13 Apr 2010

Nizar Cabar Tajuddin Ulang Tuduhan Di Luar Parlimen

Dua Ahli Parlimen dari PAS dan DAP hari ini mencabar Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang menuduh mereka menjual tanah kepada Singapura agar mengulangi dakwaan tersebut di luar Dewan agar tindakan undang-undang boleh diambil terhadap beliau.

Pada satu sidang media di perkarangan Parlimen, anggota Dewan Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menjelaskan Tajuddin boleh membuat dakwaan tersebut jika benar ada bukti kukuh mengenainya.

"Kami di sini seolah-olah dijadikan mangsa oleh Ahli Parlimen Pasir Salak sewaktu saya tiada di Dewan baru-baru ini, Pasir Salak menuduh saya telah terlibat dalam operasi menjual tanah di Perak kepada Singapura.

"Kita mencabar Pasir Salak buat dakwaan yang sama di luar Dewan supaya kita boleh mengambil tindakan dan tunjukkan kebenaran," kata Nizar.

Tajuddin dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010 di Dewan Rakyat baru-baru ini mendakwa Pakatan Rakyat Perak yang diketuai Nizar sewaktu menjadi kerajaan negeri telah terlibat dalam operasi menjual tanah dan pasir kepada taukeh-taukeh Cina di Singapura.

Oleh kerana ketidakhadiran Nizar semasa sesi tersebut, Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham dan juga Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming bangun menafikan dakwaan tersebut.

Nizar juga turut mencabar tuduhan kedua Tajuddin yang disifatkan suatu yang serius dan perlu kemukakan bukti.

"Saya juga dituduh bukan sahaja menjual tanah pasir kepada Singapura malah turut dituduh jual tanah kepada kaum Cina di Perak.

"Buktikan mana tanah yang saya jual kepada Singapura, mana dia tanah yang saya jual kepada taueh Cina. Sampai sekarang mereka tidak juga memberi bukti.

"Kami Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat dari PAS, DAP dan KEADILAN ingin menuntut keadilan supaya rakyat sedar kalau inilah mutu Ahli Parlimen kita yang membuat tuduhan tanpa bukti, saya rasa ini satu malapetaka kepada rakyat Malaysia," tegasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang juga dituduh menjual maklumat Malaysia kepada Singapura dan Hong Kong senada dengan Nizar mencabar Tajuddin membuat dakwaan sama di luar Dewan.

"Memanglah perkara palsu saya ke Singapura dan Hong Kong untuk jual maklumat negara. Saya ke sana atas urusan perniagaan sahaja. Samalah seperti Perdana Menteri ke Singapura dan Hong Kong ke negara tersebut untuk tujuan pelaburan.Jadi saya cabar beliau buat tuduhan di luar Dewan," kata Guan Eng.

Beliau juga menyelar tindakan Tajuddin yang menggunakan imuniti sebagai ahli Parlimen untuk membuat tuduhan sewenang-wenangnya.

"Jangan berselindung dalam Dewan, berselindung di atas kekebalan undang-undang yang dinikmati oleh Ahli Parlimen untuk membuat sebarang tuduhan," katanya. -SK

MP Pasir Salak Diberi Amaran Keras

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini memberi amaran keras kepada Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman supaya tidak mengganggu Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran.

Beliau sudah memanggil kedua-dua wakil rakyat itu untuk memberi penjelasan terhadap insiden dakwaan ugut yang berlaku Khamis lepas.

Pada Khamis lepas, Kulasegaran mendakwa Tajuddin mengancam untuk memukul beliau di lobi Parlimen kerana menyifatkan Ahli Parlimen DAP itu mencemarkan nama beliau.

Namun, Tajuddin ketika diminta mengulas dakwaan itu mempertikaikan tindakan Kulasegaran yang menggunakan laman blog untuk membuat fitnah dan mencerca beliau.

Selepas sesi soal jawab pagi ini, Pandikar Amin berkata bahawa semasa pertemuan itu, beliau memberi pandangan kepada kedua-dua Ahli Parlimen supaya bertindak dengan mengambil kira integriti Parlimen.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Ipoh Barat yang menerima pandangan saya secara positif dan beliau kemudiannya bersetuju supaya tidak mendesak supaya Ahli Parlimen Pasir Salak dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan," katanya.
(Bernama)

Hampir Pasti : Zaid Bertemu Palanivel

Datuk Zaid Ibrahim hari ini dipilih sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor, lapor malaysiakini.

Menurut sumber, pemilihan Zaid itu dibuat oleh biro politik PKR yang bermesyuarat di rumah ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini.

“Keputusan memilih Zaid buat sebulat suara,” kata sumber itu lagi.

Zaid yang juga bekas menteri yang bertanggungjawab mengenai hal-ehwal perundangan ketika dalam barisan kabinet bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum berpaling tadah ke PKR.

Beliau dijangka akan diperkenalkan secara rasmi sebagai calon Pakatan Rakyat di sebuah ceramah di Serendah, malam ini.

