagai persoalan teknikal berhubung bagaimana ujian DNA dijalan dan ditentukan. Lebih banyak perkara seumpama itu dijangkakan hari ini apabila seorang lagi ahli kimia akan memberi keterangan. -mk

Ulasan GB

Bagaimana dia boleh diiktiraf sebagai pakar jika beliau tidak mematuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh International Society of Forensic Genetics yang beliau sendiri menganggotainya?

"Penipuan" tersebut hanya disedari apabila peguambela Ram Karpal Singh mendedahkannya di mahkamah hari ini menyoal beliau dan mendedahkan bahawa Dr.Seah tidak mengikuti piawaian antarabangsa seperti yang ditetapkan dalam jurnal International Society of Forensic Genetics .

Ahli Kimia tersebut cuba memperbodohkan orang lain dengan menyangka orang lain tidak akan tahu penganalisaan DNA yang dilakukan.

Aduan perlu dilakukan kepada pertubuhan antarabangsa tersebut supaya mereka boleh memecat Dr Seah dari keanggotaannya.

Tiada Bukti Beng Hock Melompat Keluar

Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock dimaklumkan bahawa tiada bukti yang ditemui menunjukkan pembantu politik DAP itu melompat dari sebuah tingkap di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut penyiasat forensik, Mazli Jusoh Che Kob (gambar) beliau tidak menjumpai sebarang tanda-tanda di sekitar bingkai tingkap yang menunjukkan seseorang cuba keluar dari tingkap berkenaan.

Pejabat SPRM itu terletak di tingkat 14, Plaza Masalam di Shah Alam manakala mayat Teoh dijumpai pada aras 5 di koridor berkenaan pada 16 Jun 2009 selepas disiasat semalaman sebagai saksi.

Mazli yang disoal oleh wakil Majlis Peguam, Chris Leong, juga bersetuju jika seseorang ingin keluar ikut tingkap, mereka akan memegang bingkai tingkap ataupun duduk di ambangnya - yang kemungkinan besar akan meninggalkan tanda-tanda.

Ulasan GB

Polis perlu menyiasat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Nazri Andul Aziz dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull kerana mereka berdua diantara yang paling tegar menyatakan Teoh Beng Hock membunuh diri dengan melompat keluar dari sebuah tingkap di bangunan Masalam.


Misteri: 100 Paus Ditemui Mati Di Pantai New Zealand

Wellington — Lebih dari 100 ikan paus pilot mati kerana terdampar secara pukal di satu pantai terpencil di New Zealand, kata beberapa pejabat pemuliharaan alam hari ini.

Gambar: LEBIH 100 ikan paus ditemui mati terdampar di satu kawasan pantai terpencil di Pulau Stewart, di perairan Kepulauan Selatan, New Zealand. - AFP

Beberapa pendaki pada hari semalam juga menemukan 107 ikan paus yang terdampar di pantai Pulau Stewart, di kawasan pantai di sebelah barat daya Pulau Selatan.

Beberapa ikan paus dilaporkan telah mati, dan petugas DOC terpaksa menyuntik mati 48 ikan paus yang lainnya sebab tiada harapan untuk dapat menghantar mereka semula ke laut lagi.

"Kami segera menyadari bahawa diperlukan setidak-tidaknya 10 sampai 12 jam sebelum dapat menghantar mereka semula ke laut, dan mengingatkan cuaca panas, kering, lebih banyak ikan paus lagi akan mati," kata petugas.

Jurucakap DOC mengatakan, taufan juga menerjang pantai dekat Mason Bay, tempat ikan paus tersebut terdampar, sehingga berbahaya jika orang berusaha mengembalikan ikan paus itu ke laut.

"Kami khawatir akan membahayakan keselamatan staf dan relawan," katanya.

Ikan paus pilot dengan panjang tubuh sampai enam meter adalah makhluk mamalia laut yang sering terlihat di perairan New Zealand.

Peristiwa ikan paus terdampar secara banyak biasa terjadi di pantai yang menghampar di negeri tersebut. Awal Februari lalu, 14 ikan paus mati setelah terdampar di pantai di dekat kota wisata Nelson di Pulau Selatan. Sebelumnya, 24 ikan paus mati bulan Januari di dekat Cape Reinga di bahagian utara jauh negeri itu.

Apa penyebabnya?

Para ilmuwan tak yakin penyebab kematian ikan paus pilot itu karena membiarkan diri mereka terdampar di pantai, atau bunuh diri secara banyak. Mereka berspekulasi, itu mungkin terjadi ketika suara bergemuruh di air dangkal.

Spekualasi lain, ada rombongan ikan paus pilot yang sakit bergerak menuju pantai dan yang lain mengikuti hingga terdampar. Namun, penyebab pastinya masih misteri hingga kini.

Apa Sebenarnya Yang Terjadi Kepada Masturah?

Masturah hanya sedar ketika berada di masjid

KUALA LUMPUR, 21 Feb: Cara kehilangan calon Umum Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Malaya (UM), Masturah Abu Bakar yang ditemui malam tadi masih menjadi misteri apabila beliau tidak dapat mengingati apa yang berlaku sebelum beliau hilang.

Masturah, 22, sebaliknya hanya berada dalam keadaan sedar ketika berada di sebuah masjid di Bangi malam tadi.

Masturah terus meminjam telefon bimbit seorang jemaah masjid dan menghubungi ibunya.

Setelah mendapat penggilan berkenaan, ibu dan bapanya terus bergegas ke masjid berkenaan untuk menjemput Masturah.

Menurut wakil calon, Rohayu Rosli yang turut menziarahi Masturah di rumahnya setelah dibawa pulang, Masturah kelihatan lemah dan tidak mampu bercakap banyak.

Beliau juga tidak dapat mengingati bagaimana beliau boleh berada di masjid tersebut dan apa yang berlaku selepas beliau membeli kredit tambahan telefon bimbitnya di sebuah kedai di Pangsapuri Pantai Permai, tempat beliau hilang.

"Keadaan dia memang lemah, nampak letih. Kami sampai rumah dia, tengok mak dia tengah suapkan makan.