Zahid dikatakan sebagai calon terbaik bagi PKR untuk mempertahankan kerusi itu kerana pengalamannya yang luas.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong selepas penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia pada 25 Mac lepas akibat barah otak.

Pada pilihan raya umum 2008, wakil rakyat PKR itu menewaskan calon Barisan Nasional Datuk G Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini mengesahkan bahawa BN akan meletakkan calon daripada MIC untuk bertanding pada pilihan raya kecil yang akan diadakan 25 April ini.

BN dijangka mengumumkan calonnya pada 15 April, iaitu dua hari sebelum penamaan calon, dan desas-desus mengatakan Palanivel akan diberi peluang kedua untuk merampas kembali kerusi yang pernah disandangnya sebanyak tiga penggal itu.

Datuk G Palanivel yang juga timbalan presiden MIC yang menjadi ahli parlimen Hulu Selangor selama empat penggal sejak 1990 tetapi ditumbangkan dengan majoriti tipis pada pilihan raya umum 2008 berharap dapat kembali ke Dewan Rakyat.

Ketika dihubungi, naib presiden MIC, Datuk Dr S Subramaniam mengesahkan Palanivel adalah calon tunggal parti itu.

Beliau juga menolak khabar angin bahawa pencalonan Palanivel menghadapi masalah kerana beliau akan menuntut jawatan kabinet jika menang kelak.

"Memenangi pilihan raya kecil itu adalah keutamaan kami,” kata Subramaniam, yang dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia sejak tahun 2008 kerana beliau adalah pemimpin tertinggi MIC yang menang pada pilihan raya umum lalu.

Seorang lagi naib presiden MIC, Datuk M Saravanan juga tidak mahu melayan soalan jika ada tuntutan supaya Palanivel digugurkan.

“Tidak ada 'jika' dalam politik,” tegas Saravanan.

Saravanan, yang juga adalah timbalan menteri wilayah persekutuan berkata masyarakat India di Hulu Selangor berdiri teguh di belakang Palanivel.

Gerakan Desak K'jaan Pastikan Keadilan Untuk Teoh

Gerakan menggesa kabinet supaya memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan akan memastikan keadilan dalam siasatan kes kematian Teoh Beng Hock.

Menurut setiausaha agung Gerakan, Teng Chang Yeow laporan yang menyebut bahawa Dr Pornthip Rojanasunand kini berdepan tekanan supaya tidak menghadiri inkues Teoh pada 20 April ini adalah "amat membimbangkan".

Katanya, laporan itu mencemarkan imej kerajaan dan menimbulkan keraguan terhadap komitmen kerajaan untuk mencari keadilan untuk Teoh.

Oleh itu, katanya, Gerakan mencadangkan agar kabinet:

a) Memastikan keselamatan Dr Prontip dari Thailand ke Malaysia serta ketika pulang semula selepas inkues.

b) Menubuhkan satu pasukan khas untuk memastikan keselamatan beliau ketika menghadiri inkues.

c) Menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas untuk menyiasat laporan tersebut bagi memulihkan imej kerajaan Malaysia.

d) Memberi jaminan bahawa semua langkah diambil untuk memastikan keadilan terhadap Teoh.

Sehubungan itu, Teng berkata, Gerakan telah mengarahkan naib presidennya, A Kohilan yang juga timbalan menteri luar, supaya memeriksa dengan Kedutaan Malaysia di Bangkok untuk memastikan ketepatan laporan tersebut.

Gerakan juga, katanya, telah meminta Kohilan untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz, untuk memastikan tiada kompromi dalam mewujud keadilan dalam kes Teoh. -malaysiakini

Amalan Rasuah melibatkan Mindef, RM27.5 juta Untuk Kasut Wanita

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua membangkitkan persoalan berhubung kontrak membekal dan menghantar kasut kulit wanita kepada kakitangan awam di Kementerian Pertahanan bernilai RM27.5 juta yang diberikan kepada syarikat Visi Footwear Sdn Bhd.

Sambil merujuk kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Pua berkata,"kita tahu isteri Perdana Menteri bercita-cita menjadikan Malaysia 'pusat kasut di Timur' tetapi pembelian RM27.5 juta kasut wanita untuk kakitangan awam bukan cara mencapai hasrat itu.

"Saya menggesa kementerian terbabit menjelaskan pembelian luar biasa bagi kasut wanita untuk kegunaan mereka", kata Pua.

Pua juga hari ini mendedahkan lebih banyak kesilapan dan kontrak yang dipertikaikan di dalam portal 'MyProcurement' yang menyenaraikan projek-projek kerajaan.

Beliau juga merujuk kepada data baru yang dikemaskini pada Khamis lalu di portal itu yang membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Ia merupakan data pertama yang dimuatkan oleh kementerian itu dalam MyProcurement dan juga merupakan kontrak tunggalnya.

"Apa yang dipersoalkan ialah kementerian itu hanya menganugerahkan satu kontrak sejak Jun 2009 dan yang lebih memeranjatkan ialah kontrak untuk menaiktaraf keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi bernilai RM3.6 bilion yang diberikan kepada Business Information.

"Jika kesilapan kali ini berpunca daripada kesalahan titik perpuluhan seperti yang dijangkakan, ini membuktikan bahawa kerajaan tidak serius dengan portal "MyProcurement" yang kononnya dilaksanakan bagi mewujudkan ketelusan dan keterbukaan dalam memberi projek," ujar Pua lagi.

Sebelum ini, Pua mendedahkan kepada media beberapa siri kesilapan kerajaan di dalam portal "MyProcurement" menunjukkan data yang dimasukkan mempunyai kesilapan seperti maklumat tidak lengkap dan tidak tepat serta mempunyai kekurangan seperti spefisikasi tender, tarikh tender, kuantiti dan maklumat berkaitan yang lain.

Kenyataan Muhyiddin Ditempelak, Jwtnkuasa Agama Rebah Sebelum Bermesyuarat

Majlis Perunding Buddhis, Kristian, Hindui, Sikh dan Taoism (MCCBCHST) akan memboikot Jawatankuasa Anatar Agama yang dibentuk oleh Kerajaan, kecuali timbalan perdana menteri menyediakan penjelasan terhadap kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan jawatankuasa antara-agama yang dibentuk oleh kabinet disertai oleh “small-fry,” (mereka yang tidak penting) di dalam usaha beliau untuk mententeramkan kekhuatiran beberapa kumpulan yang menganggap ia (penubuhannya) menggugat kesucian agama Islam.

Ketiadaan sebarang kuasa perundangan, jelas Muhyiddin, ia tidak mempunyai sebarang pengaruh ke atas kedudukan agama rasmi negara.

"Jawatankuasa ini dibuat dalam bentuk pentadbiran di bawah Jabatan Perdana Menteri, mungkin ada hasil-hasil perbincangan yang boleh digunakan sebagai panduan untuk tambah baik perhubungan antara kaum yang boleh kita ambil.

"Tetapi soal-soal tentang kedudukan agama Islam itu tidak akan disentuh, kedudukan dan martabatnya tidak akan disentuh, kita kena hormat antara agama dan wujudkan semangat kerjasama," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan geran permulaan prasekolah swasta Kementerian Pelajaran di Bandar Sungai Buaya di Rawang hari ini.

Walau bagaimapun, beberapa kumpulan bukan-Islam memandang berat keyataan TPM tersebut dan kini megambil langkah untuk memboikot panel Jatankuasa tersebut yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon.

Presiden MCCBCHST, Reverend Dr Thomas Philips, menyatakan bahawa mereka tidak akan hadir di dalam mesyuarat yang dijadualkan hari ini jika tiada penjelasan mengenai kenyataan yang dikeluarkan Muhyiddin itu.

Sementara itu, awatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang pada 6-8 April lepas mengambil keputusan sebulat suara membantah penubuhan Jawatankuasa Antara Agama.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata perbincangan tentang agama Islam tidak memerlukan campur tangan daripada pihak bukan Islam kerana ia boleh mengundang implikasi negatif.

“Setiap agama yang wujud tidak boleh disamakan dengan agama Islam yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sebarang bentuk rundingan atau dialog terhadap agama dibolehkan namun Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berpandangan ia patut dielakkan sama sekali terutamanya dilakukan di kalangan masyarakat umum yang lebih mengundang ketidakfahaman terhadap mereka.

Harussani berkata walaupun matlamat yang dikemukakan dengan penubuhan jawatankuasa itu adalah untuk mewujudkan keharmonian dan pemahaman agama di kalangan masyarakat Malaysia namun Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berpendapat bahawa jawatankuasa itu bukan medium yang sesuai

“Ini memandangkan kebimbangan wujudnya tuntutan yang tidak munasabah di kalangan penganut agama lain.

Apatah lagi pewujudan jawatankuasa itu adalah rentetan daripada kegagalan penubuhan IFC (Suruhanjaya Antara Agama) yang telah ditentang dan ditolak oleh umat Islam,” katanya.

12 Apr 2010

Pakatan Rakyat Tidak Rela Wang Rakyat Dibayar Kepada Israel-Zionis

Pimpinan Pakatan Rakyat sama sekali tidak akan merelakan wang rakyat digunakan untuk membayar sebuah firma yang terang-terangan didalangi pimpinan Israel-Zionis.

Bercakap depan kira-kira 1,000 penduduk sekitar Taman Chempaka Perdana di sini, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid menegaskan latar belakang dan modus operandi APCO Worldwide jelas diragui.

"Lembaga Pengarah APCO ini merencanakan One Israel. Ini bukan kebetulan sebab itu, kita tidak mengizinkan duit rakyat dibayar kepada manusia Israel-Zionis," katanya dengan lantang.