"Masturah dapat mengingati kami dan saya tanya dia ingat tak apa yang berlaku. Dia kata tak ingat. Yang dia ingat dia beli top up, lepas tu bila terjaga dia dah ada di masjid," ceritanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Menurut Rohayu, ibu bapa Masturah berada di pangsapuri Pantai Permai untuk menemui seorang uztaz, bagi meminta pertolongannya mencari Masturah sewaktu menerima panggilan Masturah.

Sebelum itu, ibu bapa Masturah bersama-sama Pro-M mengadakan solat hajat di dataran hadapan Dewan Tunku Canselor.

Rohayu berkata, keadaan Masturah sewaktu ditemui sama seperti sebelum beliau hilang iaitu berbaju kurung batik, tudung merah jambu dan kot labuh.

Masturah hadir ke UM tengah hari ini

Sementara itu, menurut Rohayu, Masturah akan pergi ke kampus UM bersama-sama ibu bapanya untuk bersama-sama menyaksikan proses pembungan undi hari ini.

"Tengah hari ini Masturah akan datang ke kampus tapi bersama ibu bapanya sebab mak dia memang sangat risau keselamatan dia sekarang ni, takut apa-apa berlaku lagi," katanya.

Tambahan pula ujarnya, hari ini merupakan hari kemuncak kepada pilihan raya kampus. -harakahdaily

Bob Lokman: Kenapa Aku Pilih PAS

Fisabilillah: Bob Lokman

Setelah aku melalui segala jalan syahwat, Allah memberikan aku gambaran akhirat. Maka aku mula berjalan mencari kebenaran dan semalam 16 Rabi'ul Awal, aku melangkah masuk kedalam gerbang hijau yang bertonggakkan Ulama yang sangat ditakuti oleh pencinta dunia.

Mengalir airmata bila borang ahli disambut oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan. Biar pun aku bukan sesiapa dikalangan orang Pas, tapi aku dapat merasakan kehangatan persaudaraan yang dihulurkan oleh mereka.

Aku menjadi insaf dikalangan anak- anak muda Pas yang rugged tapi ikhlas dalam perjuangan dan aku merasa amat malu diperhatikan oleh mereka bilamana aku merasa seperti seluruh hidup aku sebelum ini diselubungi syahwat keduniaan hingga aku merasa aku teramat tua dikalangan mereka.

Terlintas juga dibenak ku, mungkin kerana anak - anak muda inilah orang bijak pandai seperti Mahathir menolak Pas.

Biarlah tua, biarlah bertongkat, tapi sekarang aku tahu Allah maha pengampun dan penyanyang.

Maka oleh kerana itu aku akan patuh kepada kehendak Allah dalam ayat 104 Surah Aali-Imran. Pas akan aku jadikan wadah perjuangan untuk mempopularkan Allah kepada mereka yang belum kenal akan kekuasaanNYA.

Aku jadi insaf betapa aku yang lahir dalam keluarga Islam keturunan Ulama', terabai dengan kefahaman Islam yang pernah diterapkan kedalam jiwaku. Apatah lagi mereka yang tidak pernah tahu mengenai Islam, bagaimana mereka akan merasa takut pada Allah. Untuk itu sekali ini aku akan terus bercerita kepada sesiapa sahaja sesuatu yg membuatkan mereka bertaqwa kepada Allah.

Lagikan setiap ibu bapa sayangkan anak - anak yang dilahirkan, inikan pula Allah yang menciptakan kita dan segalanya. Biar pun Iblis dan yahudi memang dilaknat oleh Allah, namun satu masa dahulu mereka adalah hamba Allah yang baik. Selepas itu dengan takdir Allah mereka dijadikan sebagai contoh buruk kepada sesiapa yang tidak bertaqwa kepada Allah.

Ini Kuasa Allah. Kalau tiada keburukan kita tidak pandai menilai kebaikan sebagai mana kalau tiada ketaqwaan maka tiadalah kita mengerti bahawa Allah itu maha diatas segalanya.

Hari ini bila jiwa berada didalam Pas, ada satu semangat baru yang membuatkan aku berfikir mengapa Allah menjadikan aku. Pagi tadi bila ada kawan yang bertanya, mengapa aku menganut Pas, aku tahu bahawa aku sudah diterima untuk bekerja oleh Allah. Inilah masanya untuk berubah dan mengubah sebahagian besar kenalan, kepada jalan baru bagi mereka yang fasiq.

Belum ramai yang menerima Islam sebenar. Kalau tidak sudah tentu Malaysia diperintah oleh Ulama'. Masalahnya siapa yang Islam dalam orang Melayu? Untuk mereka yang mencari jawapan bacalah Sirah Rasulullah berulang kali, maka kita akan nampak siapa Abu Bakar, siapa Abu Jahal dan siapa Abdullah Ubai dalam bangsa Melayu.

Kerana itulah aku memohon untuk masuk Pas. Lepas ni kita akan baca ada yang marah dengan apa yang aku kata. Itu biasa, sebagaimana ada orang yang marahkan harimau membunuh lembu. Ini kerana kita tidak mengertisunnatullah. Kalau kita susah di dunia, kita lupa bahawa itu kehendak Allah, apatah lagi bila kita mewah.


Sudah berkali-kali Pas kalah dalam pilihanraya. Memang susah nak menang kerana ini bukan perang Badar dimana malaikat juga turun berperang dengan perintah Allah. Janganlah mengharapkan malaikat turun beratur dipusat-pusat mengundi yang diadakan oleh suruhan jaya pilihan raya yang tidak mengikut suruhan Allah.

Ini demokrasi orang putih yang memberikan peluang kemenangan kepada orang yang mempunyai syahwat duniawi. Kerana itu perlunya kita memperkenalkan Islam adalah sistem terbaik untuk mentadbir dunia kepada manusia Malaysia.

Ini adalah kerana ramai manusia lupa bahawa Allah yang mencipta dunia dan hanya hukum Allah sahaja yang sesuai dilaksanakan. Mereka yang menolak selalunya mereka yang tidak tahu apa hukum Allah.