Beliau kesal kerana Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Israel sebaliknya kerajaan Umno-Barisan Nasional melantik APCO Worldwide sekaligus bersahabat dengan segala bentuk kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin.

"Dalam masa sama, kerajaan Umno BN mengambil APCO Worldwide menjadi penasihat komunikasi, maknanya APCO dibayar dalam membantu gerak kerja negara.

"Satu tangan kita serang bermati-matian (isu melibatkan kekejaman Israel) di peringkat antarabangsa, satu tangan kita angkat mereka menjadi penasihat negara," kata Abdullah Sani lagi.

Turut berucap ialah Datuk Seri Nizar Jalaludin yang terkilan kerana pimpinan Umno BN menggunakan wang rakyat yang majoriti beragama Islam untuk disalur kepada dana Israel-Zionis.

"Umno tahu mereka berinteraksi dengan syarikat yang berpangkalan di Tel Aviv. Mereka turut mengesa kerajaan Malaysia dan Parlimen meluluskan bayaran lebih RM20 juta kepada Asiasoft," katanya. -TVS


Keluarga Teoh Akan Fail Usul Hina Mahkamah Oleh Nazri

Keluarga mendiang Teoh Beng Hock mungkin mengambil tindakan lanjut dengan memfailkan usul menghina mahkamah ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz selepas menyifatkan keterangan Dr Pornthip Rojanasunand sebagai ‘berbohong’.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng yang juga peguam untuk keluarga Teoh berkata tindakan itu mungkin diambil pada 20 April ini apabila inkues bersambung semula.

Nazri dalam kenyataan semalam melabelkan Dr Pornthip sebagai pembohong selepas pakar patologi Thailand itu mendakwa berdepan dengan ‘tekanan politik’ daripada kerajaan Malaysia berhubung pembabitannya dengan inkues itu.

"Adakah Nazri mempunyai bukti bagi menyokong dakwaannya itu? Jika tidak, bukankah kenyataannya itu bersifat menghina mahkamah?" soal Lip Eng.

Ahli Parlimen DAP itu juga telah memfailkan notis mengikut Peraturan 18(2) bagi mendebatkan dakwaan Pornthip di Dewan Rakyat sebagai sesuatu yang mempunyai kepentingan umum.

“Rakyat berhak mengetahui jika ada kebenaran dalam dakwaan itu.

Mengapa dia dihalang daripada memasuki Kelantan awal tahun ini? Ancaman yang macam mana negara ini akan terdedah jika dia dibenarkan masuk? Adakah dia seorang pengganas atau perisik asing?” soalnya.

Seorang lagi peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo mahu penjelasan diberi oleh Nazri ekoran mengeluarkan tuduhan sedemikian.

Malah beliau menuntut Nazri mengemukakan bukti di mahkamah kelak.

"Saya cabarnya supaya tampil jika dia mempunyai bukti bahawa Pornthip telah menipu dalam pengakuannya ketika inkues,”

“Jika Nazri gagal membuktikan tuduhan itu, kita akan bertindak.

Satu cara ialah mengenakan usul menghina mahkamah ke atas Nazri.

Kita akan putuskan tidak lama lagi menjelang 20 April ini.” katanya. -FMT


Sultan Sharafuddin Ucap Syabas, Tahniah Kepada Kerajaan Selangor Bentuk Paradigma Baru

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri yang berjaya menunjukkan pelbagai peningkatan dalam tempoh dua tahun memerintah negeri ini.

"Beta mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua wakil rakyat kerana genap dua tahun selepas pilihan raya umum, semua Yang Berhormat bersemangat dalam memberi perkhidmatan terbaik," titah baginda.

Baginda juga menganggap kejayaan dalam dua tahun ini ialah prestasi tadbir urus kerajaan Selangor hingga mendapat pengiktirafan Sijil Tanpa Teguran daripada Ketua Audit Negara pada tahun lalu.

Pengiktirafan itu sekali gus meyakinkan Sultan Sharafuddin bahawa kerajaan negeri pada masa ini, dapat mentadbir Selangor dengan baik.

Titah baginda, kerajaan yang baik, telus dan bertanggungjawab yang dilaungkan kepimpinan kerajaan sekali gus membentuk paradigma baru dalam menyampaikan mesej keadilan dan kesejahteraan kepada rakyat.

Baginda turut gembira kerana kebanyakan program yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dapat merakyatkan ekonomi Selangor melalui pelbagai pendekatan yang dibuat.

Antaranya ialah Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Selangor, program SPIES, pengagihan 10 peratus keuntungan kepada mereka yang berhak, pemuliharaan dan pembangunan Sungai Klang, skim pinjaman mikrokredit, pembagunan sukan melalui Majlis Sukan Negeri Selangor dan pembangunan projek teknologi.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor Kali Ke-12 pagi tadi.

Sultan Sharafuddin bertitah kepada semua wakil rakyat supaya dapat memberikan khidmat terbaik selari dengan amanah yang diberikan rakyat.