Selalunya mereka ditakutkan oleh yahudi yang memang mengetahui apa isi Al Quran dan mereka telah tahu lebih awal melalui Taurat bahawa Islam itu sempurna dan mereka tidak mahu kita menjadi ummat Muhammad. Maka kita akan luput dari mendapatkan Syufaat Rasul dipadang Mahsyar nanti.

Dan kali ini aku bersedia untuk berjuang dengan Pas, dan aku bersedia untuk kalah setelah menjalankan segala syarat perjuangan.

Dipetik daripada blog Bob Lokman


Kenapa Bob Lokman sertai PAS

KUALA LUMPUR, 21 Feb: Pada 19 Februari lalu, pelakon dan penulis lirik terkenal Mohd Hakim Lokman atau lebih dikenali sebagai Bob Lokman mengejutkan banyak pihak apabila menyerahkan borang menjadi ahli PAS.

Beliau menyerahkan borang itu kepada Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Razak yang juga Menteri Besar Kedah pada majlis Himpunan 30 ribu Pemuda PAS, di Kompleks PAS Kota Sarang Semut, Alor Setar, kelmarin.

Bob, penulis lirik lagu terkenal Isabela nyanyian Amy Search bukanlah artis pertama yang menyertai PAS.

Sebelum ini terdapat juga artis lain seperti Akill Hayy, Ito daripada kumpulan Blues Gang dan Ringgo dari kumpulan Arrow telah menyertai PAS lebih awal.

Harakahdaily sempat bertemu beliau bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tindakan beliau itu.

Ikuti temubual beliau dengan wartawan Nazri Abdullah.

Harakahdaily: Apa yang menyebabkan saudara Bob terdorong untuk memilih dan menyertai PAS?

Bob Lokman: Sebab saya rasa ada masalah dengan sistem kehidupan. Saya nak mendidik anak saya dengan jalan Islam tetapi dia ada masalah dengan sistem persekolahan, sistem pergaulan, dan sistem masyarakat.

Bila saya di rumah suruh dia sembahyang, di luar ada kumpulan yang suruh dia buat benda lagha. Masa saya muda dulu saya tak sedar, dan itu berlaku pada anak saya sekarang, dan sekarang sara rasa tanggungjawab pada anak.

Tengok anak kita tidak menjadikan Allah nombor satu... dia duk ikut ‘rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’, pada hal Allah nombor satu, takwa diutamakan tapi anak-kita tak tahu.

Harakahdaily: Jadi adakah faktor anak saudara itu yang telah mendorong saudara menyertai PAS?

Bob Lokman: Ya...Saya selalu merasa saya gagal mendidik anak saya dan rasa saya akan masuk neraka. Kerana itu saya rasa tidak ada tempat nak mintak bantuan, saya masuk PAS ini saya rasa ada jemaah yang boleh membawa saya ke jalan yang betul.

Mengakkan Islam itu adalah wajib, kalau saya tak terlibat, harapkan orang lain berjuang, apa akan jadi dengan anak saya nanti.

Harakahdaily: Saudara tahu PAS adalah parti pembangkang. Jadi adakah saudara tidak risau ianya akan menjejaskan sumber rezeki saudara dalam kerjaya saudara.

Bob Lokman: Saya tahu risiko itu, tapi saya serahkan rezeki saya bulat-bulat pada Allah, yang penting saya dapat selamatkan kehidupan anak saya di dunia dan saya tak masuk neraka.

Harakahdaily: Sejak kebelakangan ini, saudara dilihat banyak memegang watak-watak sebagai seorang alim berbanding watak lain termasuk pelawak. Adakah itu perubahan berterusan yang saudara akan lakukan.

Bob Lokman: Mengikut pandangan ustaz-ustaz yang saya belajar, sebab berlakon itu sumber rezeki saya, ustaz-ustaz kata boleh berlakon tetapi pilihlah watak-watak yang tidak menjadikan dosa bila kita dah tak ada nanti, pilih watak yang mendatangkan manfaat. -harakahdaily





Buang Bayi Menjadi-jadi - Mayat Bayi Dibuang Di Tebing Sungai

Mayat bayi dalam plastik, dibuang di tebing sungai

Petaling Jaya – Mayat seorang bayi lelaki lengkap bertali pusat ditemui disumbat dalam plastik, sebelum dibuang di tebing Sungai Kayu Ara, Damansara, di sini, semalam.

Mayat bayi malang itu ditemui seorang lelaki yang memancing di kawasan terbabit.

Pemancing yang hanya dikenali sebagai Rizal berkata, dia mengambil satu plastik yang dibuang di tebing sungai itu untuk mengisi hasil ikan yang dipancing.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila mendapati bungkusan plastik diambilnya mengandungi mayat bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan.

“Saya terasa berat ketika memegang plastik mengandungi empat lapisan itu dan tidak menyangka berisi mayat bayi.

“Saya terus laporkan perkara itu kepada polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, bayi terbabit mati selepas dilahirkan.

“Mayat bayi masih cukup sifat itu dipercayai dibuang dalam tempoh 24 jam dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat ,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Orang ramai mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya atau hubungi talian 03-79662222 untuk membantu siasatan. -Bernama

[Bergambar] Tunjuk Perasaan Di Libya, 200 Terbunuh

Sekurang-kurangnya sejumlah 200 orang telah terbunuh dalam operasi pihak berkuasa memerangi kebangkitan rakyat yang menentang pemimpin Muammar Gaddafi di Libya, kata seorang doktor di bandar Benghazi semalam.

Menurut doktor itu, hospital tempat dia bekerja menerima 200 mayat yang mati ditembak oleh pasukan keselamatan sejak beberapa hari lalu. Mayat-mayat itu merupakan penunjuk perasaan menuntut Gaddafi meletakkan jawatan sebagai pemimpin tertinggi negara berkenaan.

Doktor itu menyatakan, hospitalnya itu mengalami masalah kekurangan bekalan perubatan untuk merawat lebih 70 penunjuk perasaan yang cedera.