"Beta berharap Dewan ini menjadi medan terbaik untuk menyelesaikan pelbagai isu melibatkan kepentingan rakyat. Mulakanlah dengan niat untuk bekerja dengan jujur, ikhlas dan betul dan berilah kerjasama yang perlu kepada pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Datuk Abdul Khalid Ibrahim," titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut bertitah segala bentuk isu peribadi akibat perbezaan politik perlu diketepikan untuk rakyat kerana mahu melihat kerajaan Selangor mendapat manfaat dan menjalankan amanah rakyat dengan cekap dan lancar.

"Beta sedar dalam politik tidak mungkin ada 100 peratus persetujuan dan memang diakui bahawa amalan check and balance perlu bagi memastikan semua kepentingan diteliti. Beta mahu semua pihak melaksanakan sistem yang ada atas landasan amanah dan bukan isu peribadi akibat perbezaan politik," titah baginda lagi.


Hebat Sangatkah Pertemuan Obama Najib Seperti Digembar-gemburkan?

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin yakin pertemuan Perdana Menteri (PM) Najib Razak dan Presiden Amerika, Barack Obama kerana salah satu perjanjian yang telah ditandatangani bersama Apco sebelum ini.

"Dalam perjanjian Apco yang telah ditandatangani antara lain adalah untuk memulihkan hubungan antara Amarika dan Malaysia.

"Jika benar pertemuan itu untuk kepentingan negara, kita minta Najib mendedahkan butiran perbincangannya bersama Obama semasa pertemuan itu nanti," kata Shamsul kepada erapakatan.com.

Bagi beliau tiada sebab mengapa pertemuan Najib dan Obama itu perlu diagung-agungkan.

"Pertemuan itu setelah setahun lebih Najib menjadi PM. Kita hairan mengapa Najib mengambil masa yang agak lama untuk mengadakan pertemuan tersebut," kata Shamsul lagi.

Menurut Shamsul, pertemuan Najib dan Obama telah menjadi bukti kaitannya dengan Apco sepertimana yang didedahkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Najib boleh jawab secara menyeluruh mengenai Apco namun dia langsung tidak boleh menjawab segala bukti-bukti yang telah didedahkan oleh Anwar," kata beliau.

Pertemuan itu juga dilihat sebagai satu strategi menaikkan nama Najib yang semakin retak di mata dunia.

"Sudah pasti Obama akan membangkitkan pelbagai isu seperti enjin jet yang hilang, kes Anwar dan masalah rasuah serta penyelewengan yang berlaku di Malaysia.

Pertemuan Najib-Obama akan berlangsung sejurus sebelum Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear bermula. -erapakatan

Lagi Laporan Polis Terhadap APCO

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Mohammad Husain membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh petang semalam mendesak siasatan dilakukan terhadap Syarikat APCO Worldwide dan pembabitannya dengan Kerajaan Malaysia.

Mohammad yang diiringi 30 penyokong Pas berkata, bantahan dibuat kerana beliau bimbang hubungan secara kontrak dengan syarikat Israel itu boleh mengancam keselamatan negara.

Menurutnya, beliau sedih apabila hubungan dengan syarikat terbabit dilakukan dalam keadaan umat Islam ditindas rejim ganas itu.

“Saya memohon siasatan terperinci terhadap APCO dan mereka yang berada di belakang syarikat itu kerana melalui hubungan tersebut, maklumat keselamatan negara diperolehi dengan mudah kerajaan haram Israel.

“Kita mahu mengetahui tujuan sebenar kemasukan syarikat itu ke negara kita, demikian juga dengan pembabitan rakyat Malaysia dalam perhubungan tersebut,” katanya.

Mohammad berkata, salinan perjanjian yang dimeterai pada 4 Ogos 2009 dilampirkan ketika membuat laporan polis semalam.

Katanya, kerajaan Malaysia tidak wajar berurusan dengan syarikat yang mana lembaga pengarahnya terdiri daripada tokoh-tokoh besar Israel sedangkan negara tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Kerajaan katanya, seperti melanggar keputusan sendiri kerana Parlimen negara pernah mengadakan Sidang Khas bagi mengutuk pengepungan besar Israel ke atas Gaza serta menyekat kemasukan makanan dan ubatan.

“Syarikat APCO mempunyai rekod perjanjian dengan negara haram Israel, kita tidak perlu menjalinkan hubungan dengan syarikat itu,” katanya yang turut melampirkan salinan perjanjian yang membuktikan hubungan kerajaan Israel dengan APCO sebagai rujukan.

Beliau yang diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri Limbongan, Zainuddin Awang Hamat berkata, APCO Worldwide Sdn Bhd yang beralamat berdaftar di Level 21-Suite 21.01, The Garden South Tower, Mid Valley, Lingkaran Syed Putra, 59200 Kuala Lumpur terlibat dalam perjanjian perkhidmatan iaitu ‘to provide public relatons, daily managememts and goverments relations outreach for Goverment In United States...’.