Sebelum ini seorang pegawai pertubuhan Human Right Watch, Tom Porteous memberitahu agensi berita AFP, bahawa keadaan di negara itu sukar digambarkan kerana komunikasi di Libya amat sukar.

Dia berkata, pemerintah Libya menutup semua komunikasi Internet sejak kelmarin dan gangguan dalam perkhidmatan telefon telah menyebabkan amat sukar untuk memperoleh maklumat mengenai apa yang berlaku di negara berkenaan.

Tentera Libya dilapor melepaskan tembakan ke arah para penunjuk perasaan yang menghadiri pengebumian rakan mereka yang terbunuh dalam tunjuk perasaan di bandar Benghazi kelmarin.

Dalam kejadian itu, 15 orang dilaporkan mati akibat ditembak anggota-anggota pihak berkuasa.

Sementara itu, sejumlah penunjuk perasaan tidak mempedulikan operasi memerangi tunjuk perasaan apabila mereka kembali berhimpun di sebuah dataran di luar sebuah bangunan di bandar Benghazi.

Para penunjuk perasaan itu menuntut Gaddafi supaya berundur selepas melihat penunjuk perasaan di Kaherah yang berjaya menyebabkan Hosni Mubarak meletakkan jawatan pada 11 Februari lalu.

Gaddafi, 68, yang memerintah selama empat dekad masih belum membuat sebarang kenyataan mengenai tunjuk perasaan itu.

Beliau menjadi pemimpin selepas mengetuai beberapa pegawai tentera lain melakukan rampasan kuasa aman daripada pemerintah Libya, Raja Idris pada 1 September 1969.

Ketika rampasan itu, Raja Idris berada di Turki untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Rampasan itu dibuat ekoran perasaan tidak puas hati terhadap pemerintahan Raja Idris yang dianggap tidak cekap.

Minyak merupakan eksport Libya yang mewakili dua peratus daripada eksport minyak dunia.

Syarikat-syarikat minyak seperti Shell, BP dan Eni melabur berbilion-bilion dolar dalam industri minyak di negara itu. - Agensi











[Bergambar] Bob Lokman Hapuskan Khurafat "Masuk PAS Jadi Miskin"

Penyertaan Bob Lokman, selebriti tanahair yang sentiasa mencuit hati para penonton dan pendengar merupakan menjelas satu sikap kebenranian beliau untuk memberitahu kepada semua bahawa "rezeki manusia itu ditentukan oleh Allah s.w.t. bukan oleh kerajaan atau makhluk Allah yang lain".

Tatkala ramai yang terpinga-pinga dan khuatir jika periuk nasi mereka terjejas jika menyokong PAS atau parti komponen Pakatan Rakyat lantaran takut jika berbuat demikian akan menyebabkan mereka digam dan dihalang dari media massa perdana seperti radio dan stesyen televisyen, Bob Lokman tidak memperdulikan itu semua kerana keyakinan beliau bahawa bukan manusia lain yang menentukan rezeki kita di atas dunia ini.

Sepastinya bukan calang-calang orang yang boleh berkeyakinan sedemikian. Ia satu ujian untuk seorang artis terkenal sepertinya. Tetapi apabila hati telah penuh dengan kecintaan kepada kebenaran, ia tidak dapat disembunyikan sekalipun selama ini ramai para artis yang telah melihat kebenaran tersebut cuma beliau berani untuk menyatakan secara terbuka seperti yang dilakukan oleh Bob Lokman kelmarin.

Allah - sebagai Ar-Razak (pemberi rezeki), tidak ramai yang meyakininya, jika ada yang yakin, tidak ramai pula yang mampu membuktikannya melalui tindakan.

Bob Lokman akhirnya dapat menembusi dinding kelemahan jiwa itu. Untuk terus dengan lantang membebaskan dirinya dari "khurafat" yang dipegang oleh ramai manusia lain termasuk kadang kalanya oleh para ugamawan sendiri, para ustadz dan mereka yang berpengetahuan agama sekalipun, yang khuatir dan takut untuk bersama PAS lantaran takut "kemiskinan" akibat dibuang kerja, ditukar, diturunkan pangkat, dipulau, disisih, tidak mendapat projek atau apa juga tekanan jika menyertai PAS.

Syaitan sentiasa cuba menghalang manusia daripada memahami kebesaran dan kekuasaan Allah yang sebenarnya. Allah menerangkan tentang bahaya ini di dalam al-Quran seperti berikut: "Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu. Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui." (Surah al-Baqarah ayat 168-169)

Usaha utamanya ialah untuk menakutkan manusia ialah dengan dengan kemiskinan iaitu jika tidak bersama "mereka", maka kita akan menjadi miskin.

Mereka tidak sedar bahawa semuanya di bawah kawalan Allah, dan tiada siapa yang boleh menghalang sebarang kebaikan yang Allah kehendaki.

Membebaskan diri dari belenggu pemikiran syaitaniah yang menakut-nakutkan manusia dengan kemiskinan ini merupakan satu sikap jati diri yang perlu ada bagi setiap ahli jemaah.


Syaitan menjanjikan (menakut-nakut) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir), sedang Allah menjanjikan untukmu keampunan daripada-Nya dan kurnia. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.
(Surah al-Baqarah ayat 268)


GB mengucapkan SYABAS dan TAHNIAH kepada Bob Lokman yang membuat keputusan TEGAS dan BERANI, dan semuga Allah melimpahi rahmatNya kepada beliau bagi menghapuskan "khurafat kemiskinan" yang dijaja oleh sesetengah pihak kononnya akan menjadi miskin dan papa jika berjuang di dalam Parti Islam SeMalaysia. -GB

foto ehsan demokrasi93







Pelajar Calon Pro-M Yang Hilang Ditemui Di Bangi


Kuala Lumpur, 21 Feb: Calon Pro-M Universiti Malaya, Masturah Abu Bakar yang dikatakan hilang ditemui selepas berapa siri kempen pilihan raya kampus di universiti itu.

Harakahdaily difahamkan, pada pukul 10.40 malam tadi pihak Pro-M menerima maklumat Masturah dijumpai di Bangi.

Berapa anggota Pro-M bergegas ke Bangi dan beliau dijemput oleh ahli keluarga dan dibawa balik ke rumahnya di Sungai Buluh.

Mereka terus bergegas ke rumahnya dan mengesahkan perkara tersebut. -harakahdaily

Calon pilihan raya kampus UM ditemui selamat

KUALA LUMPUR, 21 Feb — Calon pilihan raya kampus Universiti Malaya (UM) Masturah Abu Bakar, yang dilaporkan hilang kira-kira 30 jam sejak petang kelmarin, ditemui selamat tengah malam tadi.

Pelajar itu ditemui rakan-rakannya dalam keadaan menangis di Masjid Terang Jenang, kira-kira 36 kilometer dari lokasi dia dikatakan hilang.

“Masturah kini berada di Sungai Buloh dan selamat bersama keluarganya,” kata pengerusi pro Mahasiswa Mohd Taufiq Abdul dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Laporan Bernama malam tadi menyebut, pelajar berkenaan hilang ketika berkempen di blok pangsapuri Pantai Permai, Pantai Dalam di sini, yang menjadi tempat penginapan luar pelajar UM.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata polis menerima laporan mengenai kehilangan penuntut berusia 22 tahun itu, dan telah mengadakan operasi mencari mangsa di sekitar pangsapuri tempat ia berkempen tetapi tidak berjaya menemuinya.

Wan Abdul Bari berkata Masturah dilaporkan hilang kira-kira pukul 5 petang kelmarin semasa dia bersama seorang lagi rakannya berkempen.

Rakan mangsa melaporkan bahawa Masturah pergi membeli tambah nilai kredit telefon dan meminta rakannya itu menunggu di Blok E, pangsapuri itu, dan “setelah lama menunggu, Masturah tidak muncul dan dia cuba menghubungi rakannya itu tetapi gagal,” katanya.

Wan Abdul Bari berkata selepas enam jam mencari bersama penduduk di kawasan berkenaan, rakannya kemudian membuat laporan polis. Masturah, yang merupakan calon pro-Mahasiwa, bertanding kerusi umum pilihan raya kampus itu yang berlangsung hari ini, dilaporkan menerima khidmat pesanan ringkas berbaur ugutan dari orang yang tidak dikenali sebelum ini, katanya.

Seramai 43 kerusi MPP UM dipertandingkan pada sesi 2010/2011 yang merangkumi sembilan kerusi umum, 32 kerusi fakulti dan dua kerusi siswazah. -TMI


Calon pilihan raya Universiti Malaya didakwa hilang

Gambar: Mastura didakwa hilang secara tiba-tiba selepas berkempen kelmarin.

KUALA LUMPUR – Keghairahan calon-calon pilihan raya kampus berkempen bagi merebut kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaya (UM) di sini bagi sesi 2010/2011 gempar apabila salah seorang calon yang bertanding dilaporkan hilang kelmarin.

Sebelum hilang pukul 5 petang kelmarin, calon tersebut, Mastura Abu Bakar, 22, yang mewakili Pro-Mahasiswa (Pro-M) dipercayai keluar berkempen bersama beberapa rakannya di kawasan perumahan Taman Pantai Permai, Jalan Pantai Permai yang banyak didiami pelajar UM.

Namun Mastura didakwa tiba-tiba hilang oleh rakan-rakannya selepas menamatkan aktiviti berkempen pada hari tersebut.

Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Mohd. Taufiq Abdul berkata, sebelum hilang, Mastura dan rakan-rakannya berkumpul di antara blok D dan E di sebuah pangsapuri Taman Pantai Permai.

“Mangsa kemudian pergi membeli kad tambah nilai telefon di sebuah kedai tidak jauh dari situ sebelum meminta rakan-rakan menunggunya di blok E.

“Bagaimanapun, setelah lama menunggu, Mastura tidak muncul, malah dia juga gagal dihubungi,” kata Mohd. Taufiq kepada Kosmo! di sini semalam. -kosmo


Kereta Terbakar, 1 Terbunuh 3 Parah

Kereta terbakar, keluar cepat!” jerit seorang penumpang Proton Saga BLM yang terbakar akibat kemalangan di Jalan Masjid Tanah-Sungai Udang, dekat sini, awal pagi semalam, yang berakhir dengan seorang daripada mereka terbunuh manakala tiga lagi parah.

Saksi kejadian, Sariza Othman, 24, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 1.20 pagi apabila kereta yang dinaiki empat remaja terbabit bertembung sebuah pikap, Nissan Frontier.

Menurutnya, sebelum kejadian dia memandu kereta bersama seorang teman sebelum melihat sebuah Perodua Viva memotong keretanya sebelum diikuti rapat kenderaan pacuan empat roda terbabit.

“Ketika di persimpangan lampu isyarat Sungai Udang-Bertam Ulu, pacuan empat roda itu cuba memotong Perodua Viva, tetapi gagal dan bertembung Proton Saga BLM dari arah bertentangan.

“Saya memberhentikan kereta dan melihat Proton Saga itu terbakar. Seorang daripada penumpang kereta itu keluar dan saya serta dia menjerit menyuruh rakannya keluar kerana takut kereta meletup.

“Ketika itu suasana pilu kerana saya dengar sayup-sayup jeritan meminta pertolongan daripada tiga lagi remaja yang terperangkap di dalam Proton Saga yang terbakar,” katanya.

Sariza berkata, dia bertambah sebak apabila melihat tiga remaja yang tersepit di tempat duduk masing-masing meronta sambil melambaikan tangan meminta tolong supaya dikeluarkan daripada kereta yang terbakar.

“Selepas itu, berlaku letupan kuat daripada kereta dan api semakin marak menyebabkan usaha beberapa pengguna jalan raya untuk mengeluarkan tiga mangsa terbabit agak sukar.