“Kita bimbang hasil perjanjian itu akan mendedahkan banyak rahsia negara kepada akses negara luar,” katanya ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Polis, di sini semalam. -SH

Nazri Dicabar Beri Keterangan Dalam Inkues Untuk Buktikan Dr Porntip Berbohong

Peguam kepada keluarga Teoh Beng Hock, Gobind Deo Singh mencabar Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang menuduh Dr Porntip Rojanasunand berbohong membuktikan tuduhan itu di inkues.

Secara sinis, Gobind mengajak Nazri untuk menyertai Inkues Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock supaya berpeluang untuk membuktikan tuduhannya terhadap pakar patalogi itu

Pada sidang media di lobi Parlimen hari ini, Gobind secara tegas menyifatkan tuduhan Nazri itu sebagai perkara serius dan tidak wajar dibuat sewenang-wenangnya.

Pada siang media sama, Kit Siang pula mencadangkan kerajaan Umno Barisan Nasional mengdakan mesyuarat Kabinet tergembar, selain memberi jaminan keselamatan kepada pakar patalogi itu.

Semalam, Dr Ponrthip membatalkan hasratnya untuk memberi keterangan kepada inkues berikutan menerima tekanan politik dari kerajaan Malaysia yang menghantar isyarat supaya tidak berbuat demikian.

Sebaliknya, Nazri ketika mengulas kenyataan Dr Porntip itu melabel pakar patologi itu selalu berbohong walaupun menteri berkenaan tiada memiliki sebarang bukti bagi menyokong tuduahnnya. -TVS

Mayat Bayi Dalam Tong Sampah

Masih tidak berkesudahan apabila manusia berhati syaitan sanggup membunuh zuriat sendiri dengan memilih tong sampah sebagai ‘kubur’ insan cilik ini.

Sungguh menyayat hati apabila bayi lelaki dipercayai dilahirkan dalam tempoh 24 jam lalu ditemui mati dengan berbalut empat beg plastik sebelum dibuang dalam tong sampah di Kampung Tanjung, dekat Sungai Choh, di sini, semalam.

Bayi sempurna sihat dengan kesan berdarah ditemui Mohd Kamil Enoh, 44, yang juga pekerja syarikat kutipan sampah swasta Hulu Selangor, jam 8 pagi.

Menurutnya, ketika mengambil sampah yang terdapat dalam dua tong, dia terkejut menemui satu bungkusan berat dibalut beg plastik cerah yang terdapat dalam tong sampah itu.

Katanya, ketika itu dia cemas, namun memberanikan diri membuka bungkusan itu.

“Mulanya saya nampak kaki bayi. Selepas dibuka keseluruhan pembalut itu sangkaan awal bayi dibuang memang benar sekali.

“Saya sebak dan menggigil. Bayi itu masih bertali pusat dibuang bersama urinya yang masih baru dilahirkan kerana terdapat beberapa tompokan darah padanya,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, dia mendapatkan bantuan peniaga gerai nasi ayam bersebelahan tempat kejadian bagi menghubungi polis memaklumkan perkara itu.

Katanya, pengalaman itu cukup menyentuh hatinya selepas tujuh tahun bekerja mengutip sampah di beberapa kampung di Sungai Choh itu. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, polis menerima laporan mengenai penemuan bayi berkenaan dan sedang menjalankan siasatan lanjut.

“Mayat dihantar ke Rumah Mayat Hospital Kuala Kubu Bharu, jam 9.15 pagi untuk bedah siasat.

“Sehingga kini tidak ada sebarang tangkapan dilakukan berhubung kejadian itu,” katanya. -hmetro

JK Antara Agama, Zahid Dan Ibrahim Ali Tak Sehaluan

Kebanyakan masalah antara agama yang wujud di negara ini ditimbulkan ahli politik yang sempit pengetahuan agamanya, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Bernama dipetik.

Justeru kata beliau, penubuhan Jawatankuasa Kerja Perhubungan Antara Agama diharap dapat menjadi jambatan bagi menyelesaikan permasalahan yang ditimbulkan oleh mereka dengan tujuan menjadikannya isu polemik.

“Masalah antara agama ini tidak diwujudkan oleh pengemudi dan pemuka agama tetapi diwujudkan oleh ahli-ahli politik yang agak sempit dalam agamanya yang menyebabkan timbulnya permasalahan ini,” kata Zahid yang juga Menteri Pertahanan pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja sehari di Pangkalan Udara TUDM Gong Kedak di sini.

Beliau berkata kewujudan jawatankuasa itu juga dijangka dapat membantu menterjemahkan keharmonian masyarakat 1Malaysia seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ahmad Zahid juga menyifatkan pelantikan Datuk Ilani Isahak sebagai Pegawai Penyelaras Khas bagi jawatankuasa itu bertepatan kerana beliau merupakan bekas peguam yang mempunyai latar belakang agama yang luas.