“Mujur, satu daripada pintu berjaya dibuka biarpun ketika api marak. Beberapa pengguna jalan raya mengeluarkan tiga mangsa terbabit dan sebaik saja mangsa terakhir dikeluarkan, berlaku satu lagi letupan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shahruddin, berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian itu dikenali sebagai Dzarif Iskandar Dzul dan siasatan awal menunjukkan remaja berusia 17 tahun itu dipercaya memandu Proton Saga BLM terbabit.

“Mangsa yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Alauddin parah dan meninggal dunia kira-kira jam 3.30 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Kem Terendak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, polis masih menyiasat identiti tiga rakan mangsa yang menaiki kereta berkenaan dan siasatan awal mendapati mereka dikenali sebagai Mohd Firdaus, 17, Abdul Wafi, 17, dan Azani, 20.

Beliau berkata, ketiga-tiga remaja itu serta pemandu Nissan Frontier, Mohd Sahid Suhaimi, 18, yang parah dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati ketiga-tiga remaja menaiki Proton Saga BLM itu tinggal di Taman Seri Aman dalam perjalanan ke Sungai Udang sebelum bertembung sebuah pacuan empat roda yang memotong sebuah kereta di depannya,” katanya.

Seorang lagi saksi, Abdul Kahar Omar, 23, berkata dia bersama empat rakannya dalam perjalanan menuju Pasir Panjang, Port Dickson, berada di hadapan pacuan empat roda terbabit, sebelum dipintas kenderaan itu.

Katanya, kemalangan berlaku terlalu pantas kerana mereka melihat jelas ketika dua kenderaan itu bertembung dan melantun ke belakang sebelum terdengar letupan kecil. -hm



Program Ceramah PAS Merlimau Dihadiri 5000 Orang Sekalipun Cuba Dibatalkan Oleh Polis

Program ceramah Presiden PAS, TG Haji Abdul Hadi Awang dan Sdra. Mohd Sabu di Merlimau Utara berjaya juga diadakan sekalipun ianya cuba disekat oleh pihak polis yang pada awalnya telah mengarahkan supaya program tersebut dipindahkan atau dibatalkan.

Beberapa pimpinan PAS telah berhujjah dengan Ketua Polis Daerah Jasin yang kemudiannya mengizinkan ceramah diteruskan dengan beberapa syarat yang perlu dipatuhi.

GB telah turut bersama berhujjah kepada pihak polis berkenaan dan bertanya samada kedatangan mereka untuk menyekat program ceramah PAS tersebut adalah sebenarnya datang dari "arahan pihak tertentu," ketua polis tersebut sekadar tersenyum dan mengakuinya dengan menyatakan "saya tidak perlu ulas dan tak perlulah bagitahu siapa yang mengarahkannya."

Program ceramah diteruskan dengan kehadiran lebih dari 5 ribu orang rakyat tempatan dimulai dengan ucapan Sdra Adly Zahari, Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari yang melahirkan rasa kesal dengan tindakan UMNO memperalatkan pihak polis bagi menganggu program PAS.

"Sedangkan mereka menggunakan kemudahan awam seperti bangunan Politeknik tanpa sebarang sekatan," ujarnya.

Mohd Sabu di dalam ceramahnya pula meminta rakyat Merlimau untuk menolak UMNO di dalam pilihanraya kecil 6 hb Mac ini supaya seorang pembangkang dari PAS dapat bersuara di dalam dewan undangan negeri Melaka.

Beliau menegaskan bahawa apabila demokrasi cuba disekat, maka tragedi Mesir, Tunisia, Bahrain dan lain-lain akan berlaku dan sepastinya ia tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Beliau juga membidas pihak UMNO yang menuduh kononnya PAS kuda tunggangan DAP untuk disebarkan di kalangan orang Melayu, sedangkan dalamasa yang sama pihak MCA menuduh DAP kuda tungangan PAS di kalangan orang bukan Melayu.

Bekas Pengerusi GERAK yang juga Ketua AMK Negeri Sembilan, Mohd Nazree Mohd Yunus turut berceramah dengan mengajak pengundi di Merlimau supaya membuat pilihan yang betul di hari pengundian nanti. Beliau menjelaskan bahawa tiada rasuah mega di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat. Yang ada ialah sekeping kek yang dihadiahkan kepada TG Nik Abdul Aziz dianggapkan rasuah oleh Pemuda UMNO yang ketandusan modal dan dilaporkan kepada pihak SPRM.

Presiden PAS TG Abdul Hadi Awang yang berucap di majlis berkenaan menyatakan bahawa PAS berbeza dengan UMNO dimana UMNO tidak memperhitungkan nilai pahala dan dosa di dalam kehidupan berpolitik.

Semepena sambutan Maulidir-Rasul, kita sepatutnya mengambil pelajaran dari kehidupan Rasulullah supaya membina cara hidup yang diredhai Allah s.w.t.

Islam yang berkembang di Malaysia yang bermula di Melaka adalah Islam yang dibawa oleh Rasulullah.

Perjuangan menentang penjajah di Melaka pada tahun 1511, kemudian kebangkitan rakyat menentang penjajah Belanda dan Inggeris selepas menentang Portugis membuktikan "rakyat" telah menentang penjajah lebih awal dari UMNO yang hanya memulakan penentangannya kepada Inggeris pada 1946.

Program ceramah PAS di Merlimau tersebut sekali lagi cuba diganggu oleh UMNO yang juga mengadakan program ceramahnya selang beberapa meter dari program PAS. Program tersebut lansung tidak diganggu oleh polis dan ianya hanya dihadiri sekitar 30-40 orang.





Beberapa pimpinan PAS termasuk Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka Sdra Adly Zahari berhujjah dengan OCPD Jasin

Sdra Adly memulakan majlis ceramah

Mohd Sabu menyampaikan ceramahnya

Presiden PAS, TG Haji Abdul Hadi Awang
Mohd Nazree Mohd Yunus
Antara hadirin yang mendengar

20 Feb 2011

Pemimpin HRP Ditangkap, Kaum India Akan Tolak BN Di PRK Merlimau Dan Kerdau

Pemimpin HRP ditangkap di forum anti-Interlok

Tujuh pemimpin dan aktivis Parti Hak Asasi Manusia (HRP) ditangkap awal hari ini semasa forum mengenai novel kontroversi 'Interlok' di Lunas, Kedah.

Menurut mesej teks dari setiausaha agung penaja HRP, P Uthayakumar, mereka termasuk presiden HRP, W Sambulingam dan timbalan ketua HRP Kedah, P Muniandy.

Yang lainnya termasuk aktivis HRP - R Ramu, MS Maniam, S Dass, D Raja dan CF Mani.

Uthayakumar berkata parti juga menjangka tangkapan yang sama dibuat di satu lagi forum yang dijadual diadakan di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Pihak polis, tambah Uthayakumar, telah memasang notis akan menangkap mereka yang menghadiri forum tersebut.

Sementara itu, ketua penerangan HRP, S Jayathas, ketujuh-tujuh mereka telah dibawa ke balai polis daerah Kulim.

Polis, kata Jayathas dalam lamanweb kumpulan itu berkata, telah menyatakan bahawa forum itu diadakan secara haram selepas permohonan untuk mendapatkan permit ditolak.

Forum tersebut adalah sebahagian daripada kempen HRP, dengan acara kemuncaknya merupakan perarakan pada 27 Februari ini, bagi menentang rasis dan novel Interlok.

Interlok, yang ditulis oleh sasterawan negara, Abdullah Hussain, telah didakwa mengandungi unsur-unsur rasis.

Sementara itu, ketika dihubungi, Uthayakumar berkata, polis di balai Kulim sedang cuba mengulangi usaha yang dilakukan minggu lalu untuk merampas baju-T oren yang dipakai oleh aktivis HRP sebagai syarat pembebasan mereka.

"Mereka kata jika aktivis HRP tidak menyerahkan baju itu, mereka akan ditahan di lokap selama tujuh hari," katanya.

"Tapi kita tidak akan menyerah baju itu. Mereka telah menjadi (seperti) suci kepada kami," tambahnya.

Uthayakumar, yang juga penasihat undang-undang Hindraf, berkata sedangkan ribuan anggota Pemuda PAS berkumpul di Kota Sarang Semut di Kedah tanpa terganggu oleh polis.

Tegasnya, tidak seorang pun aktivis atau anggota NGO dan parti yang diarahkan supaya menyerahkan kopiah atau baju mereka.

Ulasan GB

Tangkap ramai-ramai, mudah sikit kerja PR di PRK-PRK Merlimau Dan Kerdau.

Kapal Perang Iran Melintas Terusan Suez, Israel Geram

Teheran - Dua kapal perang Iran akan melintasi Terusan Suez, di Mesir. Ini merupakan kali pertama Republik Islam itu mengirim kapal perangnya sejak revolusi 1979. Keadaan ini diramal akan menambahkan ketegangan antara Iran dan Israel.

“Dua kapal perang Iran akan melintasi terusan dan akan menuju pelabuhan Suriah,” demikian dilaporkan stesyen televisyen berbahasa Arab Al Alam yang dipetik Reuters.

Keizinan untuk melintasi Terusan Suez diberikan tentera Mesir yang memegang kendali pemerintahan sejak Presiden Husni Mubarak mengundurkan diri pada 11 Februari lalu.

Tentera Mesir menyatakan, Negara Paramullah itu sebelumnya sudah meminta kebenaran untuk menggunakan Terusan Suez.

Pihak tentera sebenarnya sulit untuk memberikan izin tersebut mengingatkan Mesir adalah sekutu terdekat Amerika Syarikat dan dikenal dekat dengan Israel.

Kehadiran armada perang Iran di Laur Mediterania, sepastinya mengundang kecaman dari Israel. Menteri Luar Negeri Avigdor Lieberman menganggap hal ini sebagai provokasi.

Pihak berkuasa Terusan Suez yang mengumumkan maklumat melintasnya armada perang Iran ini, enggan memberi komentar. Menurut pihak berkuasa setempat kapal perang baru akan melintasi Terusan Suez pada hari Isnin, esok.

PRK DUN Kerdau: Siapa lawan siapa?

Temerloh - Umum sudah pun mengetahui bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau sudah pun diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akan dilangsungkan pada 6 Mac depan serentak dengan PRK DUN Merlimau.

Melihat kepada keputusan itu, pastinya Barisan Nasional (BN) Pahang mahupun Pas Pahang sudah merangkan gerak kerja atau jentera parti masing-masing meskipun dalam tempoh yang amat singkat untuk melakukan persediaan.

Apa pun, PRK ini harus dilaksanakan sebagai satu proses demokrasi di negara ini yang mana sesuatu Kerusi DUN ataupun Parlimen perlu diisi apabila berlaku kekosongan seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Menyentuh mengenai PRK ini pastinya umum tertanya-tanya siapakah calon-calon yang layak untuk diletakkan oleh BN dan Pas dan kredibiliti calon-calon ini pastinya akan menentukan kejayaan kedua-dua parti yang bertanding.

BN akan mengumumkan calon PRK DUN Kerdau mereka pada Selasa ini. Malah Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob sudah pun menyerahan empat nama kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Difahamkan empat nama yang diserahkan itu adalah Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar, Syed Ibrahim Syed Ahmad yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Bekas Adun Kerdau, Datuk Redzwan Harun, Setiausaha UMNO Bahagian Kuala Krau, Abdul Razak Ahmad serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Krau, Norahan Abu Bakar.

Manakala bagi Pas pula, tiga nama yang difahamkan dipendekkan daripada tujuh nama pada peringkat awal adalah Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Naib Presiden Pas, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasaruddin Hassan Tantawi serta Ketua Penerangan Pas Pahang, Hassanuddin Salim yang juga bekas calon DUN Kerdau Pas pada pilihan raya umum 2008 yang tewas kepada Allahyarham Datuk Zaharuddin Abu Kassim dari BN.

Bagaimanapun, siapa yang bakal bertemu siapa hanya akan diketahui pada Selasa (BN) dan Khamis (Pas) ini apabila kedua-dua parti yang bertanding menentukan calon yang sesuai untuk menggalas cabaran dalam PRK kali ini.