Jawatankuasa itu bertanggungjawab mengenalpasti masalah yang boleh menjejaskan keharmonian antara agama, termasuk pertukaran agama, penyebaran agama, penggunaan istilah agama, pembinaan rumah ibadat dan isu tanah perkuburan.

Ianya dianggotai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST), Allied Coordinating Comitte for Islamic NGOs (ACCIN), ahli akademik serta wakil dari Sabah dan Sarawak

Dalam pada itu, Perkasa, pertubuhan bukan kerajaan Melayu terbesar, mengambil pendirian rasmi menolak jawatankuasa antara agama tetapi meletakkan syarat jika mahukan pengiktirafan pihaknya, dmikian lapor Malaysian Insider.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata, walaupun pihaknya menentang keputusan membentuk jawatankuasa itu yang bertujuan menggalakkan persefahaman dan keharmonian tetapi hanya akan mengiktiraf jika diletakkan di bawah penyeliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Malah kata beliau, Perkasa juga akan bertolak ansur pembentukan jawatankuasa itu jika diletakkan di bawah portfolio Datuk Jamil Khir Baharom, bukannya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Kedua-dua mereka adalah menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Jamil bertanggungjawab kepada hal ehwal agama Islam manakala Koh pula aspek perpaduan.

“Kami sangsi dengan jawatankuasa ini, jadi kami menolak jawatankuasa ini kerana kita bercakap mengenai agama (Islam),” kata Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas ini selepas mempengerusikan mesyuarat Perkasa di sini hari ini.

“Oleh kerana ia berkaitan dengan agama, ia seharusnya berada di bawah bidang kuasa Jakim atau dipandu oleh Jamil dan bukannya Koh Tsu Koon,” kata beliau.

Ibrahim memberitahu walaupun jawatankuasa itu tidak tertakluk kepada rangka kerja perundangan, tetapi ia cukup kuat untuk mempengaruhi Kabinet.

Beliau mendakwa jawatankuasa itu tanpa pentauliahan agama Islam yang kuat dan input-input daripada agama-agama lain mungkin mengancam kesucian Islam.

Justeru kata beliau, pelantikan bekas Ahli Parlimen Kota Baru, Datuk Ilani Isahak sebagai ketua jawatankuasa bukan pilihan yang baik untuk mengepalainya.

“Anda boleh bayangkan apa akan berlaku terhadap akidah, ia akan menghakiskan aspek akidah.

“Ini sesuatu yang anda tidak boleh main-main, ini soal sensitif kepada umat Islam,” katanya.

Ibrahim berkata Perkasa akan melobi agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengkaji semula jawatankuasa itu dan mengesyorkan supaya ia diubah menjadi jawatankuasa antara kaum dan menggugurkan skop agama.

Perkasa juga akan menghantar memorandum kepada Majlis Raja-raja Melayu dalam waktu terdekat.

Kita Perlu Jujur, Jangan Jadi Gunting Dalam Lipatan Dalam PR

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menasihatkan PAS harus keluar Pakatan Rakyat (PR) jika merasakan keanggotaan dalam ikatan itu merugikan perjuangan parti Islam itu, tetapi sama sekali tidak menghianati persefahaman yang telah dicapai.

Sehubungan itu tegas beliau, PAS juga tidak harus menjadi “gunting dalam lipatan” hanya kerana tidak bersetuju dengan sesetengah tindakan dalam PR memandangkan ikatan itu dibentuk berdasarkan keputusan jemaah.

Dalam pandangan ketika PR bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor, anggota Biro Politik PAS ini menambah, jika PAS merasakan dengan berada dalam PR merugikan, maka “keluar sahajalah dan jangan khianat.”

“Tetapi, apabila dalam Pakatan, bertindak jujur dan ikhlas terhadap Pakatan, jangan menjadi gunting dalam lipatan atau bagaikan biawak hidup. Tercemar imej Islam.

“Bersama PR merupakan keputusan jemaah dan mengukuhkan PR juga keputusan jemaah. Maka laksanakan dengan jujur dengan kefahaman jelas terhadap proses perubahan yang saya nyatakan tadi,” kata Khalid dalam tulisan terbaru blognya.

Dalam menjawab reaksi pengunjung-pengunjung berhubung tulisan sebelum ini yang bertajuk “Bukti Kejujuran dan Keikhlasan Terhadap Pakatan Rakyat”, Khalid berkata “jikalau tidak bersetuju dengan keputusan jemaah, diam atau keluar.”

“Jangan sekali-kali menimbulkan masalah dalam jemaah dengan adanya ‘agenda sendiri’,” katanya lagi.

Artikel itu yang disiarkan 11 Mac lalu menyambut tindakan tegas diambil Parti Keadilan Rakyat ke atas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin. Zulkifli, yang membuat laporan polis terhadap Khalid kemudian telah dipecat dari PKR.

Khalid dan Zulkifli yang berhadapan dengan 'perang mulut' ekoran isu kalimah Allah sejak awal tahun ini berkata, walaupun berhadapan dengan kemelut peristiwa wakil rakyat yang melompat, PKR masih tetap sanggup melakukan apa yang diperlukan untuk menjamin kestabilan PR.

Justeru dalam tulisan semalamm Khalid menjawab pandangan yang diberikan oleh pengunjung-pengunjung blognya.

Khalid juga berkata, beliau yakin PAS tidak akan mengetepikan PR kerana mereka tidak pernah bertindak khianat terhadap parti Islam itu.

Oleh itu tegasnya, tidak wajar pula PAS menunggu-nunggu alasan untuk mengkhianati mereka.

“Saya tidak kata letak PR atas kepala dan PAS atas bahu. Hakikatnya perumpamaan itu tidak wajar.

“PR adalah keputusan PAS. Kalau dengan meletakkan PR di atas bahu dengan sendirinya kita memperkecilkan keputusan PAS.

“Bahawa ia tidak penting dan boleh diketepikan bila-bila masa atas alasan ia hanya atas bahu. Maka ketepikan PR sekiranya PAS kata kita ketepikan bukan apabila ada yang berkepentingan minta ia diketepikan,” katanya.

Sambil menekankan artikel beliau bulan lalu sebenarnya mempunyai “serampang banyak mata”, menurut Khalid yang penting ialah mempelajari daripada pengalaman yang ada dan dari sahabat dan rakan perjuangan.

Oleh itu kata beliau, antara yang perlu dipelajari ialah semua perlu mengetepikan ‘kepentingan’ diri demi mencapai persepakatan yang lebih mantap dalam PR.

“Contoh-contoh yang saya berikan adalah berasaskan fakta. Bagaimana PKR dan DAP mengetepikan kepentingan parti demi PR.

“Tetapi, kalau ada yang terasa, memang itulah tujuannya pun. Untuk Pakatan kukuh, setiap parti mesti sanggup mengutamakan kepentingan PR tanpa mengorbankan dasar parti sendiri dan tidak bersikap ‘mementingkan diri’,” katanya.

Khalid berkata, kepentingan dan dasar adalah tidak sama, dan ramai yang tidak faham sambil mungkin menganggap perjuangan PAS adalah perjuangan untuk ‘kepentingan’ PAS.

Jelas beliau, sebenarnya PAS memperjuangkan dasarnya iaitu Islam bukan kepentingannya seperti mahu Menteri Besar mesti dari PAS walaupun hanya lapan kerusi atau hendak menjadi Ketua Pembangkang mesti dari PAS dan sebagainya.

“Perjuangan dalam PAS bukanlah untuk jawatan tetapi untuk menentukan jalan ke arah kefahaman dan kebangkitan Islam di buka luas.

“Pada masa yang sama PAS ingin menzahirkan keadilan Islam dan kelebihan pejuang Islam, termasuk dalam adab berkawan dan berpakat.

“Dengan itu akan tersebar luas kefahaman dan pengaruh Islam sebagai cara hidup dengan membawa perubahan dalam pemikiran rakyat, mengubah persepsi rakyat (Islam dan bukan Islam) terhadap Islam sehingga akhirnya memungkinkan Islam menjadi asas kepada pemerintahan yang akan mampu menjamin kesejahteraan umat Islam dan yang bukan Islam,” katanya.

Dalam penerangan panjang lebar ini, Khalid yang sedang menjalani hukuman digantung jawatan dalam parti selama enam bulan ekoran masalah disiplin memberitahu, di atas keyakinan bahawa PR tidak menghalang usaha ini, maka PAS bersama mereka.

“Pada masa sama, PAS memerintah dengan melaksanakan prinsip ‘good governance’ yang dituntut Islam. Yang pasti, PAS tidak boleh buat ini semua sekiranya bersama Umno-BN,” katanya.

Beliau menambah, dominasi Islam bukan sesuatu yang hendak dituntut atau dilaung-laungkan.

“Teriak macam budak kecil yang tidak diberi apa yang dikehendakinya. Pemikiran Islam memang tidak dominan sekarang, itu hakikatnya dan kita berusaha untuk mengubah keadaaan ini.

“Pemikiran Islam mestilah menjadi yang dominan sebelum kita boleh mendapat sokongan untuk memerintah berdasarkan Islam.

“Saya sebenarnya hairan dengan golongan yang melaung-laungkan slogan “Islam mesti dominan” tetapi sikap dan tindakan mereka begitu meloyakan mata yang memandang,” kata Khalid.

Beliau juga menarik perhatian bahawa “mereka anggap Islam akan menjadi dominan atas desakan dan ugutan mereka sedangkan tindakan mereka menghalau orang dari Islam.”

Ini termasuklah sikap mementingkan diri semasa dalam PR, kata Khalid sambil menambah, “sikap sebegini akan menyebabkan rakan yang lain tidak tertarik kepada PAS dan oleh itu dengan kepada Islam itu sendiri.” -MI