Adalah sesuatu yang amat menarik mengenai PRK Kedau pada kali ini apabila Pas dikatakan cuba meletakkan calon popular yang boleh menggugat BN yang pastinya mahu mempertahankan Kerusi Kerdau yang mereka menangi sebanyak 13 kali pilihan raya termasuk pilihan raya kecil Sanggang (1999).

Dengan 8,999 pengundi berdaftar dengan 88.36 peratus adalah Melayu, pastinya mana-mana parti pun tidak berani mempertaruhkan calon yang bukan Melayu kerana risikonya cukup tinggi.

Malah umum juga mengetahui bahawa Kerdau merupakan tempat pertama penubuhan Pas di negeri ini dan di situ jugalah letaknya Markas Pas Negeri.

Seperti mana yang dikatakan Tuan Ibrahim sendiri, peluang di Kerdau untuk Pas adalah 50-50 kerana banyak isu-isu boleh dibangkitkan terutamanya mengenai pembangunan di Kerdau sendiri sepanjang di bawah pemerintahan BN.

Sama ada isu yang akan dibangkitkan itu relevan atau tidak hanya rakyat di Kerdau sahaja boleh menentukan sama ada pembangunan yang diharapkan itu berlaku atau tidak.

Manakala bagi BN pula, peluang untuk mereka menang dilihat agak cerah berdasarkan rekod pilihan raya sebelum ini.

Mereka pastinya mahukan calon yang popular dan boleh menang bagi menggalas ‘wasiat’ yang ditinggalkan oleh Zaharuddin sebelum ini.

Penting bagi BN untuk menjelaskan kepada rakyat Kerdau mengenai pembangunan di kawasan itu agar keyakinan yang tertanam sebelum ini akan terus hidup subur di terus segar.

Apa pun segala keputusan terletak di tangan para pengundi yang akan menentukan siapakah wakil rakyat mereka pada 6 Mac nanti yang pastinya memperlihatkan satu pertandingan yang sengit.

Bagi BN pula tugas mereka adalah untuk mempertahankan kerusi adalah lebih penting daripada meningkatkan jumlah majoriti yang diperoleh Zaharuddin sebelum ini.

Manakala bagi Pas pula, kemenangan pada kali ini merupakan satu kejayaan menawan kubu BN yang sudah bertahan 13 kali pilihan raya. -SH


Kerdau: PAS putus calon Selasa, naib presiden antara pilihan

KUALA LUMPUR, 20 Feb — PAS akan memuktamadkan calonnya yang bakal bertanding di kerusi Kerdau Selasa ini selepas tiga nama diperakui oleh Dewan Harian parti itu hari ini, kata Naib Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini.

“PAS Pahang telah mengangkat tiga nama pada hari ini di mana Dewan Harian telah memperakui ketiga-tiga nama itu. Keputusan akhir akan dicapai pada mesyuarat jawatankuasa kerja pusat Selasa ini,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mengumumkan calon di Kerdau, Khamis ini.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang enggan berkongsi nama calon-calon yang diperakui oleh Dewan Harian pada mesyuarat hari ini.

The Malaysian Insider difahamkan salah satu daripada tiga nama yang dipertimbangkan itu termasukla Tuan Ibrahim sendiri selaku Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Krau.

Sumber memberitahu kemungkinan PAS akan menurunkan beliau di Kerdau kali ini atas popularitinya di kawasan tersebut dan di Pahang.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan itu, Tuan Ibrahim memberitahu, “biar jawatankuasa pusat yang putuskan perkara itu dan nama calon akan diumumkan 24 Februari ini.”

Difahamkan ketiga-tiga nama yang diperakui hari ini merupakan anak tempatan kawasan Kuala Krau.

Pada 8 Mac 2008, Tuan Ibrahim bertanding di kerusi DUN Jengka.

Mesyuarat Dewan Harian PAS hari ini juga memutuskan untuk melantik Pengarah Pilihan Rayan PAS pusat Datuk Halim Abdul Rahman sebagai pengarah jawatankuasa induk pilihan raya kerusi DUN Merlimau.

Sebelum ini PAS melantik Tuan Ibrahim sebagai pengarahnya.

“Ada pertukaran, saya akan mengetuai jawatankuasa induk pilihan raya kecil Kerdau, Datuk Abdul Halim akan menjadi pengarah pilihan raya kecil Merlimau,” katanya lagi.

Kerusi DUN Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada 12 Februari lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 6 Mac sebagai tarikh pengundian manakala penamaan calon pada Sabtu ini.

Dalam pada itu, laporan Bernama memetik Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan nama calon Barisan Nasional (BN), Selasa ini.

“Empat nama calon berkelayakan telah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk dipilih bertanding, siapa saja yang dipilih akan diterima dan jentera BN akan memastikan kemenangannya,” kata Adnan.

Kata beliau, kerajaan negeri pimpinan BN akan menunaikan segala janji pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri Kerdau yang telah dibuat bekas wakil rakyat kawasan itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan meneliti projek pembangunan yang dijanjikan sebelum ini mengikut keutamaan dan kepentingan rakyat.

“Kerajaan Barisan Nasional tidak berjanji kosong, setiap janji-janji itu kita akan tetap laksanakan untuk kepentingan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan jentera pilihan raya kecil BN untuk pilihan raya kecil DUN Kerdau hari ini.

Adnan berkata, semua isu setempat di kawasan berkenaan juga akan diselesaikan secepat mungkin.

“Setakat ini tiada isu besar di Kerdau melainkan isu-isu berkaitan hak milik tanah dan berkaitan tanah, isu untuk mempertingkat kemudahan jalan raya dan bekalan air,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN pada pilihan raya kecil itu berkata, semua jentera pilihan raya BN kini bersiap sepenuhnya.

“Kita akan mengambil pendekatan bersemuka dan menemui pengundi bagi mengetahui masalah mereka dan setiap masalah mereka kita akan atasi,” katanya. -TMI